MENGEKALKAN WARISAN KESENIAN KITA
Mengekalkan Warisan Kesenian Kita
Usaha
mengekalkan warisan kesenian pelbagai kaum di Malaysia adalah menjadi
tanggungjawab semua rakyat di negara ini. Bukan hanya kepada pewaris seni dan
budaya sahaja. Masyarakat Malaysia telah mewarisi pelbagai jenis kesenian.
Pewaris budaya bangsa pada masa depan adalah generasi hari ini. Melalui
pendidikan warisan kesenian bangsa dapat dipelajari. Bagi membina remaja yang
cemerlang dan memahami budaya, mereka mestilah memahami dan menghayati budaya
bangsa. Budaya bangsa adalah asas kepada pembentukan kebudayaan kebangsaan dalam
kehidupan bermasyarakat.
Asas kehidupan
budaya kebangsaan adalah berteraskan kebudayaan rakyat asal di rantau ini.
Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur
Kebudayaan kebangsaan. Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan
Kebudayaan kebangsaan itu. Agama dan kebudayaan sangat berkait rapat dengan
kehidupan. Fenomena pada masa kini, kalangan remaja lebih mengenali “budaya
luar” atau budaya Barat yang dibawa masuk melalui TV dan juga Internet. Perkara
ini seharusnya tidak berlaku jika remaja dididik dan diberi kefahaman tentang
uniknya budaya tempatan di Malaysia.Sebagai contoh, muzik dan tari ciri
kehidupan yang melahirkan gerak irama, menghantar manusia ke alam luas, jauh
dan syahdu. Rentak dan genderang memberi semangat kepada pahlawan yang sedang
berjuang. Rayuan gita (lagu) harapan ibu dikatakan mempercepatkan membesar sang
bayi dalam ayunan.
Pelbagai jenis
warisan kesenian pelbagai kaum di Malaysia yang meliputi muzik, alat muzik,
tarian, kraf tangan, permainan, seni bina dan lukisan. Semua warisan ini amat
berharga dan bernilai kepada negara. Kalangan remaja harus memahami dan
menghayati semua warisan ini. Justeru, warisan kesenian ini juga menjadi aset
dan tarikan para pelancong. Sebagai contoh, jenis-jenis muzik Melayu
tradisional antaranya ialah muzik makyung, Mek
Mulung, Ghazal, wayang kulit dan sebagainya.Di Sabah saja mempunyai
kira-kira 32 jenis tarian daripada pelbagai jenis etnik. Tarian Mongigol
Sumundai, Sumayau dan Semazau Penampang merupakan beberapa jenis tarian untuk
pemujaan semangat. Di Pahang ada Tarian Labi-Labi dan Tarian Pelanduk yang unik
dan perlu diketengahkan selain masih banyak lagu-lagu rakyat yang perlu
dikomersialkan. Begitu juga bagi negeri-negeri lain seperti Terengganu dan
Kelantan.
Selain itu,
bidang muzik mengikut cara bunyi dihasilkan, alat muzik tradisional kaum di
Malaysia boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Pertama, getaran pada tali
yang ditegangkan seperti alat muzik India iaitu Tampura, alat muzik Cina
Erh-Hu. Kedua, di pukul pada kulit yang ditegangkan iaitu Geduk alat muzik
Melayu dan Tabla alat muzik kaum India. Beberapa alat muzik ini sangat penting
kerana ia digunakan untuk mengiringi persembahan dalam upacara tertentu. Selain itu, tarian-tarian suku kaum di
Malaysia telah diwarisi sejak beberapa abad yang lalu. Setiap tarian
tradisional mempunyai fungsi tertentu.
Kraf tangan
suku kaum di Malaysia juga ada berbagai-bagai jenis. Kraf tangan ini diperbuat
daripada pelbagai bahan seperti mengkuang, kayu, manik, benang, logam, tanah
liat dan sebagainya. Keunikan ini harus dibanggakan oleh kita rakyat Malaysia
yang kaya dengan kesenian kraf tangan. Permainan tradisional pula dapat
mewujudkan interaksi sosial dalam masyarakat selain daripada mengisi masa
lapang. Pelbagai jenis permainan tradisional yang boleh didapati di
kalangan kaum di Malaysia. Setiap
permainan tradisional ini menggunakan alat dan peraturan tertentu. Kita semua
tentu tidak mahu, permainan Internet akan menghapuskan permainan tradisional
yang ada. Di samping itu, seni bina merupakan satu aspek warisan budaya yang
penting ke rana ia menunjukkan identiti dan kreativiti bangsa. Terdapat
pelbagai bentuk seni bina warisan kaum di Malaysia. Mengenali dan
mempelajarinya adalah satu usaha yang dapat mengekalkan seni bina bangsa kita. Bentuk-bentuk
seni bina ini sangat unik terutama jika dilihat dari segi bumbung, tiang,
tangga, ukiran dan sebagainya. Sebagai contoh, rumah-rumah tradisional Melayu ada
beberapa bentuk. Antaranya, Rumah tiang 12, Rumah Perabung Lima, Rumah Bujang
Barat, Rumah Bumbung Perak dan Rumah Perabung Panjang. Begitulah indahnya
dan terdapat pelbagai ciri serta bentuk
rumah tradisional Melayu.
Memetik
pandangan Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah, sebagai berkata seni bina penting
kerana ia menunjukkan nilai kreativiti seseorang dan warisan sesuatu bangsa. Ia
mesti dapat disesuaikan dengan diri dan budaya kita dalam menerap kemajuan
teknologi, kemajuan perniagaan dan lain-lain tanpa mengetepikan adat dan budaya
bangsa Malaysia. Menurutnya, seni bina yang mempunyai nilai-nilai sejarah perlu
dipelihara agar ia tidak dilupakan dan sentiasa diingat oleh setiap golongan
masyarakat. Ia juga perlu dijaga dengan baik agar masyarakat dapat melihat
evolusi bangsa.Justeru, kita juga perlu ada satu pendekatan dalam evolusi seni
bina agar apa juga yang dihasilkan dapat mencerminkan budaya dan masyarakat
kita sendiri dan bukan sekadar dicedok atau diambil dari pengaruh-pengaruh luar
atau internet. Media adalah suatu yang dinamik. Kita tidak boleh terima apa
saja yang disiarkan, tetapi ia perlu ditapis. Sebagai contoh, Istana Budaya
setaraf dengan Royal Albert Hall di London. Reka bentuknya mementingkan
ciri-ciri kebudayaan Melayu. Tapak bangunan ini direka berdasarkan wau bulan.
Bumbung Istana Budaya berkonsepkan gubahan sirih junjung. Ruang dalamnya
berkonsepkan rumah Melayu.
Sementara itu,
lukisan suku kaum di Malaysia juga merupakan satu cabang seni yang tinggi
nilainya. Sebagai contoh, orang Cina menggunakan motif hiasan yang pelbagai
dalam seni lukisan berdasarkan lagenda, falsafah, sejarah dan tradisi aliran
agama Buddha, pengajaran Tao dan Confucious. Simbol lukisan orang-orang Cina
berbeza daripada simbol budaya lain kerana sesuatu corak yang dipilih mempunyai
makna yang tersendiri. Justeru, kita mengharapkan generasi muda pada masa kini
dapat memahami unsur budaya dan pelbagai kesenian bangsa sebagai teras
pembentukan jati diri sebagai rakyat Malaysia yang memahami budaya
tradisional masyarakatnya. Kelainan dan
kesatuan ini menjadikan budaya masyarakat Malaysia sangat unik dan menjadi daya
tarikan para pelancong dari luar negara. Mereka melihat semua warisan kesenian
pelbagai kaum sebagai satu seni yang unik dan dapat menyatupadukan perpaduan masyarakat
berbilang kaum. Hakikatnya, Malaysia
mengandungi berbagai-bagai masyarakat dan budaya; tetapi apa yang
dicita-citakan oleh kita semua pada satu peringkat, ialah integrasi yang
melampaui masyarakat dan budaya yang berbagai-bagai-bagai. Integrasi inilah
yang dapat dijalinkan bagi
memperkukuhkan perpaduan dan dapat dirasakan oleh rakyat Malaysia sebagai
kebudayaan nasional mereka.
Sumber:
http://dpmp238.blogspot.com/2011/11/mengekalkan-warisan-kesenian-bangsa.html
Comments
Post a Comment