MENGHORMATI SENSIVITI KAUM DI MALAYSIA
ARKIB : 24/07/2013
Menghormati
sensitiviti kaum di Malaysia
Oleh DR. MOHD MAHZAN AWANG
PENULIS ialah Pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti
Kebangsaan Malaysia.
MALAYSIA adalah sebuah negara yang sering dikaitkan dengan
kebijaksanaan dalam pengurusan keharmonian antara kaum. Ini kerana lebih 50
tahun merdeka, tidak ada pergolakan kaum yang benar-benar serius.Beberapa siri
insiden yang melibatkan perkauman dapat diselesaikan dengan jayanya. Kebanyakan
insiden perkauman di Malaysia berpunca daripada sensitiviti perkauman dan
keagamaan. Ia adalah api kecil yang boleh marak dengan pantas sekiranya tidak
dipadam dengan cara yang berhikmah.
Tambahan pula dengan keunikan masyarakat Malaysia yang terdiri
daripada tiga kaum majoriti dengan tiga agama utama. Unsur-unsur kebudayaan
Melayu jelas dalam amalan Islam di Malaysia serta banyak pengaruh Islam
terhadap kebudayaan Melayu. Begitu juga dengan amalan agama Buddha dan Hindu
yang turut diwarnai oleh pengaruh kebudayaan Cina dan Hindu.
Penyerapan unsur budaya warisan dalam tradisi sesuatu kaum dalam
amalan keagamaan menjadikan banyak fenomena hidup berlainan kaum memiliki
elemen-elemen sensitiviti. Haiwan-haiwan seperti lembu, khinzir dan anjing
adalah antara makhluk yang berpotensi menjadi isu sensitif jikalau ia
dibincangkan dalam konteks yang tidak berhikmah. Keadaan sebeginilah yang
menjadikan situasi budaya di Malaysia amat berbeza dengan negara-negara luar.
Faktor-faktor sosio-budaya ini jugalah mempengaruhi pemilihan lokasi kediaman,
bentuk pendidikan, hala tuju kerjaya dan pelbagai lagi.
Banyak kajian empirikal berkaitan hubungan etnik di Malaysia
mendapati bahawa masyarakat pelbagai kaum di Malaysia lebih selesa untuk berada
dalam kelompok etnik masing-masing ekoran daripada persamaan sosio-budaya yang
memudahkan urusan penjagaan sensitiviti kaum. Malah, ramai yang berasa lebih
selesa memilih lokasi kediaman yang sama kerana persamaan bahasa, budaya, cara
fikir serta agama.
Hari ini, kita dapat lihat banyak kawasan yang diberi jolokan
seperti kawasan Melayu, Cina dan India namun itu bukan bererti tiada kaum lain
dalam kawasan kediaman tersebut. Biarpun banyak usaha dilakukan kerajaan untuk
mempertemukan masyarakat pelbagai etnik dalam satu agenda perpaduan seperti
menerusi konsep Sekolah Wawasan, kuota perumahan bumiputera-bukan bumiputera,
penyaluran geran penyelidikan kesepaduan sosial secara jangka panjang, Program
Kesepaduan Sosial Negara (PADU), Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan dan
bermacam-macam lagi, masyarakat pelbagai etnik masih cenderung untuk berada
dalam kelompok etnik masing-masing.
Lebih 50 tahun merdeka, masyarakat pelbagai kaum masih memilih
untuk berada dalam kelompok majoriti kaum masing-masing tetapi mengekalkan
keharmonian dan perpaduan. Mungkin inilah cara masyarakat Malaysia untuk
mengekalkan keharmonian. Setiap etnik dilihat yang lebih cenderung untuk
bersama-sama kelompok etnik masing-masing dan pada masa sama menjaga
sensitiviti kaum lain. Maka, isu-isu sensitif dibicarakan dalam kelompok
etnik-etnik masing secara bersemuka, berhikmah, dalam skop dan konteks yang
terkawal iaitu demi menjaga hati sahabat berlainan kaum.
Saya pasti isu-isu sensitiviti kaum sering dibincangkan tetapi
dalam skop yang benar-benar terkawal kerana perbincangan umum isu sensitif
boleh melukakan hati sahabat berlainan kaum. Namun, tanpa disedari kecanggihan
teknologi telah membuka wadah baru dalam perbicaraan isu-isu sensitif.
Banyak isu sensitif telah menjadi bahan perbualan, perdebatan dan
sindiran di laman-laman maya untuk aktiviti interaksi sosial. Media sosial
seperti Facebook dan Twitter telah mengumpulkan rakan-rakan dalam satu forum
terbuka. Jaringan sosial dalam media sedemikian tidak lagi terhad kepada
sesuatu kaum di Malaysia malah telah menjadi wadah global yang teramat terbuka.
Natijahnya, segala isu dibincangkan tanpa batasan dan berpotensi menjadi punca
kepada ketidakharmonian antara kaum dan agama.
Hari ini, banyak perkara yang dahulunya taboo telah menjadi perkara
biasa dalam perbincangan di media sosial. Perlu disedari bahawa media sosial
adalah satu akses terbuka yang boleh tersebar dengan cepat. Sejarah membuktikan
bahawa kegagalan mengurus sensitiviti kaum dan agama adalah penyumbang utama
kepada ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat, malah berupaya mengundang
risiko. Justeru, dalam keadaan tahap pendidikan kebanyakan masyarakat di
Malaysia makin tinggi, kesedaran tentang peri pentingya keharmonian untuk
kelestarian keamanan negara amatlah penting. Saya pasti, dalam segenap proses
pendidikan semenjak di bangku sekolah sehingga universiti, para pendidik amat
menitikberatkan perbincangan isu sensitif secara berhikmah dan terkawal. Jangan
kerana emosi, keharmonian tergadai.
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130724/re_07/Menghormati-sensitiviti-kaum-di-malaysia
Comments
Post a Comment