KEMAMPUAN SISWAZAH MENYELESAIKAN MASALAH PENGANGGURAN
Siswazah mampu selesaikan masalah pengangguran
Oleh ROZAINAH ABDUL RAHIM
PENULIS ialah pelajar di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
UiTM Shah Alam
Kadar pengangguran di kalangan siswazah di negara ini semakin hari
kian bertambah, apa puncanya dan adakah ia relevan berlaku kepada pelajar
lepasan universiti? Apakah sebenarnya masalah yang menyebabkan mereka menjadi
penganggur?
Kebanyakannya bukan tidak mendapat pekerjaan atau sebarang tawaran
tetapi mungkin kerjaya yang ditawarkan tidak bersesuaian dengan minat mereka.
Kebanyakan mereka masih mencari kerjaya yang dirasakan bersesuaian dengan
status mereka sebagai lepasan universiti.
Antara faktor yang menyebabkan pengangguran ialah sikap siswazah
yang terlalu memilih pekerjaan atau tidak berminat dengan sesuatu pekerjaan
yang ditawarkan kerana beranggapan tidak setaraf dengan kelulusan mereka semasa
menuntut di universiti malah lebih suka tinggal di rumah tanpa melakukan
apa-apa pekerjaan daripada bekerja yang bukan dalam bidang mereka.
Pemikiran minda graduan yang beranggapan lebih baik menganggur
selagi belum ada kerja yang sesuai seharusnya dibuang kerana sikap ini
merugikan diri sendiri dan sektor pekerjaan yang memerlukan tenaga kerja.
Jika dilihat, banyak sebenarnya peluang pekerjaan ditawarkan tetapi
para graduan tidak pandai mengambil peluang yang ada. Selain itu, mereka juga
boleh memperolehi pekerjaan dengan pelbagai cara selain bergantung pada sektor
pekerjaan sedia ada.
Sebagai contoh, mereka boleh memulakan perniagaan sendiri dengan
menggunakan ilmu yang telah dipelajari semasa menuntut di universiti. Ini
kerana, pelajar universiti telah sedia dilatih dengan ilmu semangat
keusahawanan yang membolehkan mereka berniaga sendiri yang ternyata boleh
membawa keuntungan tanpa bergantung kepada majikan kerana pendapatan adalah
atas hasil usaha sendiri.
Sememangnya persaingan antara graduan merupakan salah satu masalah
besar yang mendorong kepada pengangguran siswazah terutama faktor kelulusan
yang tidak sesuai dengan permintaan dunia kerjaya. Terdapat senarai kriteria
yang dispesifikasikan oleh majikan dalam memilih graduan yang diingini.
Graduan yang mempunyai kelulusan yang tidak memuaskan atau
cemerlang akan menghadapi masalah dan terpaksa menganggur dalam masa yang lebih
lama.
Pengangguran di kalangan siswazah akan terus terjadi sekiranya
mereka tidak berusaha mencari alternatif membina kerjaya sendiri atau
menceburkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti bidang keusahawanan yang boleh
membantu menggerakkan ekonomi di samping dapat mewujudkan peluang pekerjaan
kepada golongan lain.
Peluang bagi golongan siswazah menceburi pelbagai bidang pekerjaan
persendirian, perniagaan dan keusahawanan amat luas. Bidang-bidang yang boleh
diceburi ini bagaimanapun memerlukan inisiatif dan kegigihan selain pemikiran yang
kreatif untuk menuju kejayaan.
Penguasaan penggunaan bahasa Inggeris dengan baik juga merupakan
faktor penting yang memudahkan seseorang graduan itu mendapat peluang pekerjaan
yang diinginkan selain kebanjiran para siswazah dari institusi pengajian tinggi
awam dan juga swasta yang terlalu banyak sehinggakan jumlah penganggur dan
kerja kosong tidak sama rata.
Kemahiran bahasa ketiga merupakan bonus kepada diri siswazah kerana
ia satu kelebihan yang melengkapi pakej seseorang dalam urusan kerja yang memerlukan
perhubungan dengan pihak luar seperi bahasa Mandarin, Jepun, Perancis, Jerman,
Arab dan Korea. Majikan semestinya akan memilih untuk mengambil pekerja yang
mempunyai kelebihan seperti penguasaan bahasa ketiga yang akan menyumbang
kemudahan kepada syarikatnya pada masa akan datang.
Para siswazah juga hendaklah membiasakan diri dengan aktiviti luar
dan sosial seperti aktiviti kemasyarakatan dan tidak menumpukan pada akademik
semata-mata. Mereka juga perlu melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang
akan melatih diri bagaimana menghadapi khalayak ramai, menyelesaikan masalah,
berorganisasi, dan melakukan tugas dengan baik.
Aktiviti bersosial boleh memberi banyak kelebihan pada diri
seseorang berbanding duduk di rumah sahaja menunggu panggilan kerja yang belum
tentu. Pihak majikan biasanya mementingkan pengalaman berbanding dengan
akademik kerana jika mereka mengadakan latihan intensif untuk pekerja baru, ia
akan memerlukan perbelanjaan dan mengambil masa.
Pengangguran siswazah tidak memberi manfaat kepada diri sendiri,
keluarga, masyarakat, dan negara. Masalah ini haruslah dibendung segera oleh
siswazah dengan bersikap tidak terlalu memilih pekerjaan dan berfikir secara
profesional terhadap sesuatu pekerjaan dan mempunyai sikap bertanggungjawab
kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Selain itu juga, pihak kerajaan dan IPTA turut memainkan peranan
penting dalam menangani masalah pengangguran dengan melaksanakan program di
sekolah atau universiti berkaitan kerjaya. Kursus-kursus dan perancangan mengenai
kerjaya perlu diadakan untuk graduan dalam pelbagai bidang bagi mewujudkan
modal insan yang terlatih.
Para pendidik juga memainkan peranan besar dalam membimbing para
pelajar yang masih di bangku sekolah atau di IPT supaya bersedia dan merancang
lebih awal untuk memilih bidang kerjaya sesuai dengan kemahiran dan kehendak
persaingan di pasaran supaya mendapat tempat dalam pekerjaan yang sesuai.
Oleh itu, graduan perlu berfikir secara profesional dan bijak
merancang masa hadapan dan tidak salah jika bermula dari bawah untuk
memperolehi pengalaman dan bukannya terus berada di atas.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120618/re_07/Siswazah-mampu-selesaikan-masalah-pengangguran#ixzz4qBvCZ0qu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Comments
Post a Comment