KEPENTINGAN SENI DAN KEBUDAYAAN KEPADA MASYARAKAT
Kepentingan Seni dan Kebudayaan Kepada Masyarakat
Pengenalan
Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada
pelbagai kaum, bahasa, agama, seni, budaya dan sebagainya. Negara kita juga
dikenali sebagai sebuah negara yang multikultural (multi-culture) di mana
sifat-sifat kemajmukannya dalam konteks kemasyarakatan yang luas juga. Konsep
kemajmukannya yang merujuk kepada pelbagai masyarakat campuran kumpulan manusia
yang mengamalkan cara hidup yang berlainan, mereka turut membentuk suatu entiti
berasaskan kaum sendiri dalam lingkungan komuniti yang luas. Keadaan ini bukan
sahaja menjadikan masayarakat itu menjadi kompleks sebaliknya melahirkan
pelbagai aktiviti sosial dan membentuk kehidupan sosial yang dikongsi bersama
berdasarkan prosedur mantap bagi memenuhi keperluan sosial mereka. Tahap-tahap
masyarakat ini terus bekembang daripada entiti keluarga, komuniti, negara dan
global (Zaid Ahmad, et al., 2013).
Kepelbagaian masyarakat dari segi ras, etnik dan identiti etnik ini
mencetuskan perbezaan individu-individu dalam banyak aspek seperti agama,
pekerjaan, bahasa, dan politik (Marshall, 1994). Keadaan ini akan mencorak
kepelbagaian budaya yang wujud dalam masyarakat heterogen di negara ini. Dalam
hal ini, ahli masyarakat akan terus berinteraksi dan berkongsi pola kebudayaan
mereka namun tidak kurang pula yang bersifat ekstrem dan teguh berpegang kepada
prinsip mempertahankan budaya masing-masing. Hal ini bukan menjadi masalah
besar sekiranya semua golongan masyarakat heterogen ini memahami akan konsep
multikultural ini sepenuhnya. Menurut Hassan (1994) kefahaman yang hendak
diwujudkan dalam masyarakat, mereka dapat: (1) menerima unsur perbezaan
sosiobudaya yang wujud antara kaum-kaum di Malaysia, (2) menerima dan memahami
kebudayaan setiap kaum dengan hati terbuka, (3) mendalami keunikan budaya yang
wujud, (4) mengakui perbezaan kebudayaan antara kaum serta (5) mengiktiraf
unsur perbezaan dan keunikan budaya setiap kaum. perbezaan dan keunikan budaya
setiap kaum. Melalui pemahaman seperti ini, persefahaman budaya dapat disemai
dan dipupuk dalam kalangan masyarakat.
Kupasan idea yang berkaitan dengan isu ini bukan sahaja tertumpu
kepada aspek budaya semata-mata malah aspek seni yang terkandung di dalamnya
juga. Sesuai dengan keperluan tugasan
ini, fokus perbincangan adalah menjurus kepada kepentingan bidang seni dan
kebudayaan kepada masyarakat secara keseluruhannya. Hal ini amat penting di
mana setiap masyarakat harus menerimanya dengan tangan dan dada terbuka. Persefahaman
budaya ialah kesediaan setiap kaum menerima, mengakui, memahami dan mengiktiraf
unsur kebudayaan kaum lain (Fatimah Daud, 1984). Selain daripada itu, melalui
persefahaman seperti ini, proses asimilasi budaya dapat diterima dengan hati
yang terbuka dan tidak menimbulkan konflik.
Definisi Seni dan Kebudayaan
Bidang seni dan kebudayaan merupakan dua entiti yang saling berkait
rapat dan bergantungan antara satu sama lain. Cakupan kedua-dua bidang ini
sangat luas dan kompleks, didapati juga seolah-olah kedua-duanya tidak dapat
dipisahkan antara satu dengan yang lain. Seni dan kebudayaan amat berkait rapat
dengan identiti, ideologi dan amalan seharian sesebuah kelompok masyarakat. Di
seluruh dunia, setiap masyarakat mempunyai identiti seni dan kebudayaannya
yang tersendiri lantas membentuk
keunikan cara hidup mereka. Tidak terkecuali di Malaysia, di mana rakyatnya
berbilang kaum dan keturunan sudah pasti mempunyai kepelbagaian aspek seni dan
kebudayaannya juga. Sifat multikultural (kepelbagaian budaya) dari sudut
sejarah etnik yang meninjau asal-usul keturunan dan latar belakang sejarah
setiap etnik dari segi cara hidup, sosio budaya, asal usul, agama dan kegiatan
ekonomi turut mencorak aspek seni dan budaya. Perkara ini menjadi sebahagian
daripada cara hidup dan pegang sejak zaman berzaman lagi dan diteruskan
sehingga sekarang.
(i) Definisi Seni
Perkataan seni dapat ditakrifkan sebagai sesuatu yang halus iaitu
kecil, elok, tipis dan halus, enak didengar iaitu mengenai suara, comel bentuk
badan (Kamus Dewan, 2005). Sesuatu yang
dikatakan seni pula adalah suatu bentuk karya seperti pantun, ukiran, muzik dan
lain-lain lagi yang dicipta dengan bakat yang tersendiri. Perkataan ‘seni’ jika
ditambah dengan imbuhan ‘ke’ (awalan) dan ‘an’ (akhiran) membentuk perkataan
‘kesenian’ yang membawa pengertian yang lebih luas lagi iaitu perihal seni,
yang berkaitan dengan keindahan dan ketelitian penciptaan sesebuah karya seni
tersebut. Kesenian telah menjadi identiti dan amalan yang amat penting kepada
kebudayaan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa sejak turun temurun lagi.
Dengan kepelbagaian amalan kesenian dalam masyarakat berbilang kaum di negara
ini, identiti masyarakat Malaysia yang bersifat multikultural lebih terserlah
dan dikenali ramai.
(ii) Definisi Kebudayaan
Manakala, takrifan kebudayaan pula yang berasal daripada bahasa
Sanskrit, iaitu ‘buddhayah’ yang berasal daripada bentuk jamak dari
‘buddhi’ membawa maksud budi atau akal.
Pengertian ini boleh diertikan sebagai hal-hal yang berkaitan dengan budi dan
akal manusia. Dalam bahasa Inggeris, kebudayaan disebut ‘culture’ yang berasal
daripada perkataan Latin ‘colere’, iaitu bermaksud mengolah atau mengerjakan.
Pengertian ini bertolak daripada tradisi pekerjaan utama manusia yang berbentuk
mengolah tanah atau bertani (kerja-kerja pertanian).
Namun, pengertian kebudayaan yang bersabit dengan tradisi akal dan
budi manusia ini lebih menjurus kepada cara hidup sesuatu bangsa atau umatnya.
Untuk kita memahami gaya hidup berbagai jenis manusia termasuklah diri kita
sendiri, sosiologi seringkali menggunakan konsep budaya, yang merujuk kepada
perkongsian bersama barangan, ilmu dan kepercayaan sebuah kumpulan manusia atau
masyarakat. Konsep ini juga berkait rapat dengan bidang seni, sastera, dan
muzik klasik serta merangkumi aspek-aspek kehidupan lain dalam masyarakat kita.
Kepelbagaian kebudayaan ini lebih merujuk kepada kepelbagaian adat
dan budaya sesebuah masyarakat yang mempunyai pelbagai etnik dan kaum.
Stavenhagen (1986) berpendapat kepelbagaian budaya merupakan rangkuman dari
pelbagai aspek yang meliputi budaya, etnik, agama, amalan tradisi yang mengarah
kepada kecenderungan dan memberi kefahaman di antara sesama kaum. Kepelbagaian
Budaya menurut Kymlicka (1999) pula adalah merujuk kepada kepelbagaian yang
wujud dalam sesebuah masyarakat yang memberi tumpuan kepada : (1) memahami
fenomena perubahan setiap masyarakat secara universal (perspektif universal),
(2) mengkaji permasalahan dan konflik setiap etnik (perspektif etnik) dan (3)
mengkaji cara bagaimana setiap etnik mengekspresikan budaya mereka (perspektif
budaya).
Jadi, setiap kaum mempunyai budaya yang tersendiri. Setiap budaya
pula mempunyai keunikannya. kebudayaan adalah benda-benda yang diciptakan oleh
manusia sebagai makhluk yang berbudaya, mempunyai perilaku dan benda-benda yang
bersifat nyata, misalnya pola-pola perilaku, bahasa, peralatan hidup,
organisasi sosial, religi, seni, dan lain-lain, yang kesemuanya ditujukan untuk
membantu manusia dalam melangsungkan kehidupan bermasyarakat.
Fungsi Seni Dan Kebudayaan
Bidang seni dan kebudayaan mempunyai tujuan tertentu. Sudah tentu
kepentingan kedua-dua bidang ini memberi manfaat kepada masyarakat
keseluruhannya. Sejak berzaman lagi, bidang seni dan kebudayaan ini telah
memainkan peranan yang amat penting kepada masyarakat Malaysia. Selain menjadi
simbol perpaduan dan sosialisasi, seni dan kebudayaan juga merupakan aktiviti
kesenggangan dan rekreasi yang amat penting dalam kalangan masyarakat kita.
Di antara fungsi-fungsi bidang seni dan kebudayaan ini adalah
sebagai aktiviti riadah masyarakat. Masyarakat kita memang gemar beriadah
khususnya apabila waktu kelapangan. Bagi masyarakat yang tinggal di kampung,
masa senggang mereka diisi dengan aktiviti-aktiviti riadah seperti tarian, silat,
muzik dan sebagainya. Mereka mempelajari sesuatu tarian bukan sahaja untuk
tujuan keriangan sebaliknya mengisi masa lapang selain menjalin hubungan sesame
mereka. Keadaan ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan
komuniti mereka. Dari sudut kesihatan, aktiviti seumpama ini dapat memberi satu
bentuk senaman dan latihan anggota badan agar menjadi sihat dan cergas. Bagi
golongan lelaki, aktiviti bersilat juga aktiviti riadah yang baik mengasah
mental, emosi serta fizikal mereka agar sihat sejahtera.
Bagi aktiviti seni dan kebudayaan yang berkait rapat dengan agama,
seluruh penduduk dan masyarakat kampung terbabit dalam aktiviti berkenaan. Dari
sudut agama, hukumnya adalah wajib. Aktiviti-aktiviti seperti nasyid, marhaban
dan hadrah merupakan aktiviti kesenian Islam yang berkait rapat dengan amalan
keagamaan. Melalui aktiviti kesenian sebegini, pemupukan amalan keagamaan dapat
dilaksanakan secara berkesan serta memberi keinsafan sebagai seorang Islam. Hal
ini dapat mendidik ahli masyarakat supaya akur dengan perintah agama dan
mengerjakan perkara-perkara yang wajib dan sunat.
Hubungan masyarakat adalah amat penting. Proses sosialisasi yang
membabitkan sebilangan besar masyarakat adalah perlu bagai memupuk semangat
kerjasama dan perpaduan dalam kalangan mereka. Integrasi sosial ialah proses
menyatupadukan berbagai-bagai kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti
bersama dengan menghapuskan perbezaan dan identiti masing-masing. Keadaan ini
merupakan harapan bagi kebanyakan masyarakat, khasnya bagi masyarakat berbilang
kaum (Ting, 1997). Proses sosialisasi ini menggambarkan hubungan etnik sosial
dalam masyarakat. Melalui aktiviti ini, perpaduan antara kaum serta sikap
saling hormat menghormati dapat dibentuk sekaligus melahirkan masyarakat majmuk
yang harmoni.
Dari segi pendidikan, bidang ini dapat memupuk bakat dan minat
dalam jangka masa panjang supaya
memiliki ciri insan yang memiliki seni dan budaya, mempunyai citarasa seni yang
tinggi dan kreatif. Dalam konteks
sebagai guru yang mengajar di sekolah, pengajaran dan pembelajaran yang
melibatkan kemahiran yang pelbagai serta mengintegrasikan unsur-unsur lain
seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pendidikan supaya menjadi
lebih berkesan dan kreatif. Peranan sebagai seorang guru seni yang kreatif dan
inovatif amat penting dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran terus
berkesan dan relevan. Hal ini dapat menjadikan murid-murid lebih berkreativiti
bagi melahirkan insan pelajar yang celik dalam bidang seni dan kebudayaan.
Sebagai ahli dalam masyarakat, aspek komunikasi yang berkesan amat
penting. Proses penyampaian komunikasi yang baik dan berkesan dapat
mencerminkan perspektif sosialisasi yang baik. Bidang seni dan kebudayaan ini
sebagai media mendidik dan mengkritik yang lazim digunakan pada zaman dahulu
dan berkesan sebagai media komunikasi. Aspek seni seperti wayang kulit, wayang
orang dan seni teater, syair dan seumpamanya mempunyai pesanan atau mesej dalam
bentuk komunikasi lisan dengan tujuan mendidik masyarakat. Oleh yang demikian,
komunikasi adalah alat dan sumber kepada manusia untuk terus berhubung dengan
orang lain. Tuan Yacob (1998), menyatakan komunikasi sebagai informatif, iaitu
seseorang individu itu mengerti dan mengetahui, dan juga sebagai persuatif,
iaitu agar seseorang individu itu bersedia menerima sesuatu perubahan atau
keyakinan untuk melakukan sesuatu perbuatan atau kegiatan.
Seterusnya, aspek identiti. Identiti masyarakat merupakan medium
seni dan kebudayaan dalam masyarakat Malaysia. Aktiviti seni dan kebudayaan
telah membentuk suatu identiti bangsa Malaysia yang amat unik sekali. Identiti
ini seterusnya menjadi pegangan dan amalan hidup seharian masyarakat di negara
kita. Keunikan identiti ini telah menjadikan masyarakat Malaysia sebagai salah
sebuah masyarakat di dunia yang mempunyai kepelbagaian amalan dan aktiviti seni
dan kebudayaan. Justeru, hal ini merupakan simbol keagungan negara di mata
dunia sebagai sebuah negara multikultural yang disanjung tinggi serta
dihormati.
Penglibatan Masyarakat
Konsep budaya dan masyarakat memang tidak dapat dipisahkan. Ibarat
kata pepatah Melayu, ‘bagai aur dengan tebing’ begitulah keakraban hubungan
kedua-dua entiti ini. Kepelbagaian budaya bukanlah merupakan halangan hubungan
kaum di negara ini. Masyarakat Malaysia mulai menerima kepelbagaian budaya yang
diamalkan dalam kehidupam seharian. Misalnya, amalan budaya makanan dalam
masyarakat Malaysia semakin diterima dan dikongsi secara bersama. Menururt Zaid
Ahamad et al,.(2013) semangat penerimaan kepelbagaian budaya ini sekaligus
telah memajukan masyarakat Malaysia dengan nama ‘kesatuan dalam kepelbagaian’.
Dalam konteks
seni dan kebudayaan yang melibatkan masyarakat secara keseluruhannya ianya
banyak memberi manfaat serta penting dalam pertumbuhan hubungan antara kaum.
Melalui aktiviti-aktiviti seni dan kebudayaan ini penglibatan masyarakat dalam
memberi impak ke atas daya kecergasan fizikal, perpaduan kaum, dan pertumbuhan
ekonomi.
Kecergasan
Fizikal
Penglibatan masyarakat di dalam aktiviti seni dan kebudayaan dapat
meningkatkan kecergasan fizikal. Hal ini dapat dibuktikan melalui aktiviti yang
dilakukan iaitu permainan tradisional yang melibatkan banyak pergerakan yang
ringkas tetapi mampu memberikan impak senaman ringan yang sesuai untuk
dilakukan setiap hari. Melalui aktiviti seni dan kebudayaan di Malaysia
berbentuk seni suara, seni gerak , seni rupa, dan permainan tradisional
masyarakat dapat bergerak aktif dan menggunakan tulang empat kerat sepenuhnya.
Pergerakan yang berlaku secara optimum ini bukan sahaja sebagai latihan fizikal
tetapi juga dapat menyihatkan tubuh badan dan dapat dianggap sebagai satu
bentuk senaman.
Bagi kebanyakan bentuk seni, seni tari misalnya tidak lepas
daripada pergerakan. Suatu pergerakan yang berirama merupakan medium ekspresi
individu melalui gerak-geri berirama yang indah yang membawa kepada kecergasan
fizikal. Selain itu juga, aktiviti seperti galah panjang juga dapat
meningkatkan kecergasan fizikal masyarakat kerana apabila mereka bermain
bersama di dalam suasana yang gembira dan kondusif, mereka dapat menunjukkan
seratus peratus potensi diri dan seterusnya menjamin kesihatan diri kerana
aktiviti senaman seumpama ini dapat membakar kalori di dalam badan.
Perpaduan Kaum
Penumpuan penglibatan aktif semua golongan dalam aktiviti seni dan
kebudayaan juga menyumbang ke arah membangun individu secara total, mempererat
perpaduan negara serta mempertingkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia. Aspek
perpaduan kaum bukan suatu isu yang remeh temeh. Usaha yang berterusan untuk
membangun nilai budaya yang positif dan mewujudkan satu Bangsa Malaysia adalah
penting untuk mengekalkan perpaduan negara dan keharmonian dalam mencapai
matlamat pembangunan terutamanya dalam suasana kepelbagaian etnik di Malaysia.
Sehubungan ini, beberapa kempen budi bahasa dan integriti ke arah
memperkukuh nilai sosial dan sikap akan diberi penekanan. Kempen dan program
lain yang berkaitan akan memberi tumpuan kepada perlunya rakyat Malaysia
mengamalkan sikap bertolak ansur, hormat-menghormati dan nilai positif lain
yang perlu untuk mengekal perpaduan negara, keharmonian sosial dan
kemuafakatan. Bagi memupuk penghayatan yang lebih baik kepada bidang seni dan
kebudayaan ini Program Merakyatkan Seni dan Budaya yang bertujuan untuk mendekatkan
kembali seni kepada masyarakat serta menjadikan seni sebahagian daripada
kehidupan seharian dilaksanakan. Aktiviti ini merangkumi persembahan seperti
tarian tradisional dan moden, drama dan muzik serta aktiviti berkaitan seni dan
kraf dan akan melibatkan masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar. Program
untuk mendidik dan menghebahkan kepentingan dan penghayatan nilai budaya, seni
dan warisan di kalangan masyarakat diberi penekanan agar selari dengan hasrat
penyatuan kaum di Negara ini dicapai. Kesemua ini amat penting kepada masyarakt
bagi menjamin hubungan kaum terus terpelihara dan negara berada dalam keadaan
aman dan sejahtera.
Ekonomi
Dari sudut ekonomi, aktiviti seni dan kebudayaan juga tidak kurang
penting sumbangnya. Perkembangan semasa ekonomi global menunjukkan industri
kreatif adalah salah satu sumber penting pertumbuhan ekonomi dan percambahan
budaya di negara-negara maju. Misalnya, di Amerika Syarikat, industri ini telah
menyumbang sebanyak USD$3 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Dalam perspektif ekonomi dan sosiobudaya Malaysia, industri kreatif telah
memberi sumbangan sebanyak RM9.4 bilion kepada KDNK negara pada tahun 2008 dan
berpotensi menjana ekonomi berpendapatan tinggi serta memartabatkan budaya bangsa.
Justeru, amat penting industri ini dibangunkan secara bersepadu dan terancang
melalui satu dasar dan hala tuju yang komprehensif (Kementerian Kebudayaan
Kesenian dan Warisan Malaysia, 2005).
Antara lain, usaha yang berterusan diambil untuk membangun dan
meningkatkan kualiti kraf Malaysia. Usaha ini meliputi penyelidikan dan
pembangunan mengenai kaedah baru bagi meningkatkan kemahiran pertukangan serta
membangunkan reka bentuk dan teknologi baru. Usaha mempromosi kraf Malaysia di
pasaran tradisi dan baru dilaksanakan secara meluas dengan kerjasama sektor
swasta. Kaedah pemasaran yang inovatif dan kreatif serta penjenamaan kraf
negara diusahakan. Potensi ekonomi industri budaya kreatif terus berkembang dan
menyediakan peluang perniagaan kepada para usahawan. Industri kraftangan juga
dapat memastikan keutuhan ekonomi melalui bidang pelancongan iaitu menarik
minat pelancong asing membeli barangan tersebut.
Justeru itu, penglibatan masyarakat amat penting bagi menarik
kedatangan pelancong asing untuk berkunjung ke Malaysia, melalui aktiviti seni
dan kebudayaan ini masih relevan dilakukan dan seterusnya dapat menjana ekonomi
negara Malaysia.
Penglibatan Murid
Di peringkat bangku sekolah, penglibatan murid dalam aktiviti seni
dan kebudayaan turut penting dan memberi kesan positif ke atas perkembangan
diri dan kemajuan akademik mereka. Bagi memaksimumkan pencapaian ini, sebagai
seorang murid yang berdaya saing dan tabah menghadapi cabaran, kemahiran
komunikasi mereka juga turut terserlah di mana hubungan mereka secara personal
dan interpersonal dapat ditingkatkan lagi sejajar dengan nilai empati, harmoni
dan pemahaman sesama insan yang lain di sekolah. Hubungan baik dengan
rakan-rakan dan guru merupakan aspek yang penting bagi mewujudkan persekitaran
sekolah yang sihat. Keadaan ini akan mendorong proses pengajaran dan
pembelajaran ke tahap yang tinggi serta memberi faedah kepada semua pihak.
Aktiviti kesenian dan kebudayaan memainkan peranan penting di dalam
membentuk sahsiah dan jati diri murid. Kepelbagaian budaya yang datang dari
setiap pelosok negara turut mencorakkan lagi landskap kebudayaan dan kesenian
di Malaysia. Dalam hal ini, aktiviti seni dan kebudayaan yang dapat melibatkan
murid adalah aktiviti tarian dan permainan tradisional.
Tarian
Tarian adalah boleh didefinisikan sebagai sebagai suatu pergerakan
yang berirama. Dalam kebudayaan masyarakat Malaysia terdapat berbagai-bagai
jenis tarian , sama ada tarian asli ataupun tarian yang telah dipengaruhi oleh
unsur-unsur moden. Tarian-tarian yang bercorak seni tari istana yang
dipersembahkan pada waktu perkahwinan, pertabalan, istiadat menyembah dan
sebagainya. Tarian-tarian ini termasuklah tarian siti payung, mak inang, asyik
, gamelan dan sebagainya.
Berkenaan dengan penglibatan murid dalam seni tarian ini ianya
lazim berlaku di peringkat sekolah. Murid-murid selalunya mengemari aktiviti
tarian ini sejak kecil lagi dan bergerak aktif sebagai gerak kerja luar bilik
darjah mereka. Penglibatan murid-murid dalam tarian dapat menonjolkan lanskap
bakat dan potensi diri mereka keseluruhannya. Dalam pergerakan seni tarian ini,
pergerakan kreatif merupakan satu bentuk aktiviti yang menggabungkan
gerakan-gerakan fizikal anggota badan secara menyeluruh dan dilakukan secara
kreatif (meliputi aktiviti gerak tari) bertujuan untuk membantu murid-murid
menyelesaikan masalah dan melahirkan perasaan masing-masing (expressive and
functional ).
Dalam aktiviti muzik, pergerakan kreatif adalah pergerakan di mana
murid-murid bergerak mengikuti muzik yang dimainkan. Setiap individu meluahkan
perasaan dan persepsi mereka berkenaan muzik yang didengari. Potensi pergerakan
murid-murid boleh dirangsang melalui ritma dan pelbagai bentuk tari.
Kanak-kanak mempunyai keiginan untuk bergerak dan sentiasa aktif. Salah satu
satu cara untuk memuaskan keiginan untuk begerak ialah menerusi tarian.
Kanak-kanak dapat menikmati kepuasan melalui gerak-tari yang berentak dan
berirama dalam tarian.
Di sekolah
proses pengintegrasian merupakan satu aspek yang penting dalam proses pengajaran
dan pembelajaran. Terdapat banyak jenis pengintegrasian yang boleh dijalankan dalam pengajaran di
sekolah. Antaranya pengintegrasian pelbagai kemahiran dan mata pelajaran
tertentu dalam konteks kurikulum di sekolah rendah. Bagi aktiviti seni tarian ini,
pengintegrasian mata pelajaran yang boleh dijalankan adalah yang berkaitan
dengan integrasi Seni Visual dalam
pendidikan, muzik dan pergerakan. Pengintegrasian ini banyak memberi manfaat
kepada pelajar terutama dalam menguasai kemahiran belajar dan seterusnya
mengembangkan bakat serta potensi mereka dalam bidang tarian.
Banyak peluang dan
ruang untuk mereka melibatkan diri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran
di sekolah. Pelajar-pelajar didedahkan dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan
yang berguna dalam usaha melatih mereka menjadi pelajar yang aktif dan
progresif. Penggunaan strategi ini membolehkan pelajar berpeluang menguasai
beberapa kemahiran yang berkaitan dengan cara bersepadu.
Permainan
Tradisional
Penglibatan murid-murid dalam permainan tradisional juga penting.
Ianya bukan sahaja memenuhi tuntutan kurikulum tetapi yang lebih penting
sebagai usaha mempertahankan jenis permainan ini tidak pupus dan diketepikan
oleh golongan muda. Di peringkat sekolah telah ditubuhkan banyak kelab
permainan dalaman seperti congkak, batu seremban dan sebagainya. Ini bagi
mendedahkan murid kepada aktiviti permainan tradisional bermula daripada
peringkat sekolah rendah lagi. Lazimnya, permainan ini bersifat kekampungan
sahaja dan dimainkan oleh golongan dewasa sahaja. Hasrat Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) memperkenalkan jenis-jenis permainan tradsional ini dipelajari
di sekolah-sekolah adalah tepat demi kelangsungan permainan ini terus
terpelihara dan diminati golongan generasi muda.
Di Malaysia
permainan tradisional ini juga dikenali sebagai permainan rakyat atau folk
games. Permainan ini juga dikenali sebagai pemainan masa senggang atau sukan
rakyat. Permainan rakyat berfungsi sebagai medium hiburan, sosialisasi dan meningkatkan
kecergasan. Selain itu, permainan rakyat juga menjadi aktiviti utama untuk
menyerikan majlis keramaian dan perkahwinan pada zaman sebelum kemerdekaan.
Bagi permainan tradisional yang melibatkan murid-murid termasuklah main telaga
buruk, guli-guli, main galah, main kapal terbang, cina buta, ketup atau
sembunyi dan lain-lain. Permainan tradisional ini wujud sejak sekian lama lagi,
permainan ini mudah, jimat dan boleh dimainkan bila-bila dan di mana sahaja.
Selain melibatkan kos yang rendah, permainan tradisional ini melibatkan
penggunaan bahan yang mesra alam berbanding alatan dalam permainan moden.
Penglibatan
murid-murid dalam permainan tradisional ini tidak harus dipandang sepi. Mereka
harus didedah pada peringkat awal lagi dan diberi peluang mewarisi warisan
pusaka bangsa serta mewarnai masyarakat masa hadapan, justeru, penglibatan
murid secara langsung dalam permainan tradisional ini nescaya dapat
mempopularkan permainan ini dan mengelakkan ianya pupus dan lenyap begitu
sahaja di negara ini.
Kepentingan Keterlibatan
Sejajar dengan kepentingan penglibatan aktif murid-murid sekolah
rendah dalam aktiviti seni dan kebudayaan ini dikatakan mempunyai kaitan dengan
perkembangan domain psikomotor, kognitif dan afektif mereka. Hal ini memang
tidak dapat disangkal lagi. Bagi membincangkan kepentingan keterlibatan secara
langsung murid-murid ini, pendekatan secara teori berhubung dengan gaya
pembelajaran mereka di sekolah turut diambil kira.
Pada pandangan pengkaji, Teori Pembelajaran Konstruktivisme di mana
aliran Behaviorisme, proses pembelajaran individu mensasarkan pengetahuan
diperolehi secara kognitivisme. Kaedah pembelajaran telah ditemui berhubung
dengan manusia sebagai cara untuk mengubah tingkah laku manusia (behavior
change) dan potensi (potential behavior change) yang ada pada seseorang,
khususnya murid-murid. Dengan lain perkataan, proses pembelajaran murid-murid
berlaku berasaskan ‘hukum pekaitan’ (Law of Association) yang diutarakan oleh
ahli Falsafah Yunani awal seperti Aristotle. Ivan Pavlov seorang ahli psikologi
Rusia telah menjalankan satu siri percubaan secara saintifik dan sistematik
mengkaji bagaimana pembelajaran berlaku pada sesutau organisma. Menurut Ivan Pavlov (1849-1936) ‘sesuatu organisma akan
teringat sesuatu kerana sebelum ini ia pernah mengalami sesuatu yang
berkaitan’. Tambah beliau lagi,
‘Learning is a result on an association
formed between a stimulus (such as food) and a respond (the animal
salivating)’. Dalam kajian ini, anjing telah ‘belajar’ mengaitkan bekas makanan
yang dilihat dengan makanan yang diberikan kelak. Oleh sebab itu, pemilihan
prinsip pedagogi pengajaran yang sesuai untuk sesuatu pelajaran amat penting
supaya penglibatan murid-murid pada tahap optimum.
Bertitik tolak daripada aliran Behaviorisme ini, proses
pembelajaran murid-murid mensasarkan
pengetahuan diperolehi secara kognitivisme. Seorang sarjana, Jean Piaget
mengatakan bahawa kognitivisme adalah perwakilan mental yang dikenali skema. Skema
akan menentukan bagaimana data dan maklumat yang diterima akan difahami oleh
minda manusia. Jika maklumat tersebut sesuai dengan skema yang ada, maka skema
tersebut diterima atau mungkin ditolak atau diubah suai.
Pandangan kognitivisme telah
melahirkan Teori Pembelajaran Konstruktivisme yang menjelaskan pengetahuan
dibina secara aktif oleh individu yang berfikir. Dalam konteks ini, murid-murid
tidak menerima sebarang maklumat (pengetahuan) tanpa berfikir dan
menyesuaikannya dengan idea dan maklumat baru selaras dengan pengetahuan sedia
ada mereka. Keadaan ini terbentuk hasil daripada interaksi sosial bersama guru
dan rakan mereka. Bagi mencapai matlamat ini, guru perlu memilih kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan pelbagai kebolehan dan minat
pelajar.
Teori Konstruktivisme ini merupakan proses pembelajaran yang
mewujudkan bagaimana pengetahuan (knowledge) disusun dalam minda pelajar. Teori
ini bertitik tolak daripada pandangan aliran Behaviorisme yang mengkaji
perubahan tingkah laku sehingga kepada kognitivism yang mengkaji tentang cara
manusia (murid-murid) belajar dan memperolehi pengetahuan yang menekankan
perwakilan mental mereka. Pengetahuan (knowledge) dikembangkan secara aktif dan
lazimnya pembelajaran berpusatkan murid-muird (student-centred).
Prinsip pembelajaran teori konstruktisvisme lebih menekankan aspek
pembelajaran (learning) berbanding dengan pengajaran (teaching). Kekuatan teori
ini memberi peluang dan ruang bagi murid-murid memilih goal (goal), strategi
dan penilaian ke atas pembelajaran
mereka. Para guru hanya berperanan sebagai fasilitator (pemudah cara) serta
membimbing murid-murid ke arah pembelajaran mereka. Keadaan ini akan memberi lebih
keyakinan dan motivasi kepada murid-murid dalam meneroka pembelajaran
berdasarkan inisiatif sendiri. Keupayaan murid-murid mengkonstruk pengetahuan
melalui aktiviti pembelajaran seperti projek atau kajian dan seumpamanya telah
memaksimumkan kecenderungan kognitif (cognitive predisposition) mereka. Bagi
mengatasi murid-murid yang lemah membaca, penekanan diberi kepada mereka bagi
membentuk kemahiran (skill) dan pengetahuan (knowledge) dengan mengaitkan
pengalaman lampau untuk kegunaan masa depan. Murid-murid harus membina sendiri
proses berfikir mereka dan kemahiran berkomunikasi yang baik dan jelas.
Psikomotor
Berhubung dengan
aspek psikomotor murid, perkembangan domain ini aplikasi sesuatu konsep yang
berkaitan dengan kecekapan dan keberkesanan pergerakan yang boleh dipindahkan
dan digunakan dalam pelbagai situasi semasa perlaksanaan sebarang pergerakan.
Proses ini berkembang dari peringkat rendah ke tinggi. Terdapat beberapa
prinsip asas yang boleh diaplikasikan agar pelaksanaan sesuatu pergerakan akan
menjadi lebih baik, efisen,dan selamat. Peningkatan kemahiran psikomotor juga
membolehkan individu bertindak balas dengan pantas dan tepat. Keupayaan ini
pastinya akan mewujudkan suatu budaya masyarakat yang aktif dan progresif.
Bertepatan dengan penglibatan murid dalam aktiviti seni dan kebudayaan ini
berpanduan teori kontruktivisme ini menekankan agar murid belajar memahami,
aplikasi dan menilai akan keupayaan diri mereka.
Kognitif
Aspek kognitif pula, menekankan proses pemindahan pembelajaran
bergantung kepada pembelajaran aktif dimana murid akan memproses maklumat yang
telah diperolehi secara aktif supaya ianya dapat digunakan kemudian. Domain
kognitif menganggap proses pembelajaran adalah satu proses perolehan
pengetahuan dan disusun semula melalui proses pemprosesan maklumat dan disimpan
sebagai maklumat yang berguna.
Penglibatan aktif dianggap murid dalam aktiviti seumpama ini
memerlukan dialog dan perbincangan sesama murid atau antara guru dan murid.
Oleh yang demikian, faktor berbahasa (komunikasi) dan kemahiran berfikir dalam
kalangan murid perlu dititikberatkan
dalam proses komunikasi mereka. Kemahiran berfikir juga intipati kepada aspek
kognitif yang amat penting itu.
Afektif
Domain afektif juga
penting dalam perkembangan murid-murid yang aktif dalam aktiviti seni dan
kebudayaan. Aspek ini merupakan sesuatu
yang berkaitan dengan sikap dan nilai. Dalam penglibatan murid dalam aktiviti
seni dan kebudayaan, aspek afektif ini mencakupi perasaan, minat, sikap, emosi
dan nilai. Dalam penglibatan, murid mempunyai perasaan terhadap sesuatu yang
ingin disertai. Minat akan menjadi fokus utama tahap penglibatan mereka.
Manakala emosi pula banyak mempengaruhi semasa penyertaan tersebut dan nilai
yang dapat ditunjukkan adalah nilai menghargai warisan, sahsiah yang baik dan
rasa kesyukuran. Ini jelas menunjukkan bahawa domain afektif ini menekankan
kepada kepentingan emosi dan perasaan murid-murid.
Justeru itu, seseorang murid yang mempunyai domain afektif yang
tinggi dalam dirinya akan dapat dilihat menerusi berbagai tingkah laku.
Antaranya adalah seperti, pemerhatian murid tersebut terhadap aktiviti yang
disertai, disiplin, motivasi yang tinggi yang tinggi ditunjukkan. Fokus utama murid-murid dalam aktiviti-
aktiviti seni dan kebudayaan adalah meluahkan perasaan dalam karya dan
penglibatan serta memiliki motivasi yang sangat tinggi sehingga tumpuan
diberikan seratus peratus terhadap karya yang ingin dihasilkan. Keadaan ini
mempunyai perkaitan dengan sifat naluri
(instinc) yang dimiliki oleh seseorang murid yakni keupayaan murid menggunakan
dan memahami bahasa secara wajar dalam proses berkomunikasi dan berinteraksi
dengan individu lain dan jalinannya dengan konteks sosial.
Rumusan
Sebagai rumusan
dapatlah disimpulkan bahawa aspek seni dan kebudayaan amat penting kepada
masyarakat di negara ini. Kedua-dua entiti ini sememangnya berkait rapat dan
sangat senonim dengan masyarakat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai
bangsa, keturunan, agama dan nilai budayanya. Perbezaan seni dan kebudayaan bukanlah
merupakan halangan satu bentuk perhubungan dan komunikasi yang baik dan mantap
sebaliknya menjadi sumber kekayaan kepada nilai seni dan budaya masyarakat kita
di mata dunia. Sifat multikultural yang dimiliki oleh masyarakat di negara ini
menjadi aset penting dalam memperkayakan khazanah seni dan budaya malah turut
menjadi daya tarikan pelancong luar. Keadaan ini telah memberi impak positif ke
atas ekonomi negara pada masa kini.
Penglibatan pelbagai
lapisan masyarakat terutama golongan pelajar dalam bidang seni dan kebudayaan
ini turut memberi kesan positif terhadap pertumbuhan diri, khususnya tahap
kecergasan fizikal, aspek perpaduan kaum, dan ekonomi masyarakat secara
keseluruhannya. Keadaan ini telah melonjakkan nilai tambah (add values) bidang
seni dan kebudayaan dalam ruang lingkup masyarakat majmuk di Malaysia sekaligus
menjadikan kedua-dua bidang ini amat penting dan terus menyumbang terhadap
pembangunan negara secara keseluruhannya. Penglibatan aktif golongan murid di
peringkat sekolah menandakan evolusi seni dan kebudayaan ini terus berkembang
dan mendapat tempat di benak sanubari golongan muda hari ini. Sejajar dengan
kepentingan bidang ini dalam mencorakkan tahap perkembangan domain psikomotor,
kognitif dan afektif murid di sekolah pada tahap yang optimum juga.
Rujukan
Fatimah Daud. (1984). Some patterns of ethnic relations in
Malaysia. Asia Profile 13(2): 117-29.
Hassan, S.H. (1994). Modul Sejarah Sebagai Alat Pendidikan.
Jakarta: Universitas Terbuka.
Kamus Dewan. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan Malaysia.
(2005). Kuala Lumpur: Ministry of Culture, Arts and Heritage of Malaysia Press.
Kymlicka, W. (2002). Kewargaan Multikultural, Terjemahan
Edlina Hafmini Eddin. Jakarta: LP3ES.
Marshall, G. (pent).(1994). The Concise Oxford Dictionary of
Sociology. Oxford: Oxford University Press.
Modul QGJ3033 Sukan Sepanjang Hayat dan Rekreasi. Tanjong
Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Stavenhagen, R.(1986). Problems and Prospects of Multiethnic
States. Tokyo: United Nations University Press.
Ting Chew Peh. (1997). Konsep Asas Sosiologi. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tuan Yacob Bin Raja Mohamad. (1998).‘Gaya Komunikasi Guru
Besar Hubungan Dengan Komitmen Guru-Guru’. Majalah CERANA Jabatan Pendidikan
Negeri Johor, Bil. 3, 1998.
Zaid Ahmad, Ruslan Zainudin, Sarjit Singh, Ahmad Tarmizi
Talib, Ho Hui Ling, Lee Yok Fee. Najeemah Mohd Yusof & Nazri Muslim.
(2013). Hubungan Etnik di Malaysia. Edisi Ketiga. Selangor: Oxford Fajar.
Comments
Post a Comment