MALAYSIA MENDEPANI CABARAN KRISIS MAKANAN

ARKB 15 JANUARI 2013
OLEH=SHAHRIN RAMLI
Isu krisis makanan global terus mendapat perhatian pemerhati ekonomi dunia, khususnya hal yang bersangkutan dengan peningkatan harga makanan dalam pasaran antarabangsa. Selain mewujudkan masalah kebuluran di beberapa buah wilayah di dunia, perkembangan ini memberikan kesan langsung kepada harga pasaran bahan makanan tempatan dan sekali gus menggugat penawaran terhadap bekalan makanan dalam pasaran domestik.
Masalah kekurangan makanan, yang pada mulanya bersifat setempat dan hanya melanda negara dunia ketiga, menjadi semakin kritikal apabila harga pasaran bekalan makanan pada peringkat antarabangsa turut meningkat dan mula memberikan ancaman dan kesan yang lebih global, termasuklah melibatkan negara maju. Menurut statistik Bank Dunia, harga pasaran makanan global secara purata meningkat sebanyak 75 peratus sejak tahun 2000, manakala kadar simpanan bijirin dunia berada pada tahap terendah sejak 30 tahun.
Sementara itu, harga gandum dalam pasaran dunia sahaja mencatatkan kenaikan sebanyak 200 peratus dan harga makanan ruji yang lain, seperti beras dan kacang soya pula, mencatatkan paras tertinggi. Secara tidak langsung, kenaikan harga pasaran bijirin turut memaksa kenaikan harga pasaran makanan yang lain, seperti harga daging, ayam, telur, dan makanan tenusu. Pada tahun 2009, John Holmes, Timbalan Setiausaha Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bencana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengeluarkan amaran bahawa peningkatan harga makanan yang berterusan boleh mencetuskan kekacauan dan ketidakstabilan politik di seluruh dunia. Beliau mengeluarkan pernyataan tersebut memandangkan perkembangan harga purata makanan meningkat yang dengan ketara, iaitu mencecah 40 peratus sejak pertengahan tahun 2008.

Comments

Popular posts from this blog

5 PUNCA BERLAKU GEJALA SOSIAL MASA KINI

KESAN-KESAN MASALAH GEJALA SOSIAL

MASALAH SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA