MENANGANI ISU LAMBAKAN PEKERJA ASING DI MALAYSIA
Ahad,
27 Mac 2016 | 7:05am
Menangani
isu lambakan pekerja asing
Oleh Dr Rahmah Ismail
KESAN negatif lambakan pekerja asing lebih dominan berbanding kesan
positif kepada pembangunan negara. - Foto Syaharim Abidin
KEMENTERIAN Dalam Negeri pada tahun lalu melaporkan pekerja asing
berdaftar di negara ini berjumlah 2.1 juta atau 15.5 peratus daripada
keseluruhan guna tenaga di Malaysia, manakala pekerja asing tanpa izin
dianggarkan berjumlah melebihi tiga juta orang.
Hampir separuh pekerja asing berdaftar berasal dari Indonesia,
diikuti Nepal dan Bangladesh, bakinya dari pelbagai negara seperti India,
Myanmar, Pakistan, Filipina dan Vietnam.
Kebanyakan mereka terdiri daripada pekerja separa mahir dan tidak
mahir yang mendominasi sektor pembuatan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan.
Pada 2015, pegawai dagang yang merupakan pekerja profesional asing tidak sampai
pun 10 peratus. Kehadiran pekerja asing secara berlebihan adalah satu fenomena
membimbangkan negara. Apa yang lebih membimbangkan adalah kemasukan mereka
secara tidak sah yang jumlahnya mengatasi pekerja asing secara sah.
Pekerja sememangnya diperlukan dalam sesuatu proses pengeluaran
kerana ia adalah input penting dan sebagai penggerak kepada input lain. Tanpa
pekerja mencukupi, proses pengeluaran boleh terbantut dan menjejaskan
pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Dalam konteks ini, pekerja berkualiti amat
diperlukan kerana mereka dikatakan lebih produktif yang akhirnya membawa kepada
pertumbuhan ekonomi lebih tinggi.
Namun, persoalannya adakah pekerja asing mempunyai ciri-ciri ini
dan mampu dimanfaatkan dengan sepenuhnya? Dalam erti kata lain, adakah
kehadiran mereka mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dan pada masa
sama, tidak membawa kesan negatif kepada ekonomi dan sosial di Malaysia? Bagi
menjawab persoalan ini, kita perlu melihat kepada kesan positif dan negatif
daripada kemasukan dan penggajian pekerja asing.
Meringankan beban majikan dalam mendapatkan pekerja. Kehadiran
pekerja asing sama ada secara sah mahupun tidak sah mampu menyelesaikan masalah
majikan dalam mendapatkan pekerja ketika diperlukan. Ini boleh menjimatkan kos
pencarian dan kos masa yang boleh membantutkan 'output' sesebuah operasi
pengeluaran.
Menjimatkan kos pengeluaran. Pekerja asing sanggup menerima upah
lebih rendah dan bekerja lebih masa. Walaupun kerajaan telah melaksanakan upah
minimum, majikan masih boleh mengelak daripada membayar pekerja upah minimum
ini dengan mengambil pekerja asing tidak sah. Malah pekerja asing ini sanggup
menerima apa saja upah dibayar, di samping mampu memberi komitmen yang lebih
tinggi berbanding dengan pekerja tempatan.
Menurut teori neoklasik, input menyumbang secara positif kepada
output. Maka peningkatan dalam pengambilan pekerja asing ini menyumbang kepada
bilangan guna tenaga dan meningkatkan output negara. Setiap aktiviti ekonomi
memerlukan permintaan yang tinggi dan sentiasa meningkat.
Kehadiran pekerja asing meningkatkan jumlah permintaan negara
kerana mereka akan berbelanja untuk keperluan keluarga. Aktiviti perbelanjaan
mereka akan meningkatkan kuasa beli negara dan mendorong kepada pengeluaran
yang lebih tinggi.
PENGAMBILAN buruh luar perlu dioptimum selaras dasar negara maju
berpendapatan tinggi. - Foto Salhani Ibrahim
Kesan negatif
Walaupun pekerja asing mampu meningkatkan output, pertumbuhan
output menjadi perlahan kerana kebanyakan mereka adalah tidak mahir. Kajian
menunjukkan sumbangan positif mereka terhadap pertumbuhan output hanya daripada
pekerja asing mahir dan separa mahir. Itu pun ia hanya berlaku dalam jangka
panjang selepas mereka lebih berpengalaman dalam pekerjaan
masing-masing.Sebahagian besar pekerja asing adalah tidak mahir dan sanggup
menerima upah rendah. Ini boleh membantutkan pertumbuhan upah dan menyekat
pekerja tempatan dalam proses tawar menawar upah, lebih-lebih lagi sekiranya
pekerja asing itu pengganti kepada pekerja tempatan.
Kenaikan kadar upah yang tidak sejajar dengan pertumbuhan
produktiviti memang pun menjadi isu penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia
(Bank Dunia, 2010). Malah, isu utama yang membawa kepada pelaksanaan upah
minimum adalah bagi meningkatkan pertumbuhan upah sejajar dengan pertumbuhan
produktiviti.
Malah, ada sektor yang mempunyai pekerja profesional kurang
daripada lima peratus seperti sektor pertanian dan pembinaan (Jabatan
Perangkaan 2012). Satu daripada penyumbang kepada rendahnya peratus ini adalah
kehadiran pekerja asing tidak mahir yang terlalu ramai.
Walaupun kadar pengangguran di Malaysia adalah sekitar 2.8 peratus
pada 2014, jumlah penganggur meningkat dan masih kelihatan besar, iaitu
melebihi 410,007 pada 2014, peningkatan sebanyak 6,300 dibandingkan dengan
2010. Sebahagian besar penganggur adalah berpendidikan peringkat menengah,
iaitu melebihi 50 peratus daripada jumlah penganggur sepanjang 2008 hingga 2014
(Kementerian Sumber Manusia 2015). Persoalannya adakah mereka ini tidak mampu
memegang jawatan atau bekerja di tempat yang dikuasai pekerja asing?
KAJIAN menunjukkan sumbangan positif mereka terhadap pertumbuhan
output hanya daripada pekerja asing mahir dan separa mahir. - Foto hiasan
Kesan negatif lebih dominan
Secara imbasan kesan negatif lebih dominan daripada kesan positif.
Saban hari kita dikejutkan dengan pengangguran siswazah yang menggambarkan
terlebih penawaran daripada yang diperlukan pasaran. Mungkin Malaysia masih
memerlukan pekerja berkemahiran rendah, namun kita terlebih didik rakyat
tempatan. Kemungkinan pula pekerjaan yang tersedia banyak yang berbentuk sektor
pekerjaan sukar, kotor dan berbahaya (3D) tidak sanggup dilakukan oleh rakyat
tempatan, walaupun mereka berpendidikan rendah dan pekerjaan itu sesuai dengan
kelayakan akademik mereka. Jika kita meninjau data pasaran buruh Malaysia,
kelihatan masalah ketaksepadanan agak serius. Pada satu sudut kita lihat
lambakan pekerjaan tidak terisi dan di sudut lain, jumlah penganggur masih
berleluasa. Malah akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan banyak kes pembuangan
kerja oleh syarikat swasta di Malaysia.
Lazimnya pekerja asing memang masih diperlukan di Malaysia. Namun
persoalannya, berapa ramai dan apakah tahap mereka yang sepatutnya diambil?
Dalam jangka pendek pengambilan pekerja asing tidak mahir mungkin tidak boleh
dielakkan. Namun, mereka perlu dihadkan kepada sektor tertentu seperti
pertanian dan pembinaan. Sektor lain perlu dibuka luas kepada pekerja tempatan
terutama yang berkelulusan menengah dan layak bekerja di sektor perkhidmatan
dan pembuatan.
Dalam jangka panjang kerajaan perlu mempunyai strategi tertentu
dalam mengoptimumkan kehadiran pekerja asing. Malaysia menuju ke arah negara
maju yang bertunjangkan teknologi tinggi dan penggenap kepadanya adalah pekerja
berkemahiran tinggi. Oleh itu, selagi berlaku ledakan pekerja asing tidak
mahir, selagi itu ia memberi gambaran kepada teknologi rendah yang masih
mendominasi proses pengeluaran di Malaysia.
Ini memberi implikasi negatif kepada pertumbuhan output,
produktiviti dan keperluan kemahiran, sekali gus memburukkan lagi masalah
pengangguran siswazah dalam jangka panjang. Sektor swasta yang mendominasikan
dua pertiga daripada jumlah pekerjaan di Malaysia, mempunyai tanggung jawab
besar dalam mengoptimumkan pekerja asing.
Ketelusan dalam mengambil pekerja. Majikan perlu telus dalam
mengambil pekerja dengan mengiklankan keperluan pekerja dan mengutamakan
pekerja tempatan. Dalam hal ini campur tangan kerajaan diperlukan dalam
merangka undang-undang bagi memastikan perkara ini berlaku.
Pembayaran upah yang lebih tinggi. Majikan perlu lebih bertimbang
rasa dalam menawarkan upah yang lebih tinggi tanpa mengaut keuntungan
berlebihan. Ini boleh menarik minat pekerja tempatan untuk menceburi pekerjaan
yang kini dipenuhi pekerja asing. Berdasarkan kepada bilangan penganggur yang
ramai berpendidikan menengah, adalah tidak sukar bagi mereka berkecimpung dalam
pekerjaan tahap rendah yang kini dipegang oleh pekerja asing.
Perubahan minda pekerja tempatan. Dalam menghadapi kos sara hidup
yang semakin meningkat, mereka sepatutnya mengubah minda agar tidak terlalu
memilih pekerjaan. Contohnya, pekerjaan di sektor pembuatan dan perkhidmatan
mampu dilakukan oleh pekerja tempatan. Pekerja asing sepatutnya dihadkan kepada
pekerjaan sektor pertanian dan pembinaan yang memerlukan tenaga berat yang
mungkin tidak mampu dilakukan oleh pekerja tempatan.
Komited terhadap pekerjaan. Pekerja tempatan perlu lebih komited
terhadap pekerjaan seiring dengan apa yang mampu dilakukan oleh pekerja asing.
Mereka perlu menghayati konsep bahawa pekerjaan adalah satu amanah yang perlu
dilakukan dengan baik dan berkesan.
Pekerja tempatan perlu bijak mencari peluang pekerjaan di negara
sendiri. Sudah tiba masanya rakyat tempatan mengubah minda ke arah yang lebih
positif dan merebut peluang pekerjaan yang tersedia. Sebagai rumusannya,
pengambilan pekerja asing diperlukan dalam memenuhi pekerjaan di sektor
tertentu sahaja seperti pembinaan dan pertanian.
Namun, bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, pengambilan
mereka yang tidak mahir perlu dikurangkan dan dalam masa sama, kehadiran
pekerja asing tanpa izin perlu dibanteras agar ia tidak mengganggu pelaksanaan
dasar kerajaan seperti upah minimum. Nisbah pekerja berkemahiran perlu
ditingkatkan seiring dengan misi Malaysia mencapai negara maju menjelang 2020
yang bertunjangkan teknologi tinggi dan buruh berkemahiran tinggi.
https://www.bharian.com.my/node/137736
Penulis ialah Profesor di Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi
dan Pengurusan, UKM
Comments
Post a Comment