MASALAH PENGANGGURAN DI MALAYSIA
Oleh Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my
Setakat Jun 2015 dianggarkan Malaysia mempunyai 14.7 juta tenaga
kerja dengan lebih 400,000 orang termasuk dalam golongan mencari pekerjaan pada
setiap masa atau menganggur. Seramai 107,000 orang daripada jumlah penganggur
itu pula terdiri daripada graduan lepasan diploma, ijazah dan ke atas. Dengan
istilah lain, kadar pengangguran di Malaysia berada pada paras 3.2 peratus
daripada jumlah tenaga buruh.
Tersentak dengan jumlah berkenaan? Jika kini jumlah itu dilihat
agak tinggi, bagaimana pula keadaannya pada tahun-tahun akan datang? Ini kerana
setiap tahun, universiti awam mahupun swasta kita melahirkan ramai graduan.
Bagaimanapun, pada ketika ini, itu adalah hakikat yang perlu diterima. Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, walaupun kadar
pengangguran itu belum dikategorikan sebagai membimbangkan, Kerajaan tetap
berkewajipan untuk mencari langkah bersesuaian bagi menangani masalah
pengangguran.
Maka, lahirlah program dan skim latihan pekerjaan untuk golongan
terbabit seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), iaitu satu projek tanggungjawab
korporat sosial (CSR) bagi meningkatkan kebolehpasaran dan keupayaan graduan
mendapatkan pekerjaan.
“Kita mahu membantu mereka seramai mana yang kita boleh dan dengan
menyediakan pelbagai latihan bermanfaat terkandung di dalam SL1M, ia dirasakan
amat bertepatan.
“Selain itu, dalam hal ini juga, menjadi keperluan pihak industri
dan majikan untuk membantu Kerajaan menyediakan tempat dan peluang pekerjaan
kepada golongan muda yang menganggur,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan mensasarkan untuk melahirkan seramai 15,000
pelatih SL1M menjelang 2016 berbanding 10,000 tahun ini.
Statistik menunjukkan, setakat ini, sebanyak 210 syarikat swasta
dan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) yang menyertai SL1M terus komited dan
pihaknya yakin jumlah itu dapat ditingkatkan lagi menerusi semasa ke semasa
dalam membantu meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan melalui Program SLIM
yang dijalankan oleh syarikat masing-masing.
“Kami sentiasa mengalu-alukan syarikat sama ada di bandar mahupun
luar bandar yang ingin terbabit sama dalam program SL1M sebagai komitmen
menyokong agenda pembangunan modal insan yang berdaya saing.
“Program latihan seperti ini bukan saja dapat mengurangkan kadar
pengangguran dalam kalangan graduan, tetapi juga meningkatkan bilangan graduan
yang mempunyai pengalaman alam pekerjaan yang sebenar.
“Malah, menerusi pengalaman saya berjumpa dengan peserta, mereka
berubah menjadi lebih baik dari segi pertuturan, penampilan mereka dan amat
berkeyakinan tinggi apabila berhadapan dengan orang ramai selepas menyertai
program ini,” katanya.
Sejak 2011 hingga kini, seramai 70,000 graduan di seluruh negara
dibantu SL1M dan daripada jumlah itu, seramai 26,140 graduan dibantu secara
terus menerusi program SL1M yang dijalankan oleh syarikat, manakala graduan
selebihnya dibantu secara tidak langsung menerusi ‘Program Outreach’ SL1M yang
dijalankan di seluruh negara.
Program SL1M dikelolakan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana
Menteri melalui kerjasama dan komitmen daripada GLC dan syarikat swasta seluruh
negara. Fokus utama program ini adalah graduan ijazah sarjana muda dan ke atas
yang belum mendapat pekerjaan, berasal daripada keluarga berpendapatan rendah
dan tinggal di luar bandar.
Peserta akan dilatih firma yang ambil bahagian bagi meningkatkan
keyakinan diri dan mendapat pekerjaan di syarikat berkenaan, tertakluk kepada
kekosongan jawatan dan prestasi peserta.
Peserta atau graduan terbabit juga diberi pendedahan serta
pengalaman kerja sebenar di syarikat yang terdiri daripada pelbagai sektor di
seluruh negara. Pasukan petugas tentu boleh menambah baik aplikasi konsep atau
pendekatan ini bagi membantu graduan lebih mudah mendapat pekerjaan.
Buktinya, SL1M mendapat sambutan dan penyertaan menggalakkan
daripada GLC dan syarikat swasta serta graduan sejak dilancarkan pada 1 Jun
2011.
Antara faedah yang diperoleh graduan melalui latihan kebolehpasaran
oleh pihak syarikat terbabit adalah mereka mendapat pendedahan dan pengalaman
bekerja di syarikat terdiri daripada pelbagai sektor, menerima latihan
kemahiran insaniah (komunikasi, pemikiran kreatif dan analitik, etiket,
dandanan dan sebagainya), latihan pekerjaan (maksimum hingga 12 bulan) dan
elaun bulanan minimum RM1,000.
Bagi syarikat yang menyertai program ini pula, Kerajaan
memperkenalkan beberapa insentif untuk menghargai kerjasama dan sokongan yang
diberikan. Antaranya, insentif potongan cukai berganda iaitu potongan dua kali
melalui kaedah cukai pendapatan dan skim levi caruman HRDF.
Sementara itu, Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail berkata,
berdasarkan banyak kajian dilakukan pihak universiti dan agensi pekerjaan,
antara faktor pengangguran adalah sikap penganggur yang memilih pekerjaan
selain cerewet dengan tawaran gaji.
Bagi golongan graduan pula, antara punca pengangguran adalah
kelulusan dimiliki tidak menepati pasaran pekerjaan, tidak memenuhi kehendak
majikan atau hanya lulus ‘cukup makan’, kurang keyakinan diri, lemah dalam
penguasaan Bahasa Inggeris, kurang kemahiran berkomunikasi dengan baik dan
sebagainya.
“Oleh itu, kita mahu sampaikan mesej kepada semua bahawa SL1M ini
bagaikan peluang kedua kepada mereka untuk mendapatkan pengalaman dan
pekerjaan.
“Program ini dilaksanakan atas dasar CSR dan juga amal jariah
syarikat yang menyertai bagi membantu ramai graduan terutamanya graduan yang
berasal dari kawasan pedalaman dan berpendapatan rendah meningkatkan
kebolehpasaran mereka sekali gus turut meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.
“Saya juga amat mengalu-alukan penyertaan lebih banyak lagi GLC,
syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta syarikat swasta Malaysia ke
dalam SL1M,” kata Norashikin.
Tiada bayaran dikenakan dan tiada had usia ditetapkan bagi mereka
yang mahu mendaftar SL1M ini. Pendaftaran boleh dibuat di laman web rasmi Unit
Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan sentiasa mendapatkan maklumat
terkini di www.facebook.com/Skim-Latihan-1Malaysia-SL1M.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 8:02 AM
Comments
Post a Comment