BUDAYA DI MALAYSIA
Budaya Popular dalam Pembangunan Masyarakat dan Budaya
Melayu
Abad ini dunia menghadapi gelombang kepesatan perkembangan
budaya popular yang dibawa bersama dalam proses globalisasi yang semakin
meningkat. Fenomenon ini melanda masyarakat di peringkat global terutama
berikutan dengan pesatnya pembangunan teknologi. Ini telah menarik perhatian
para pengkaji masyarakat dan budaya untuk memahami kesan dan pengaruhnya kepada
masyarakat dan budaya di luar negara-negara maju.
1. Gelombang budaya popular yang berkembang
secara global itu didapati memainkan peranan yang semakin penting bukan sahaja
dari segi pengaruh budaya, malahan turut berperanan dalam membawa pembangunan
ekonomi, teknologi dan seterusnya dalam menyalurkan ideologi negara-negara maju
ke paras global.
2 Kesannya
itu amat dirasai di negara-negara sedang membangun seperti Malaysia.
Fenomenon budaya popular didapati merupakan sebahagian
penting dalam kehidupan masyarakat moden kini. Peranan fenomenen itu dalam
mempengaruhi pembinaan peradaban manusia tidak dapat dinafikan. Oleh itu,
fenomenon ini tidak boleh dianggap kurang penting, tetapi perlu diberikan
perhatian serius, terutama untuk menilai kesannya dan menyusun strategi
perancangan pembangunan budaya selaras dengan perubahan yang berlaku di
peringkat global.
Perbincangan ini bertujuan untuk meninjau kedudukan peranan
budaya popular Melayu sebagai suatu arus perkembangan budaya moden yang turut
mempengaruhi masyarakat dan budaya Melayu.
3 Selain itu,
perbincangan ini turut menilai keberkesanan perkembangan budaya popular dalam
membawa perubahan kepada kehidupan orang Melayu, terutama nilai-nilai sosial.
Perbincangan juga memberikan perhatian terhadap permasalahan pembinaan budaya
kebangsaan dan pembangunan sosial dalam pesatnya arus perkembangan budaya
popular itu.
Konsep dan Pemikiran Fenomenon Budaya Popular
Fenomenon budaya popular itu secara umumnya boleh difahami
sebagai unsur-unsur budaya yang diminati, atau disukai ramai. Konsep budaya
dalam pengertian yang luas secara mudah adalah sebagai keseluruhan cara hidup,
yang menjadi amalan dan dikongsi bersama oleh anggota-anggota masyarakat.
4 Dalam
konteks yang lebih khusus konsep “budaya” dalam budaya popular itu merujuk
kepada segala perlakuan yang merupakan keperluan manusia atau anggota-anggota
masyarakat untuk mengisi keinginan yang lebih tinggi, iaitu bersifat ekspresif
dan simbolik.
5 Unsur-unsur
budaya itu dihasilkan untuk diminati dan dihayati secara bersama, dan dengan
ini menyatakan penerimaan atau pengesahan masyarakat untuk dikongsi bersama.
Majoriti penduduk atau anggota-anggota masyarakat itu
terdiri daripada golongan muda, termasuk golongan remaja. Sesuatu unsur budaya
itu selalunya merupakan fenomenon popular di kalangan golongan itu, dan ini
selalu dirujuk sebagai budaya muda mudi. Biasanya pengusaha budaya popular itu
menumpukan sasaran penawaran bahan-bahan budaya itu kepada golongan muda mudi
itu. Walau bagaimanapun budaya popular berkembang dan tersebar secara meluas
meliputi semua golongan dan kelompok sosial, tidak terbatas di kalangan
kelompok itu.
Konsep budaya popular tidak boleh dianggap membawa maksud
yang sama dengan budaya massa.
6 Budaya
massa itu selalu dirujuk sebagai unsur-unsur budaya yang disalurkan melalui
media massa, seperti media cetak dan media elektronik. Tetapi budaya massa itu,
yang tersebar meluas melalui media popular turut diminati ramai dan menjadi
sebahagian daripada budaya popular. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan
lagi, peranan media massa itu amat penting dalam membina fenomenon budaya
popular. Malahan, teknologi media massa itu mendorongkan kepesatan perkembangan
budaya popular.
Budaya popular sebagai fenomenon budaya memainkan peranan
penting dalam menggalakkan dinamiknya budaya itu, dan seterusnya mempengaruhi
kedudukan peradaban sesuatu masyarakat itu. Terdapat anggapan sesetengah pihak
yang memandang rendah dan mengaitkan penyebaran bahan-bahan budaya popular itu
dengan peningkatan masalah sosial terutama di kalangan remaja. Selain itu,
terdapat pula anggapan yang mengaitkan budaya popular dengan rendahnya
penghayatan nilai-nilai seni dalam masyarakat.
7 Persoalan
seperti itu akan diperkatakan dalam kertas ini. Walau bagaimanapun, budaya
popular kini adalah sebahagian daripada kehidupan masyarakat moden, yang
mempengaruhi semua golongan masyarakat tanpa mengira kelas sosial. Budaya
popular itu tersebar luas, merintasi kelas atau kelompok.
Perkembangan Budaya Popular
Kemunculan budaya popular dalam konteks masyarakat moden
adalah berkaitan dengan pembangunan ekonomi, misalnya perkembangan ekonomi
kapitalis. Budaya popular moden di Malaysia pula mulai berkembang berikutan
dengan perubahan ekonomi yang dibawa oleh pemerintah kolonial.8 Pusat perubahan
ekonomi itu ialah di bandar. Oleh itu kemunculan fenomenon budaya popular moden
itu turut berpusat di bandar-bandar besar. Bandar itu juga sebagai pusat
perubahan budaya. Dalam konteks ini proses modenisasi dan urbanisasi memainkan
peranan penting dalam kemunculan dan perkembangan fenomenon budaya popular.
Perubahan yang berlaku di bandar-bandar kolonial itu kemudian turut
mendorongkan kemunculan budaya popular Melayu.
Pembangunan bandar-bandar moden telah membawa perubahan
pesat kepada gaya hidup penduduk bandar. Pembangunan ekonomi yang berpusat di
bandar-bandar itu telah menarik ramai pekerja dari luar bandar. Mereka ini
memerlukan penawaran unsur-unsur budaya bagi mengisi masa lapang, dan keperluan
yang lebih tinggi. Gaya hidup mereka yang berbeza daripada gaya hidup golongan
elit di bandar, memberikan peluang penawaran unsur-unsur budaya bercorak
popular untuk mengisi keperluan mereka itu.9
Unsur-unsur budaya mulai ditawarkan secara komersial,
misalnya sebagai bahan hiburan, mainan, pengisian masa lapang atau keperluan
mengisi gaya hidup moden. Oleh itu unsur-unsur budaya menjadi komoditi budaya
atau bahan budaya yang dikomersialkan untuk mengisi keperluan orang ramai.10
Pembangunan teknologi dan ilmu pengetahuan moden turut
mendorongkan peningkatan perkembangan budaya popular. Teknologi membolehkan
produktiviti ditingkatkan dan dengan itu penawaran bahan-bahan budaya boleh
disebarkan secara meluas. Dengan teknologi itu juga membolehkan penawaran
bahan-bahan budaya itu dapat dipertahankan mutunya. Malahan, dengan pesatnya
pembangunan teknologi, penawaran bahan-bahan budaya itu dapat dipelbagaikan.
Misalnya, teknologi telekomunikasi terkini membolehkan penawaran bahan-bahan
budaya dilakukan secara global dan penyebarannya dapat disegerakan.
Perkembangan budaya popular yang berasaskan kegiatan
komersial itu, maka pihak pengusaha menguruskan dagangan itu sebagai suatu
industri sebagaimana pengurusan industri yang lain juga. Dalam perjalanan
pengurusan industri budaya itu, bahan-bahan yang ditawarkan adalah selaras
dengan cita rasa budaya orang ramai.11 Sebagai gaya hidup bandar, yang melalui
proses modenisasi dan urbanisasi maka bahan-bahan budaya itu perlu selalu
dilakukan perubahan untuk menyesuaikan dengan perubahan selera orang ramai.
Oleh itu bahan budaya popular sebagai komoditi budaya sentiasa berubah dan
diperbarui selaras dengan perubahan nilai-nilai sosial.12
Perkembangan budaya popular telah dapat melahirkan golongan
profesional, dan peluang pekerjaan kepada ramai orang, terutama dalam industri
budaya. Mereka yang berkebolehan dan berbakat dapat bergantung hidup dalam
bidang berkaitan. Seterusnya mereka boleh meningkatkan mutu kerana perlibatan
sepenuh masa mereka dalam bidang mereka Itu.13
Budaya popular merupakan suatu kepentingan dalam menyatakan
gaya hidup baru masyarakat moden. Semakin maju sesuatu masyarakat itu,
penumpuan, misalnya permintaan terhadap budaya popular semakin meningkat. Orang
ramai bekerja kuat boleh dikatakan tidak lagi bertujuan untuk mengisi
keperluan-keperluan asas sebagaimana masyarakat tradisional. Budaya popular
sebagai keperluan yang lebih tinggi tidak lagi terbatas kepada perkara-perkara
yang merupakan pengisian asas semata-mata. Misalnya, hiburan hanya merupakan
sebahagian daripada unsur budaya popular yang didapati semakin penting dalam
masyarakat maju. Keperluan yang lebih tinggi semakin beragam dan berbagai-bagai
keinginan yang lebih tinggi boleh merupakan suatu dorongan atau impian penting
bagi orang ramai untuk bekerja lebih kuat.
Fenomenon budaya popular itu berbagai-bagai, adakala
berasaskan kepada keperluan asas. Dalam masyarakat moden kini kita dapati
keperluan-keperluan asas itu juga semakin bertambah bergantung kepada kemajuan
yang dicapai oleh masyarakat. Misalnya, pakaian sebagai keperluan asas, orang
ramai mendapatkan pakaian umumnya kurang menitikberatkan lagi tentang keperluan
asas sebagaimana konsep yang terbina masa lalu. Tetapi kini orang berusaha
mendapatkan pakaian yang lebih menekankan kepada fesyen, mutu dan kecantikan.
Unsur-unsur fesyen dan jenama selalu menjadi pertimbangan utama. Kepentingan
seperti ini lebih menekankan kepada keperluan sosial. Dalam memahami keperluan
atau kepentingan yang lebih mengutamakan kepada keindahan dan kepuasan diri
tidak dapat dipisahkan daripada kepentingan sosial sebagaimana yang diberikan
nilai oleh anggota-anggota masyarakat. Keperluan individu tidak dapat
dipisahkan daripada pengaruh keperluan sosial. Dalam keadaan ini, budaya
popular yang terbina adalah berasaskan kepada citarasa golongan majoriti yang
mempengaruhi individu. Kedua-dua pihak iaitu individu dan masyarakat saling
mempengaruhi. Individu sebagai anggota masyarakat adakala dapat memainkan
peranan mempengaruhi citarasa anggota-anggota kelompok dan seterusnya masyarakat.
Budaya popular yang berkembang pesat dalam masyarakat moden
merupakan penghasilan industri budaya yang berasaskan kepada kegiatan
komersial. Unsur-unsur budaya menjadi tumpuan pengusaha yang menjadikan sebagai
bahan-bahan yang dapat dikeluarkan secara besar-besaran bagi mengisi
kepentingan dan keperluan orang ramai. Dalam keadaan ini unsur-unsur budaya itu
menjadi barang-barang dagangan sebagaimana barang-barang dagangan yang lain
juga. Misalnya, unsur-unsur hiburan didapati semakin penting menjadi bahan
dagangan. Bahan-bahan budaya kini dapat disebarkan secara meluas dengan
terdapatnya berbagai-bagai kemudahan teknologi moden seperti pengangkutan dan
saluran media massa. Industri budaya dapat berkembang pesat, terutama apabila
kemudahan teknologi moden didapati semakin digunakan dengan meluas. Teknologi
moden memainkan peranan penting dalam membolehkan penawaran bahan-bahan budaya
popular yang berbagai-bagai bentuk tersebar luas dalam pasaran.
Pemisahan budaya kepada sub-budaya rakyat, popular dan elit
adalah berasaskan kepada kelas sosial. Pada satu pihak menerangkan bahawa kita
membicarakan tentang gaya hidup kelompok-kelompok sosial yang berkaitan. Hal
ini kerapkali menimbulkan kekeliruan antara sub-budaya dan kelas sosial.
Misalnya, apabila membicarakan budaya rakyat bermakna kita berusaha menerangkan
gaya hidup kelas tani, budaya tinggi pula menyatakan kelas berada yang
merupakan kelas elit di bandar. Sub-budaya itu menyatakan gaya hidup
kelompok-kelompok sosial. Setiap kelompok sosial sudah pasti tidak dapat
dipisahkan daripada keseluruhan masyarakat yang lebih luas, namun demikian
perbezaan gaya hidup mereka melahirkan perbezaan sub-budaya, tetapi pada paras
yang lebih luas perbezaan sub-budaya di antara kelompok-kelompok sosial itu
tidak menonjol. Namun demikian, suatu pola umum dapat dinyatakan sebagai
sub-budaya yang berbeza antara kelompok-kelompok sosial itu berasaskan kepada
kedudukan sosio-ekonomi. Sub-budaya itu tidak boleh dipisahkan daripada
keseluruhan masyarakat dan budaya. Dalam konteks ini fenomenon budaya popular
tersebar luas merintasi kelompok-kelompok sosial.14
Kandungan Budaya Popular
Dalam masyarakat Melayu tradisi berbagai jenis budaya rakyat
diminati ramai dan dapat dianggap budaya popular tradisi.15 Ini termasuklah berbagai-bagai
jenis seni dan mainan yang tersebar luas. Kegiatan seni dan mainan itu
memberikan anggota-anggota masyarakat hiburan, pengisian masa lapang,
keseronokan, dan penghayatan seni. Di samping itu berbagai-bagai jenis tradisi
rakyat itu mempunyai fungsi dan peranan yang lebih penting, seperti ritual
mengubat penyakit, perlakuan keagamaan dan sebagainya.16
Tradisi budaya rakyat sebagai budaya popular tradisional
yang ekspresif dan simbolik menyatakan gaya hidup masyarakat Melayu masa lalu.
Melaluinya masyarakat menyampaikan maklumat, sindiran dan kritik sosial di
samping peranannya yang ekspresif dan simbolik.
Dalam masyarakat moden, penawaran bahan-bahan budaya popular
itu terdapat kepelbagaian, dan fungsi atau peranannya juga boleh ditinjau dalam
berbagai konteks. Peranan budaya popular moden itu tidak terbatas setakat
hiburan sahaja. Ini akan dibincangkan dalam teks seterusnya. Kini, budaya
popular moden itu termasuk muzik dan nyanyian, drama, filem, tarian, jenaka,
dan seumpamanya, baik yang disalurkan melalui media elektronik mahupun melalui
teknologi lain. Selain itu, bahan-bahan bercetak seperti majalah popular17,
novel, dan cerita-cerita popular lain didapati amat pesat perkembangannya.
Permainan juga sebahagian daripada budaya popular yang pesat berkembang.
Media elektronik dan media cetak sebagai contoh, pengisian
utamanya ialah bahan-bahan budaya popular yang menyatakan masyarakat dan budaya
Melayu yang sedang mengalami perubahan. Media elektronik menyalurkan antaranya,
muzik dan nyanyian, filem dan drama, tarian, lawak jenaka, permainan, sukan,
perlumbaan, masakan, pengembaraan, peraduan/tekateki, dan cerita-cerita
sensasi/ganjil. Majalah popular adalah media cetak yang tersebar luas. Antara
isi kandungan majalah popular itu termasuklah, gosip bintang-bintang popular
dan tokoh-tokoh terkenal, cerita-cerita sensasi dan ganjil, termasuk
cerita-cerita hantu, perhiasan diri dan penjagaan kecantikan serta kesihatan,
perhiasan rumahtangga, cerita percintaan, ulasan filem, muzik dan nyanyian,
hiburan semasa, pengembaraan dan melancong, fesyen, permainan, sukan,
komik/jenaka dan umumnya gaya hidup moden dan bandaran. Adakala cerita dan gaya
hidup kampung turut mendapat minat ramai, terutama mereka yang tinggal di
bandar. Cerita-cerita khayalan, seperti cerita hantu, jin, mistik dan kejadian
ganjil adalah juga bahan-bahan sensasi dalam perkembangan budaya popular.
Budaya Popular Tradisional
Fenomenon budaya popular dalam masyarakat Melayu bukanlah
sesuatu yang baru.18 Tetapi kedudukan budaya popular tradisi yang telah lama
berkembang dan diwarisi orang Melayu sejak zaman berzaman itu adalah berlainan
daripada budaya popular moden. Unsur-unsur budaya ekspresif tradisional,
seperti seni dan mainan didapati penyebarannya terbatas, iaitu bersifat
kedaerahan oleh kerana sistem perhubungannya terbatas. Unsur-unsur budaya
popular tradisional itu adalah tersebar dan berkembang di kalangan rakyat, atau
dikenali sebagai tradisi budaya rakyat.19
Struktur sosial masyarakat Melayu tradisional yang terdiri
daripada golongan memerintah dan rakyat mempengaruhi struktur budaya, iaitu
tradisi budaya istana dan tradisi budaya rakyat. Tradisi budaya istana itu
dapat dianggap mempertahankan tradisi budaya elit atau budaya tinggi. Golongan
itu yang mempunyai kekayaan dan kuasa berusaha mempertahankan tradisi budaya
istana itu sebagai melambangkan kedudukan golongan bangsawan itu. Tradisi
rakyat sebagai budaya popular tradisional menyatakan dengan jelas kedudukan
sosial dan ekonomi golongan itu.
Tradisi budaya rakyat itu jelas menyatakan sifat-sifat
kedaerahan, misalnya suasana penyampaian, penggunaan bahasa dialek dan
seumpamanya. Tradisi itu berkembang sebagai tradisi lisan yang diperturunkan
dari satu generasi kepada satu generasi sebagai usaha mempertahankan tradisi.
Ikatan emosi kepada tradisi itu didapati tradisi itu dapat dipertahankan
walaupun perkembangannya berasaskan minat dan penghayatan mendalam. Melalui
tradisi itu kita dapat memahami dan menyelami pemikiran dan falsafah hidup
orang Melayu. Pemupukan nilai-nilai sosial didapati sangat berkesan dilakukan
melalui tradisi itu. Selain itu, tradisi itu juga merupakan saluran komen dan
kritik sosial.
Tradisi budaya rakyat mempunyai fungsi dan kepentingannya
tersendiri dalam masyarakat, perlu diteliti peranannya tidak terbatas sebagai
unsur seni dan mainan. Unsur-unsur budaya popular tradisi itu boleh diteliti
kaitan atau hubungannya dengan agama dan kepercayaan. Terdapat unsur-unsur
budaya yang merupakan ritual berasaskan kepercayaan, seperti mantera, main
dewa, main puteri dan seumpamanya. Unsur-unsur seni yang dipengaruhi Islam juga
turut popular dalam masyarakat Melayu, seperti hadrah, marhaban, zikir dan
nasyid. Populariti unsur-unsur budaya itu diperkukuhkan oleh ikatan emosional
kepada tradisi, kepercayaan warisan dan Islam.
Tradisi budaya rakyat itu mempunyai peranan dan
kepentingannya dalam kehidupan masyarakat. Nilai-nilai seni tidak dapat
dipisahkan daripada nilai guna sesuatu unsur tradisi itu. Populariti sesuatu
tradisi itu berasaskan nilai-nilai sosial yang memberikan penekanan peranan dan
kepentingannya dalam masyarakat.
Pemisahan antara tradisi budaya istana dan tradisi budaya
rakyat itu tidaklah merupakan pemisahan yang jelas. Hubungan antara kedua-dua
itu sangat rapat. Perbezaan itu boleh dianggap sebagai gaya hidup yang
berlainan, tetapi sebagai tradisi budaya Melayu, masih dianggap tidak jauh
berbeza.
Suasana alam sekitar dan kehidupan orang Melayu dari segi
ekonomi dan sosial membolehkan mereka menghasilkan tradisi budaya popular yang
beranika ragam. Malahan dengan sifat kedaerahan dan pelbagai suku ethnik Melayu
di alam Melayu yang luas itu, orang Melayu mewarisi kekayaan khazanah tradisi
budaya yang amat berharga. Warisan tradisi budaya rakyat itu memerlukan
penyelidikan mendalam, terutama untuk memahami struktur dalaman, iaitu aspek
ekspresif dan simbolik.21
Kepentingan budaya rakyat dalam konteks masyarakatnya
Unsur-unsur budaya rakyat pada umumnya mempunyai kepentingan
tersendiri dalam konteks masyarakat masa lalu. Unsur-unsur itu bukan sahaja
bertujuan untuk memberikan hiburan atau mengisi keperluan yang lebih tinggi
kepada ramai. Sesuatu jenis seni atau mainan seperti muzik, tarian dan teater
merupakan saluran memupuk nilai-nilai sosial dan menyampaikan ilmu pengetahuan
dan maklumat dalam masyarakat yang buta huruf. Di samping segala itu ada kaitan
dengan kepercayaan warisan, unsur-unsur itu juga mempunyai kaitan dengan ritual
yang bertujuan untuk membawa kesejahteraan dan keharmonian hidup
anggota-anggota kelompok. Nilai-nilai sosial, world-view dan falsafah yang
terdapat di sebalik unsur-unsur budaya tradisi tidak dapat dipisahkan daripada
kepercayaan warisan. Tradisi ini mempengaruhi keseluruhan cara hidup
orang-orang Melayu masa lalu. Segala unsur budaya itu mempunyai kepentingan
tersendiri dalam masyarakat, yang dapat difahami dan dirasai
anggota-anggotanya.
Dalam masyarakat Melayu yang mengalami perubahan, berikutan
pesatnya proses modenisasi dan urbanisasi, nilai-nilai sosial dan world-view
yang mereka warisi turut mengalami perubahan. Kedudukan budaya rakyat tidak
dapat menyesuaikan dengan keperluan masyarakat moden yang mengalami perubahan
itu. Unsur-unsur budaya warisan itu cuba disesuaikan dengan fungsi atau
kepentingan baru tetapi umumnya didapati tidak dapat menyesuaikan dengan
perubahan cita rasa budaya ramai. Dalam keadaan ini, kita dapati unsur-unsur
budaya popular memainkan peranan yang semakin penting dalam kehidupan
masyarakat moden.
Melihat kepada perkembangan Islam atau proses islamisasi
yang semakin mendalam dan meluas tidak dapat dinafikan bahawa itu juga membawa
kesan yang menyeluruh kepada kedudukan budaya rakyat itu. Kepercayaan warisan
yang menghidupkan unsur-unsur budaya rakyat itu kerapkali dianggap bercanggah
dengan kehendak-kehendak Islam. Perkara itu semakin dipandang serius, terutama
di kalangan golongan muda. Mereka tidak menggalakkan unsur-unsur kepercayaan
warisan itu terus berkembang. Anggapan demikian sudah pasti mempunyai
kesan-kesan yang jelas kepada kedudukan budaya rakyat itu. Tetapi unsur budaya
tradisi yang berteraskan kepada Islam, seperti nasyid dapat dipopularkan
mengikut keperluan semasa. Lagu-lagu nasyid kini membuktikan popularitinya
dalam masyarakat Melayu yang pesat mengalami perubahan.
Perubahan sosio-ekonomi yang berlaku secara menyeluruh,
mempengaruhi nilai orang ramai dalam memberi penekanan dan mengutamakan kepada
kegiatan cari makan bagi memperbaiki kedudukan sosial mereka. Usaha memperbaiki
ekonomi dapat memberikan kepuasan sosial, dan seterusnya dapat menjamin
kedudukan sosial. Nilai-nilai yang lebih menekankan kepada kepentingan
material, mendorongkan orang bersikap lebih mementingkan diri sendiri, bukannya
tumpuan kepada kebajikan secara bersama. Sedangkan dalam masyarakat
tradisional, kepentingan kelompok sangat ditekankan bagi menjamin keharmonian
dan keseimbangan sosial sebagaimana yang dinyatakan dalam tradisi budaya
rakyat.
Generasi muda kerapkali memandang rendah terhadap warisan
budaya rakyat berbanding dengan budaya popular moden. Budaya rakyat yang masih
terdapat di kampung-kampung selalu dianggap bersifat kekampungan. Misalnya,
barang-barang kerajinan tangan yang dihasilkan oleh orang kampung selalu
dianggap kurang mutu. Warisan tradisi itu dianggap mempunyai nilai-nilai yang
rendah dan kurang fungsi dalam masyarakat moden. Sebaliknya penghasilan seni
popular terutama dari negara-negara maju diberikan nilai tinggi. Nilai-nilai
sosial demikian dipengaruhi budaya barat telah dapat diterima secara meluas
oleh penduduk negara ini. Berasaskan kepada nilai-nilai sosial seperti ini,
barang-barang penghasilan kraftangan Melayu kurang mendapat perhatian ramai dan
ini membawa kesan kepada kegiatan kerajinan tangan tempatan. Barang-barang
tempatan, seperti pertukangan tembaga, besi dan ukiran kayu yang indah kurang
mendapat perhatian orang ramai, terutama generasi muda. Malah, batik tempatan
selalu dianggap bermutu rendah berbanding dengan tekstil yang dibawa dari luar.
Pandangan demikian mempengaruhi nilai-nilai sosial penduduk tempatan secara
meluas. Barang-barang yang diimport dari negara-negara maju, terutama dari
barat sentiasa diberi nilai tinggi. Berikutan dengan ini maka barang-barang
yang diimport selalu berharga lebih tinggi berbanding dengan barang-barang
tempatan.
Budaya Kolonial
Matlamat kolonial campur tangan politik di negara ini ialah
atas kepentingan ekonomi. Bagi mengisi kepentingan itu maka berlaku perubahan
dalam politik dan pentadbiran, pendidikan, teknologi, dan sosial. Pemerintah
kolonial menumpukan kepada pembangunan ekonomi, seperti lombong bijih dan
perladangan dan berkaitan dengan itu penyediaan kemudahan asas dan pembangunan
pusat pelabuhan dan bandar-bandar turut diberikan perhatian. Pembangunan
ekonomi yang berasaskan ekonomi kapitalis, berlaku kemasukan modal dan
teknologi dari barat, serta tenaga buruh dari India dan China. Pembangunan yang
dilakukan oleh pemerintah kolonial itu berbeza daripada tradisi kehidupan orang
Melayu. Pembangunan yang membawa perubahan itu dianggap sebagai pembaharuan dan
kemajuan dalam konteks kemodenan. Kesannya itu turut membawa perubahan kepada
perkembangan budaya.
Walau bagaimanapun, pemerintah kolonial tidak mempunyai
rancangan pembangunan untuk membawa perubahan kepada orang Melayu. Malahan,
mereka berusaha mengekalkan orang Melayu dalam sektor tani. Pemisahan
kumpulan-kumpulan ethnik dalam sektor berbeza di negara ini adalah bertujuan
supaya tidak berlaku kekacauan yang boleh mengganggu kegiatan ekonomi mereka.
Walaupun orang Melayu tidak terlibat secara langsung dalam
rancangan pembangunan kolonial, seperti pembangunan bandar-bandar moden itu,
tetapi orang Melayu turut menerima kesan pembangunan kemodenan yang dilakukan
oleh pemerintah kolonial itu.
Pemerintah kolonial berusaha memupuk dan menyebarkan
nilai-nilai sosial kolonial yang berasaskan kemodenan dan budaya kolonial di
kalangan golongan elit, terutama elit Melayu yang bertujuan untuk mengekalkan
kedudukan pemerintahan kolonial di negara ini. Pendidikan Inggeris yang
diberikan tumpuan kepada anak-anak golongan elit atau bangsawan Melayu oleh
pemerintah kolonial didapati berjaya membawa perubahan nilai, sikap dan
pemikiran golongan itu untuk terus menyanjung dan menghormati pemerintah kolonial.
Bahasa dan budaya kolonial amat dipandang tinggi dan dihormati, dan itulah juga
yang dianggap membawa kemodenan kepada negara ini.22
Untuk membangunkan bandar-bandar moden sebagai pusat
pembangunan ekonomi, pemerintah kolonial menggalakkan berbagai-bagai jenis dan
corak perniagaan di bandar-bandar itu. Dengan itu bandar-bandar kolonial itu
juga menjadi pusat perkembangan budaya kolonial, yang dianggap sebagai moden.23
Pemerintah kolonial tidak memberikan tumpuan kawalan terhadap berbagai kegiatan
dagangan di bandar-bandar moden itu. Berikutan dengan itu bandar-bandar moden
itu turut menjadi pusat kegiatan maksiat yang dianggap bercanggah dengan
nilai-nilai Melayu Islam.24 Di samping itu berbagai-bagai unsur budaya popular
dari barat berkembang pesat di bandar-bandar moden itu. Nilai-nilai yang
dipupuk di kalangan orang-orang bandar bahawa budaya yang dibawa dari barat itu
semuanya moden yang dikaitkan dengan kemajuan. Berbagai-bagai jenis kegiatan
seni dan mainan barat didapati semakin popular di bandar-bandar moden, dan ini
menjadi ikutan orang Melayu di bandar.25
Budaya Popular Moden
Bandar-bandar moden yang dibangunkan oleh pemerintah
kolonial merupakan pusat perkembangan ekonomi dan budaya. Bagi mengisi
keperluan hidup penduduk bandar yang kian meningkat, maka penawaran unsur-unsur
budaya popular didapati semakin meluas. Sebagai contoh, teater popular Melayu
moden, iaitu Bangsawan yang pada mulanya berkembang di Pulau Pinang didapati
mendapat minat ramai. Ciri-ciri baru yang dibawa oleh teater itu dan sebagai
“urban product”, Bangsawan muncul sebagai teater popular moden yang ditawarkan
secara komersial dan berkembang luas.26
Pentas Bangsawan merupakan pusat perkembangan muzik dan
nyanyian27, tarian dan jenaka di samping drama28. Perkembangan itu mulai
menunjukkan pembaharuan yang tidak lagi terikat kepada tradisi. Seniman di
pentas Bangsawan berusaha melahirkan sesuatu yang baru, yang menyatakan
kemodenan bagi menarik penonton.
Bangsawan muncul sebagai teater popular adalah suatu
perubahan dalam perkembangan budaya popular Melayu. Bangsawan membawa
pembaharuan, misalnya isu, komen dan kritik sosial masyarakat Melayu semasa
yang sedang mengalami proses perubahan, iaitu pengalaman kemodenan mereka yang
tinggal di bandar-bandar moden itu. Bangsawan membawa kemodenan dan pembaharuan
yang menjadikan teater itu popular. Oleh itu, Bangsawan membawa isu dan
persoalan tentang masyarakat dan budaya Melayu yang sedang mengalami perubahan.
Kemajuan teknologi barat yang dibawa oleh pemerintah
kolonial, seperti piring hitam, radio dan filem telah berjaya menyalurkan
bahan-bahan budaya, terutamanya sebagai bahan hiburan orang ramai. Berasaskan
teknologi itu kemudian muncul industri yang berkaitan yang memberikan peluang
kepada orang Melayu turut terlibat dalam menyalurkan bahan-bahan budaya untuk
keperluan orang ramai, terutama orang Melayu. Teknologi moden itu memerlukan
kepakaran dan pengetahuan, yang menyebabkan industri itu dikuasai orang bukan
Melayu. Orang Melayu, seperti artis atau bintang-bintang yang terlibat hanya
mampu memberikan sumbangan tenaga.29
Populariti bahan-bahan budaya yang disalurkan melalui
teknologi moden itu juga yang membawa kepada kelemahan Bangsawan sebagai teater
popular. Sedangkan bahan-bahan budaya yang disalurkan melalui teknologi moden boleh
sentiasa disesuaikan dengan perubahan selera budaya orang ramai sebagai
pengguna.
Dalam bidang mainan juga didapati penyebaran berbagai jenis
mainan yang dianggap moden dan maju itu kian meluas dan popular di kalangan
orang Melayu. Berbagai-bagai bahan budaya popular lain, seperti fesyen,
perhiasan diri dan seumpamanya turut mempengaruhi kehidupan orang Melayu.
Perkembangan budaya popular moden terus berkembang dan
merupakan sebahagian penting keperluan hidup moden. Malahan keperluan terhadap
bahan-bahan budaya popular itu juga adalah penting dalam mendorongkan
anggota-anggota masyarakat untuk meningkatkan pencapaian ekonomi.
Struktur Sosial dan Budaya Popular
Adakala fenomenon budaya popular itu dapat dilihat sebagai
menyatakan kelas sosial.30 Budaya popular itu menyatakan golongan majoriti
rakyat biasa, sedangkan golongan atasan dan golongan menengah mempertahankan
tradisi budaya elit atau budaya tinggi sebagai menyatakan kelas kelompok itu.
Secara sedar atau tidak fenomenon ini memang berlaku dan didapati dalam
masyarakat di negara ini. Tetapi bahagian budaya elit itu tidaklah pula
dominan. Selalunya tradisi budaya elit itu dapat dipertahankan apabila kos atau
harganya tinggi. Adakala berlaku lambang-lambang budaya elit itu menjadi bahan
popular apabila ia mampu dibeli dan dimiliki ramai.
Pemisahan kelompok sosial Melayu berasaskan kelas yang
dinyatakan oleh fenomenon budaya itu sebenarnya tidak jelas dan pembahagian itu
sebenarnya tidak mudah dilakukan. Tetapi penyebaran budaya popular adalah meluas
yang merintasi kelas sosial. Golongan kelas atasan atau menengah juga turut
menerima dan merupakan sebahagian khalayak budaya popular.
Berikutan pesatnya pembangunan bandar-bandar moden adakala
tidak memberikan ruang kepada unsur-unsur budaya Melayu tradisional atau
tradisi budaya rakyat untuk turut berkembang. Oleh itu, tradisi budaya itu
dapat dipertahankan di kampung-kampung Melayu. Masyarakat tani Melayu
mempertahankan tradisi budaya rakyat itu, tetapi apabila proses modenisasi dan
urbanisasi pesat berlaku berikutan meningkatnya pembangunan di luar bandar,
maka tradisi rakyat itu tidak mampu dipertahankan lagi. Sebahagian tradisi
rakyat itu semakin lemah kedudukannya. Fenomenon budaya popular turut menjadi
sebahagian kehidupan orang Melayu di kampung.
Penyaluran dan Penyebaran Budaya Popular
Budaya popular tersebar luas, yang dipupuk oleh nilai-nilai
moden, bandar dan maju. Orang ramai sebagai pengguna bahan-bahan budaya telah
melalui perubahan nilai-nilai sosial, dalam pengalaman mereka mengalami proses
modenisasi dan urbanisasi.31 Mereka terdedah kepada penawaran berbagai-bagai
bahan budaya popular. Nilai-nilai sosial mereka yang dipengaruhi perkembangan
semasa sentiasa berusaha mencari dan mendapatkan sesuatu yang baru, moden dan
semasa.
Sistem perhubungan yang baik, terutama pembangunan teknologi
telekomunikasi, seperti media elektronik, media cetak dan penyediaan kemudahan
asas yang semakin meluas mendedahkan orang ramai, termasuk mereka yang tinggal
di luar bandar mengalami proses modenisasi dan urbanisasi yang didedahkan oleh
berbagai-bagai bahan budaya popular. Orang Melayu di semua peringkat dapat
menerima baik pembangunan dan perubahan yang berlaku di sekitar mereka.
Perkembangan ini memberikan kesan kepada perubahan nilai-nilai sosial, sikap,
world-view dan pemikiran anggota-anggota masyarakat.
Perkembangan pesat pendidikan moden turut mempengaruhi
perubahan nilai dan sikap orang Melayu. Mereka lebih terbuka dan menerima
bahan-bahan budaya popular sebagai bahagian keperluan hidup moden. Malahan
budaya popular memainkan peranan dalam menyalurkan maklumat dan pendidikan
kepada ramai.
Pesatnya perpindahan orang Melayu ke bandar sejak DEB hingga
kini, memberikan peluang orang Melayu terlibat dalam berbagai-bagai lapangan
kegiatan ekonomi bukan tani dan seterusnya meningkatkan proses modenisasi dan
urbanisasi. Oleh itu didapati bahan-bahan budaya popular memainkan peranan
penting dalam mengisi keperluan gaya hidup moden.
Perubahan ekonomi yang dapat meningkatkan pendapatan atau
kedudukan ekonomi turut mempengaruhi gaya hidup orang ramai. Berkaitan dengan
ini turut mempengaruhi penyebaran dan perkembangan budaya popular.
Kesetabilan politik dan kesejahteraan sosial juga
mempengaruhi penyebaran dan penyaluran bahan-bahan budaya popular kepada ramai.
Perkembangan pesat media massa, iaitu media elektronik dan
media cetak turut membawa perubahan nilai dan pemikiran orang ramai. Media
massa itu juga mendedahkan kira-kira 80% daripada isi kandungannya berupa
bahan-bahan budaya popular, baik bahan-bahan luar mahupun bahan-bahan budaya
tempatan.32 Suasana ini sudah pasti dengan mudah dapat mempengaruhi orang ramai
dengan gaya hidup moden. Bahan-bahan budaya popular merupakan suatu keperluan
kehidupan moden.
Penawaran bahan-bahan budaya popular dalam konteks
masyarakat moden didapati lebih dominan di kalangan orang-orang muda. Penawaran
bahan-bahan budaya popular itu lebih banyak tertumpu di kalangan muda mudi.
Berkaitan dengan ini perkembangan budaya muda mudi yang popular di
negara-negara maju turut mempengaruhi perkembangan budaya popular tempatan.
Adakala oleh kerana terdapat perbezaan nilai di antara orang dewasa dengan
orang muda, selalunya persoalan kejatuhan moral orang muda dikaitkan dengan
budaya popular itu.33 Budaya popular selalu dianggap oleh golongan dewasa
membawa nilai-nilai baru yang merupakan kelainan daripada nilai-nilai tradisi
dan Islam.
Budaya Popular dan Ekonomi
Budaya popular moden dapat tersebar luas apabila kegiatannya
berasaskan kepada usaha komersial. Unsur-unsur budaya menjadi komoditi budaya
yang merupakan bahan-bahan pengguna kepada orang ramai sebagaimana bahan-bahan
pengguna yang lain.
Industri budaya melibatkan pengurusan yang tersusun bagi
menjamin pulangan yang baik. Orang Melayu pernah berjaya menawarkan Bangsawan
secara komersial.34 Seterusnya artis-artis atau seniman-seniman yang
berkebolehan telah memberikan sumbangan dalam berbagai industri budaya moden,
seperti rakaman muzik dan nyanyian, filem, perlibatan dalam pementasan dan
persembahan yang dilakukan secara komersial. Budaya popular telah memberikan
peluang pekerjaan sepenuh masa atau sambilan, baik sebagai mereka yang
profesional dalam sesuatu bidang mahupun terlibat dalam industri budaya popular
sebagai pekerja biasa. Malahan, perkembangan budaya popular telah dapat
memberikan kedudukan ekonomi yang baik kepada bintang-bintang popular.
Pembangunan budaya popular itu juga turut memberikan
sumbangan pendapatan kepada negara. Ini tidak terbatas dalam industri budaya
popular Melayu, malahan kemasukan bahan-bahan budaya popular asing, terutama
dari negara-negara maju turut memberikan pulangan ekonomi kepada negara.
Kerajaan berusaha membantu kegiatan industri budaya popular
tempatan atau yang diusahakan oleh orang Melayu, yang bertujuan produktiviti
bahan-bahan budaya tempatan itu dapat ditingkatkan.35
Kini orang Melayu turut terlibat dalam berbagai-bagai
industri budaya popular, seperti muzik, nyanyian, filem, pementasan, majalah
popular, sukan dan sebagainya. Namun, berbagai halangan selalu mereka hadapi.
Misalnya, kegiatan cetak rompak yang sukar untuk dikawal. Kerajaan berusaha
mengawal masalah ini agar kegiatan industri budaya popular, terutama yang
diusahakan orang Melayu dapat ditingkatkan.
Penawaran bahan-bahan budaya popular itu bukan sahaja
melibatkan pengurusan moden, malahan usaha pemasaran juga perlu dilakukan
secara berkesan. Penawaran bahan-bahan budaya itu disertakan dengan berbagai
cara promosi, seperti iklan. Peningkatan teknologi moden dapat meningkatkan
produktiviti dan meluaskan penyebaran pasaran. Kerajaan juga berusaha mengawal
persaingan dengan pasaran bahan-bahan budaya dari luar.
Penawaran bahan-bahan budaya popular dapat dilakukan
sepanjang tahun, tanpa terbatas kepada musim atau masa-masa tertentu
sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat Melayu tradisional. Para pengguna
memerlukan bahan-bahan budaya itu tidak mengira masa, sebagaimana juga
bahan-bahan pengguna yang lain.
Populariti sesuatu bahan budaya itu bergantung kepada
sambutan atau permintaan para pengguna. Adakala minat orang ramai itu
dipengaruhi publisiti, promosi dan iklan yang dilakukan oleh pengusaha. Tetapi
orang ramai sebagai pengguna boleh memilih daripada berbagai bahan budaya
popular yang ditawarkan di pasaran. Walau bagaimanapun, publisiti kerapkali
mempengaruhi orang ramai. Umumnya, penawaran bahan-bahan budaya popular itu
mampu didapati orang ramai.
Budaya popular itu melahirkan bintang-bintang yang diminati
ramai. Sesuatu bahan budaya itu boleh menjadi popular berikutan dengan
bintang-bintang popular mengambil bahagian. Sistem bintang ini dapat memainkan
peranan penting dalam menentukan turun naiknya penawaran sesuatu bahan budaya
itu.
Penawaran bahan-bahan budaya popular yang berasaskan
kegiatan komersial itu terpaksa bersaing di pasaran terbuka. Dengan terdapat persaingan
itu di pasaran selalunya memberi dorongan pula kepada pengusaha, artis atau
seniman dan mereka yang terlibat untuk berusaha melakukan pembaharuan,
menyesuaikan dengan perubahan atau menghasilkan sesuatu yang berlainan bagi
menarik perhatian ramai. Persaingan itu juga mendorongkan pengusaha untuk
memperbaiki dan meningkatkan mutu sesuatu yang dihasilkan. Oleh itu budaya
popular itu sentiasa berubah menyesuaikan dengan selera peminat, di samping itu
masing-masing pengusaha dan seniman berusaha meningkatkan mutu bahan-bahan
budaya.
Ekonomi dan Nilai-nilai Sosial
Pihak pengusaha dalam penawaran bahan-bahan budaya selalu
mementingkan pulangan ekonomi. Bagi tujuan itu selalu pula dikatakan pihak
pengusaha kurang memberikan perhatian tentang mutu seni, tetapi lebih
mementingkan selera budaya orang ramai sebagai pengguna.36 Berkaitan dengan
ini, orang ramai sebagai pengguna kini didedahkan kepada penawaran bahan-bahan
budaya di peringkat global. Persaingan dalam penawaran bahan-bahan budaya itu
orang Melayu juga dapat menilai dari segi mutu sesuatu bahan budaya itu. Mereka
itu juga mempunyai latarbelakang pendidikan yang mampu memberikan nilai
terhadap sesuatu bahan itu. Oleh itu, pihak pengusaha, artis dan mereka yang
terlibat dalam penghasilan bahan-bahan budaya popular berusaha menghasilkan
sesuatu yang baik atau bermutu tinggi.
Adakala pihak pengusaha menggunakan berbagai kaedah untuk
mendapat perhatian ramai. Mereka berusaha mengeksploit keinginan semula jadi
manusia, seperti unsur seks,37 keganasan, dan perlakuan atau kejadian luar
biasa. Bahan-bahan budaya dari luar negara kurang menimbangkan aspek moral dan
etika berlandaskan Islam dan tradisi tempatan. Tetapi bagi pengusaha tempatan,
mereka sangat peka dan memahami nilai-nilai sosial tradisi Melayu dan Islam. Di
samping itu pihak berkuasa dan masyarakat Melayu sentiasa mengawasi
perkembangan bahan-bahan budaya popular Melayu supaya bersesuaian dengan budaya
Melayu dan Islam.
Selama ini pihak berkuasa berusaha mengawal kemasukan
bahan-bahan budaya popular dari luar, misalnya mengadakan sekatan dan penapisan
bagi menjamin kesesuaian bahan-bahan itu dengan nilai-nilai sosial tempatan dan
Islam. Tetapi kini penyebaran bahan-bahan budaya dari luar adakala tidak mampu
diteliti oleh kerajaan. Misalnya, internet kini terdapat berbagai rupa bentuk
bahan budaya yang bercanggah dengan nilai-nilai sosial Melayu dan Islam. Usaha
mengawalnya kini tidak lagi berkesan. Tekanan dari luar seperti undang-undang
tidak dapat dilakukan secara menyeluruh. Oleh itu, usaha yang dapat dilakukan
ialah dengan memperkukuhkan ketahanan diri, terutama dengan meningkatkan
pendidikan Islam di kalangan muda mudi.
Tradisi Budaya Rakyat dan Budaya Popular
Pesatnya pembangunan yang dilalui orang Melayu telah membawa
kepada meningkatnya perkembangan dalam penawaran bahan-bahan budaya popular.
Penawaran bahan-bahan budaya popular dari luar negara juga kian meningkat dan
ini memberikan persaingan kepada perkembangan budaya tempatan.
Penawaran bahan-bahan budaya popular berusaha menyesuaikan
dengan citarasa budaya para pengguna. Pengusaha industri budaya bekerjasama
dengan artis atau seniman dan pemain yang berusaha menghasilkan sesuatu yang
baru, yang dapat menyatakan kemodenan dan kemajuan. Sebagai bahan pengguna,
bahan-bahan budaya sentiasa berubah, silih berganti. Mereka yang terlibat dalam
kegiatan yang berkaitan menumpukan sepenuh masa untuk menghasilkan sesuatu yang
baru.
Bahan-bahan budaya popular membawa nilai-nilai moden dan
gaya hidup bandar yang menyatakan perkembangan semasa sebagaimana yang
diharapkan oleh orang bandar. Orang Melayu yang pesat mengalami perubahan itu
mahukan sesuatu yang dapat memberikan mereka mengalami proses urbanisasi dan
modenisasi. Bahan-bahan budaya popular memberikan tumpuan kepada aspek itu dan
itulah yang menentukan populariti sesuatu bahan budaya itu.38
Tradisi budaya rakyat yang terikat kepada tradisi tidak
dapat bersaing dengan perkembangan budaya popular. Peminatnya semakin
berkurang, malahan mereka yang mahir dan berkebolehan dalam berbagai-bagai jenis
tradisi budaya rakyat semakin sukar didapati. Generasi muda yang sepatutnya
mengambil tempat meneruskan tradisi itu didapati sangat terbatas. Beberapa
faktor boleh dikaitkan dengan kemerosotan tradisi budaya rakyat,
Generasi muda tidak berminat kepada tradisi itu kerana
mereka tidak dapat menghayatinya. Mereka tidak mengenali dan tidak diberikan
pendedahan kepada tradisi rakyat itu.
Perkembangan budaya popular itu memberi pilihan kepada orang
ramai. Unsur-unsur tradisi budaya rakyat tidak dapat menarik perhatian ramai,
terutama ikatannya kepada tradisi berbanding dengan budaya popular.
Perkembangan pendidikan dan teknologi moden turut
mempengaruhi kelemahan tradisi rakyat.
Budaya popular membawa bersamanya nilai-nilai kemodenan dan
kemajuan, sedangkan budaya rakyat dianggap tidak menyatakan nilai-nilai itu.
Tradisi budaya selalunya berkaitan dengan kepercayaan
warisan yang adakalanya dianggap tidak sesuai dengan ajaran Islam.
Sebahagian daripada tradisi itu tidak lagi berfungsi atau
tidak dapat memainkan peranan dalam masyarakat Melayu moden kini.
Adakala tradisi rakyat itu bercirikan kedaerahan, yang tidak
dapat difahami mereka dari luar daerah.
Dalam kepesatan perkembangan bahan-bahan budaya popular itu,
terdapat pula usaha untuk mempopularkan unsur-unsur budaya rakyat. Dalam proses
penyesuaian sebagai usaha komersial, pembaharuan dilakukan. Sebagai contoh,
kumpulan-kumpulan nasyid mendapat tempat yang baik di pasaran, dan penyebaran
bahan-bahan budaya yang dihasilkan oleh kumpulan-kumpulan itu adalah meluas.
Contoh lain, dikir barat yang dihasilkan dalam bentuk VCD, keset dan sebagainya
turut popular, tetapi penyebarannya agak terbatas.
Adakala unsur-unsur budaya rakyat itu disesuaikan dengan
perkembangan teknologi moden yang dihasilkan sebagai bahan budaya popular.
Misalnya, terdapat usaha menggabungkan muzik tradisi dengan muzik moden sebagai
usaha kreatif bagi menghasilkan suatu muzik popular. Dalam keadaan ini unsur
budaya rakyat tradisi itu mulai luntur atau hilang nilai-nilai keaslian. Namun,
kaedah itu boleh dilakukan dengan tujuan untuk mempopularkan unsur-unsur budaya
rakyat. Tetapi bentuk atau unsur asli itu perlu dipertahankan agar keasliannya
tidak hilang.
Tradisi budaya rakyat dalam bentuk asli itu perlu
dipertahankan bagi mengawal nilai-nilai keasliaannya. Budaya rakyat itu membawa
nilai-nilai tersendiri yang menyatakan makna dan pengertiannya. Tradisi budaya
itu sebagai warisan budaya rakyat bukan sahaja merupakan budaya ekspresif,
malahan juga sebagai budaya simbolik. Daripada tradisi itu konteks aslinya
dapat difahami jiwa Melayu, misalnya dari segi ketinggian nilai seninya.
Pembinaan Budaya Kebangsaan
Pembinaan budaya kebangsaan amat penting diberikan perhatian
dan tumpuan. Budaya kebangsaan itu bukan sahaja menyatakan jati diri masyarakat
dan negara Malaysia, malahan juga penting dalam memupuk semangat patriotisme
dan integrasi kaum di negara ini.39 Melalui budaya kebangsaan itu membolehkan
anggota-anggota masyarakat mengenali sejarah dan membina ikatan emosi kepada
masyarakat dan negara. Kesedaran tentang pentingnya budaya kebangsaan itu
adalah sebahagian daripada kekuatan semangat kebangsaan Melayu yang dipupuk
sejak zaman pemerintahan kolonial lagi. Pemerintah kolonial tidak memberikan
perhatian tentang bahasa dan budaya Melayu, sebaliknya bahasa dan budaya
kolonial didapati semakin penting yang membawa nilai-nilai sosial dan ekonomi.
Perjuangan orang Melayu untuk mencapai kemerdekaan adalah tidak dapat
dipisahkan daripada kepentingan persoalan bahasa dan budaya.
Kerajaan telah menerima konsep dan prinsip budaya
kebangsaan, dan usaha perancangan serta perlaksanaan dimulakan pada tahun 1970.
Kerajaan menyedari pentingnya pembinaan budaya kebangsaan, terutama kesan
daripada peristiwa 13 Mei 1969. Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan waktu
itu ditubuhkan bagi menumpukan perancangan dan perlaksanaan budaya kebangsaan
itu,40 terutama pemuliharaan dan penggalakan budaya rakyat.
Salah satu usaha yang dilakukan ialah mengenali dan
menggalakkan perkembangan di peringkat nasional berbagai-bagai unsur budaya
tradisional pribumi Malaysia. Dalam pemuliharaan dan penggalakan tradisi rakyat
itu, berbagai bantuan diberikan. Malahan ada usaha mendorongkan generasi muda
terlibat dalam kegiatan-kegiatan tradisi budaya rakyat itu. Berbagai pihak, terutama
pencinta-pencinta seni rakyat berusaha mengembangkan dan menyebarkan ke
peringkat nasional. Terdapat institusi-institusi pendidikan yang turut
menggalakkan perkembangan seni dan mainan tradisonal. Selain itu, penyelidikan,
seminar dan bengkel tentang berbagai warisan tradisi rakyat itu sentiasa
diberikan perhatian oleh berbagai-bagai pihak.
Kesan daripada berbagai usaha yang telah dilakukan itu,
minat generasi muda terhadap budaya rakyat itu tidak juga meningkat.
Sebagaimana telah dinyatakan bahan-bahan budaya popular sentiasa dapat menarik
minat ramai. Sebagai contoh, walaupun persembahan budaya rakyat itu ditawarkan
secara percuma di bandar-bandar, masih tidak dapat menarik penonton. Tetapi
mereka sanggup mengeluarkan perbelanjaan untuk menonton persembahan popular.
Generasi muda tidak diberikan pendedahan seluasnya kepada
tradisi budaya itu, yang menyebabkan mereka tidak mengenali dan memahami
unsur-unsur budaya tradisi.41 Apabila mereka tidak mengenalinya maka mereka
tidak mencintainya. Sedangkan tradisi sangat penting untuk memberikan peluang
generasi muda mengenali sejarah, tradisi dan budaya sendiri. Dengan itu akan
dapat memupuk nilai-nilai sosial cintakan bangsa dan tanahair. Seterusnya dapat
membina ikatan emosi yang mendalam untuk mempertahankan warisan tradisi, dan
jatidiri bangsa dan negara.
Generasi muda patut dipupuk dengan nilai-nilai positif,
iaitu memandang tinggi dan berbangga dengan warisan tradisi. Kedudukan warisan
tradisi tidak boleh disamakan dengan bahan-bahan budaya popular. Bahan-bahan
budaya popular sebagaimana bahan-bahan pengguna yang lain untuk mengisi
keperluan yang lebih tinggi. Apabila nilai-nilai sosial yang berbeza diberikan
kepada kedua-dua fenomenon itu, maka budaya popular itu tidak dapat dianggap
sebagai persaingan kepada warisan tradisi atau budaya rakyat itu.
Kedudukan budaya tradisi atau budaya rakyat yang ingin
diperkembangkan dalam rancangan pembinaan budaya kebangsaan tidak menunjukkan
kemajuan sebagaimana yang diharapkan.42 Oleh itu kerajaan telah mengubah
strategi bagi menggalakkan pertumbuhan budaya kebangsaan, iaitu Kementerian
yang berkenaan telah digabungkan dengan industri pelancongan, yang kini
dikenali sebagai Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan. Memahami
masalah yang dihadapi dalam usaha membangunkan berbagai-bagai unsur seni
tradisional adalah berkaitan dengan masalah ekonomi. Mereka yang terlibat dalam
kegiatan seni tradisional tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada
kegiatan yang berkaitan memandangkan kegiatan itu tidak memberikan pulangan
ekonomi sewajarnya. Mereka terpaksa bergiat dalam lapangan berkaitan secara
sambilan semata-mata berasaskan kepada minat.
Dari sudut ekonomi, perlibatan dalam kegiatan-kegiatan
kesenian tradisional atau budaya rakyat tidak memberikan pendapatan sewajarnya.
Ini tidak dapat menarik minat generasi muda untuk melibatkan diri. Ganjaran
ekonomi dipercayai boleh menarik dan mendorong generasi muda untuk terlibat dan
mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan budaya. Pelancongan diharapkan dapat
memberikan suntikan ekonomi kepada kegiatan budaya itu.
Budaya pelancongan kini merupakan sebahagian fenomenon
budaya popular. Penawaran bahan-bahan budaya kepada para pelancong itu
dipercayai dapat menghidupkan kegiatan atau industri budaya yang berkaitan
dengan budaya tradisi atau budaya rakyat terutama dalam bidang kesenian. Usaha
meningkatkan industri pelancongan itu, berasaskan pengalaman negara-negara lain
didapati mampu meningkatkan kegiatan yang berkaitan dengan tradisi budaya atau
warisan budaya rakyat tempatan.
Berasaskan pengalaman industri pelancongan di Malaysia,
didapati industri yang berkaitan dengan kraftangan dapat berkembang dengan
baik. Malahan, terdapat badan-badan swasta dan agensi-agensi kerajaan yang
menggalakkan peningkatan industri kraftangan tradisional bumiputera di negara
ini. Tetapi dalam bidang seni persembahan dan mainan tradisional tidak
mengalami pertumbuhan sebagaimana yang dijangkakan. Terdapat usaha komersial
yang dilakukan secara kecil-kecilan tetapi setakat ini tidak membuktikan
kejayaan yang baik.
Perkembangan warisan budaya tradisi atau tradisi rakyat bagi
tujuan industri pelancongan itu terdapat pula kelemahannya. Unsur-unsur budaya
yang ditawarkan itu, berasaskan kepentingan komersial selalunya disesuaikan
dengan citarasa budaya para pelancong. Atas kepentingan itu didapati pihak
pengusaha kurang memberikan tumpuan untuk mempertahankan mutu seni sebagaimana
dalam bentuk asalnya. Dalam seni persembahan sebagai contoh, persembahan untuk
pelancong yang tidak memahami konteks tradisi budaya tempatan, dilakukan
semata-mata untuk pelancong, tetapi tidak dipersembahkan dalam suasana sebenar
sebagaimana yang menjadi amalan dalam budaya itu.
Budaya Popular dan Budaya Kebangsaan
Dalam hasrat membina budaya kebangsaan itu, ruang lingkup
budaya yang diliputi itu sepatutnya tidak terbatas kepada warisan budaya
tradisional atau budaya rakyat. Budaya itu dinamiks. Budaya Melayu juga adalah
dinamiks, yang sentiasa berubah menyesuaikan dengan perubahan yang dilalui
masyarakat. Perkembangan budaya terkini itu kemudian akan menjadi tradisi.
Proses penciptaan dan penghasilan bahan-bahan budaya popular itu adalah
sebahagian daripada proses perubahan masyarakat dan budaya Melayu. Dengan itu
juga dapat memperkukuhkan kedudukan budaya Melayu. Masyarakat dan budaya akan
terus dinamiks, iaitu perubahan perlu dilakukan bagi menjamin peningkatan
peradaban Melayu itu. Dalam konteks ini penghasilan bahan-bahan budaya popular
itu adalah sebahagian daripada kemajuan budaya yang dicapai masyarakat Melayu.
Dalam konteks ini budaya kebangsaan itu perlu dibina atas warisan budaya
tradisi dan pembangunan budaya moden, iaitu budaya popular. Oleh itu dalam
penghasilan bahan-bahan budaya popular itu juga perlu mempertahankan mutu yang
sewajarnya. Bahan-bahan budaya popular itu juga tidak dapat dinafikan masih
mempunyai mutu dan nilai-nilai seni yang akan menjadi warisan budaya Melayu.
Penghasilan budaya popular itu juga melalui proses kreativiti sewajarnya, yang
dengan sendirinya menyatakan pembangunan budaya Melayu, dan seterusnya
memainkan peranan sebagai sumbangan peningkatan peradaban Melayu.
Budaya rakyat kini semakin lemah kedudukannya berikutan
minat atau tumpuan orang ramai didapati semakin berkurang. Peranan atau fungsi
sesuatu fenomenon itu tidak dapat dipisahkan daripada kepentingan sesuatu
tradisi budaya. Berikutan dengan perubahan sosial, ekonomi dan pendidikan,
didapati kepentingan terhadap budaya rakyat semakin kurang mendapat tempat
dalam kehidupan masyarakat Melayu moden hari ini. Walaupun terdapat usaha untuk
menghidupkan tradisi rakyat pada peringkat kampung terutama di kalangan
golongan tua, tetapi sambutan daripada orang-orang muda tidak menggalakkan.
Mereka yang masih meneruskan perlibatan dalam tradisi rakyat semata-mata
berasaskan kepada minat, bukannya sebagai suatu yang dilakukan secara
sungguh-sungguh. Masalah yang dihadapi di kalangan penduduk kampung ialah
tekanan ekonomi yang tidak memungkinkan mereka menumpukan perhatian terhadap
minat mereka itu.43 Sambutan orang ramai yang dingin terhadap tradisi budaya
itu tidak memberi peluang mereka untuk menambahkan pulangan ekonomi dengan
menumpukan kepada bidang yang diminati. Penumpuan dalam kegiatan-kegiatan
ekonomi yang lain lebih penting, terutama bagi memperbaiki kehidupan mereka.
Dengan pesatnya penawaran berbagai-bagai bahan budaya
popular Melayu moden, boleh dianggap mempengaruhi kedudukan tradisi rakyat yang
tidak lagi berkembang dan menjadi popular. Bahan-bahan budaya popular yang
dianggap lebih moden mempengaruhi keseluruhan kehidupan orang ramai. Citarasa
budaya orang ramai telah berubah, terutama berikutan dengan proses modenisasi
dan urbanisasi yang semakin pesat. Setiap orang tidak mahu ketinggalan dalam
menghadapi atau mengalami gaya hidup moden kini. Sesuatu yang baru dan moden
itu mudah didapati dan sesuai dengan perubahan citarasa budaya orang ramai.
Berbagai-bagai usaha pernah dilakukan oleh mereka yang ingin
mengekalkan tradisi bagi menghidupkan budaya rakyat Melayu untuk menyesuaikan
dengan keperluan mengisi inspirasi budaya nasional. Tetapi jelas didapati,
dorongan dan galakan yang dilakukan tidak membawa banyak kesan, terutama di
kalangan orang-orang muda. Golongan muda tidak menunjukkan minat yang mendalam
terhadap unsur-unsur budaya rakyat tradisi. Proses modenisasi dan urbanisasi
membawa kesan-kesan langsung kepada kedudukan warisan budaya rakyat, yang
semakin kepinggiran.
Pelancongan sebagai industri budaya
Memandangkan masalah yang dihadapi dalam pengembangan budaya
rakyat tempatan, kerajaan telah mengubah strategi untuk menjadikan warisan
budaya rakyat sebagai bahan budaya yang boleh menarik perhatian pelancong,
terutama pelancong luar negeri. Pelancong-pelancong luar negeri dapat
menghayati warisan budaya rakyat kerana itu dianggap kelainan dari budaya
mereka. Dengan itu diharapkan penghasilan warisan budaya rakyat akan mendapat
perhatian ramai apabila para pelancong mulai menunjukkan minat terhadapnya.
Bagi mereka yang terlibat dalam kegiatan itu akan sanggup memberi tumpuan
apabila permintaannya semakin baik.
Budaya rakyat sebagai budaya warisan orang Melayu dapat
disebarkan atau dihidupkan semula apabila tumpuannya ialah untuk industri
pelancongan. Ini merupakan suatu perkembangan baru bagi penduduk di negara ini
dalam perancangan untuk mengembalikan kedudukan budaya tradisi. Penawaran
budaya rakyat kepada pelancong telah dilakukan dengan jayanya oleh sesetengah
negara, seperti di Indonesia dan Thailand. Para pelancong melihat penghasilan
seni tempatan itu sebagai suatu yang berbeza daripada seni moden, iaitu mempunyai
nilai-nilai seninya tersendiri. Penawaran unsur-unsur budaya rakyat tempatan
dapat menarik perhatian para pelancong yang bertujuan untuk mencari dan
mengalami sesuatu yang baru dan berlainan daripada budaya mereka. Atas
kesedaran ini penduduk tempatan berusaha menimbulkan atau menghidupkan tradisi
budaya mereka untuk dihayati oleh para pelancong.
Kerajaan Malaysia menyedari akan pentingnya industri
pelancongan itu sebagai sumber ekonomi negara. Di samping dapat meningkatkan
kegiatan ekonomi, industri pelancongan ini juga dapat mendorongkan penduduk
tempatan terus menumpukan kepada kegiatan-kegiatan yang berkaitan dengan budaya
tradisi. Dalam keadaan ini, kerajaan dapat melahirkan dua kepentingan dengan
mempergiatkan industri pelancongan ini, iaitu di samping sebagai kegiatan
ekonomi, negara juga dapat terus menonjolkan budaya tradisi sebagai usaha
melambangkan identiti negara atau dengan kata-kata lain dapat terus
mengembangkan identiti negara dalam konteks budaya kebangsaan. Bagi mencapai
tujuan itu kerajaan telah menggabungkan kegiatan kebudayaan dan pelancongan di
bawah satu Kementerian.
Perancangan seperti itu dikatakan lebih pragmatik dan dapat
terus mendorongkan perkembangan budaya tradisi memandangkan tradisi itu dapat
memberikan sumbangan ekonomi yang baik. Bagi mengharapkan budaya tradisi
berkembang secara sendirian sudah pasti tidak mampu berlaku sebagaimana masa
lalu. Sesuatu itu dapat bergerak dan berkembang dengan baik dalam masyarakat
kini apabila terdapat dorongan ekonomi.
Industri pelancongan dapat memberikan perhatian kepada
warisan budaya rakyat tradisi yang masih kedapatan di negara ini sebagai bahan
promosi untuk menarik para pelancong, terutama pelancong-pelancong luar negeri.
Kumpulan-kumpulan kesenian selalu dihantar ke luar negeri dengan tujuan menjual
Malaysia kepada orang-orang luar. Saluran ini dikatakan amat berkesan untuk
menarik perhatian orang luar untuk datang melancong ke negara ini. Selain itu,
keindahan alam sekitar dan cara hidup tradisi orang Melayu di peringkat kampung
juga selalu dikatakan dapat menarik pelancong-pelancong asing.
Kerajaan dan agensi-agensi pelancongan menyediakan
berbagai-bagai rancangan dalam usaha memperkenalkan para pelancong luar negeri
kepada budaya rakyat tradisi penduduk tempatan. Misalnya, pusat-pusat yang
menumpukan kepada kegiatan kerajinan tangan ditubuhkan. Galakan diberikan
kepada tukang-tukang atau artis-artis tradisi untuk menumpukan kegiatan seni
itu secara komersial.
Pendedahan yang meluas unsur-unsur budaya tradisional yang
ditujukan kepada para pelancong itu juga dapat menarik perhatian
pelancong-pelancong tempatan. Dengan pendedahan itu, penduduk tempatan dapat
memahami dan menghayati bahan-bahan budaya, dan dengan ini penawarannya semakin
bertambah di pasaran. Orang ramai juga dengan sendirinya menyedari kepentingan
unsur-unsur budaya tradisi.
Penghasilan budaya rakyat yang berkembang bagi kepentingan
para pelancong itu menghadapi proses penyesuaian yang dilakukan bagi
kepentingan pasaran. Peranan atau fungsi tradisinya mungkin tidak dapat
dipertahankan lagi. Budaya rakyat itu kini diletakkan dalam rangka kepentingan
atau fungsi baru, iaitu untuk dihayati, bukannya lagi berperanan dalam konteks
kaitannya dengan fungsi guna dalam masyarakat Melayu masa lalu. Penghasilannya
kini sebagai bahan dagangan, bukannya untuk penggunaan sebagaimana kedudukannya
dalam masyarakat Melayu tradisi. Unsur-unsur budaya itu dijadikan komoditi
dagangan sebagaimana bahan-bahan budaya popular moden dan bagi kepentingan ini
persaingan di kalangan pengusaha-pengusaha mendorongkan mereka melakukan
penyesuaian bagi mendapat pasaran yang baik. Dalam keadaan demikian didapati
para pengguna memainkan peranan penting dalam menentukan permintaan. Pengusaha,
seperti tukang dan artis berusaha memahami citarasa pelancong dalam
menyesuaikan penghasilan keluaran mereka. Walau bagaimanapun, pengekalan
unsur-unsur tradisi, terutama dari segi bentuknya perlu dilakukan bagi
menentukan keaslian budaya rakyat yang berkembang secara komersial itu.
Persembahan kesenian seperti dikir barat, rebana, wayang
kulit, kuda kepang dan berbagai-bagai jenis tarian tradisi yang dipersembahkan
untuk pelancong diringkaskan untuk jangka masa yang lebih pendek agar tidak
menjemukan penonton. Sedangkan persembahan asalnya memakan masa yang lama,
tetapi para penonton dalam konteks masyarakat itu dapat menghayati dan
memahaminya. Persembahan kepada pelancong terpaksa mereka memilih
bahagian-bahagian yang menarik bagi menarik perhatian penonton. Misalnya,
dengan mengurangkan babak-babak dailog dan melebihkan bahagian perlakuan.
Perkembangan budaya pelancongan ini adakala membawa
kesan-kesan buruk kepada kedudukan warisan budaya rakyat tradisi itu. Pihak
pengusaha selalu menimbangkan kepentingan ekonomi tanpa meneliti kesan-kesan
jangka panjangnya. Pengusaha selalu mengubah dan menyesuaikan sesuatu unsur
budaya tradisi itu mengikut kemahuan mereka sehingga tidak ada lagi keasliannya
dalam unsur itu. Sebagai contoh, dapat kita perhatikan tarian-tarian Melayu
asli telah banyak disesuaikan dengan kehendak-kehendak moden dan dilakukan
perubahan secara sewenang-wenang sehingga tidak wujud sifat-sifat aslinya.
Keadaan ini boleh melenyapkan keaslian sesuatu unsur itu dan diganti dengan
sesuatu yang baru. Generasi akan datang menghadapi masalah untuk mengesan dan
memahami unsur-unsur budaya asli yang boleh menyatakan identiti masyarakat dan
budaya Melayu.
Unsur-unsur budaya kebendaan hasil kerajinan tangan Melayu
disesuaikan dengan kehendak-kehendak pelancong. Bahan-bahan budaya itu
disesuaikan dari segi saiznya, misalnya dijadikan lebih kecil bagi memudahkan
para pelancong membawa pulang. Fungsi asalnya secara umum berubah kepada fungsi
perhiasan. Oleh itu penekanan diberikan kepada keindahan, misalnya dari segi
ukiran dan kehalusan buatannya, yang bertujuan untuk dapat menarik perhatian
pelancong, terutama pelancong luar negeri. Sebagai contoh, layang-layang yang
dihasilkan oleh orang Melayu ialah untuk dinaikkan, tetapi dijadikan saiznya
lebih kecil untuk perhiasan. Oleh itu ukiran dan warnanya menjadi perhatian
tukang-tukang untuk mengisi keperluan itu.
Bagi mengisi keperluan budaya pelancong, artis-artis yang
berkebolehan bagi mencipta dan menghasilkan sesuatu dengan cara lebih kreatif
perlu diberikan perhatian. Fungsi asasnya telah berubah kepada hasil untuk
dagangan kepada para pelancong. Pelancong tidak memahami kedudukan sesuatu
hasil budaya itu yang telah dibawa keluar daripada konteks masyarakat. Mereka
tidak penting kepada makna dan pengertian asalnya tetapi memerlukan keindahan
sesuatu penghasilan budaya, sebagai sesuatu yang dianggap eksotik.
Pelancong berusaha memahami sesuatu fenomenon budaya itu
secara ringkas dan mudah. Mereka menonton atau meneliti sesuatu itu secara
sepintas lalu dan kemudian akan melupainya. Kesannya tidak mendalam. Tujuannya
untuk menarik perhatian pelancong secara luaran dan secara cepat yang dapat.
Misalnya, dalam penghasilan barangan, unsur-unsur tradisi, seperti motif atau
ukirannya berubah kepada unsur-unsur moden. Dengan ini bermakna nilai-nilai
tradisi semakin dilupai dan adakala pula dimasukkan unsur-unsur asing. Suasana
demikian tidak dapat membina dan mengekalkan keaslian tradisi budaya Melayu.
Dengan pesatnya berlaku keadaan demikian, suatu hari nanti orang Melayu
terutama generasi muda tidak dapat mengenali unsur-unsur budaya tradisi yang
dapat menyatakan keaslian Melayu untuk dibanggakan. Dalam perkembangan budaya
pelancongan itu, orang-orang yang berkebolehan dan ahli dalam bidang-bidang
berkaitan patut dapat terus mengekalkan nilai-nilai tradisi bagi kepentingan
bersama.
Proses Globalisasi dan Budaya Popular Melayu
Perkembangan ekonomi global atau proses globalisasi dalam
ekonomi membawa kesan yang ketara dalam perubahan dan pembangunan budaya. Dalam
perkembangan ekonomi global itu sebenarnya memperkukukan kedudukan ekonomi
negara maju. Penyebaran pasaran yang tidak mempunyai batasan memberikan
kekuatan kedudukan dan kuasa ekonomi negara-negara maju, khususnya barat.
Sebelum runtuhnya sekatan atau blok ekonomi yang berasaskan kepentingan politik,
negara-negara maju itu telah pun menguasai ekonomi di peringkat internasional.
Kekuasaan ekonomi itu boleh dikesan sebagai persambungan pembangunan ekonomi
kolonial dahulu lagi.
Perkembangan ekonomi global itu turut memperluaskan
penyebaran pasaran bahan-bahan budaya, terutama atas kepentingan komersial.
Bahan-bahan budaya popular yang dibawa dari negara-negara maju itu, terutama
barat sentiasa dianggap mempunyai nilai-nilai sosial yang tinggi, iaitu
dianggap moden dan maju. Malahan bahan-bahan budaya popular yang dibawa dari
barat sentiasa menarik perhatian golongan muda mudi di negara ini. Anggapan
seperti itu bukanlah suatu nilai-nilai sosial yang baru, nilai-nilai demikian
telah dipupuk sejak zaman pemerintahan kolonial dahulu lagi. Kemodenan dan kemajuan
itu selalu dirujuk kepada pencapaian peradaban barat.
Golongan muda merupakan majoriti penduduk negara ini. Oleh
itu, penyebaran bahan-bahan budaya di kalangan muda mudi itu dapat pula
berkembang sebagai budaya popular. Pengaruh budaya barat itu tidak terbatas di
kalangan golongan muda sahaja. Malahan gaya hidup barat juga telah meresap di
kalangan golongan elit bangsawan tempatan sejak lama dahulu lagi. Mereka
mempertahankan bahawa kemajuan dan kemodenan yang dibawa oleh barat itu
mempunyai kedudukan sosial yang tinggi dan patut diikuti. Bahan-bahan budaya
dari barat itu telah diterima dengan meluas sebagai lambang sosial. Suasana
demikian mempengaruhi golongan muda dan fenomenon ini tidak boleh dianggap
sesuatu yang baru.
Budaya barat yang menjadi ikutan golongan muda itu meliputi
juga bahan-bahan budaya yang tidak sesuai dengan nilai-nilai sosial tempatan.
Antaranya sebagai contoh terdapat gaya hidup penyanyi dan pemain muzik barat
yang mempengaruhi kumpulan muda mudi tempatan, dan perlakuan itu adakala
bercanggah dengan nilai-nilai tempatan. Apabila keadaan itu berlaku, maka
golongan dewasa menentang perlakuan demikian. Sedangkan golongan muda mudi itu
didedahkan dengan perkembangan budaya popular barat yang keterlaluan sifatnya.
Tetapi golongan dewasa adalah bertanggungjawab dalam menyebarkan bahan-bahan
budaya secara meluas itu atas kepentingan komersial.
Penyebaran bahan-bahan budaya barat itu membawa dan
menyalurkan bersamanya nilai-nilai sosial berasaskan budaya barat. Selalunya
melalui bahan-bahan yang disebarkan itu terdapat nilai-nilai yang baik dan
patut menjadi ikutan orang Melayu, terutama golongan muda. Tetapi kerapkali
nilai-nilai yang baik itu diketepikan, sebaliknya nilai-nilai yang tidak baik
mudah mempengaruhi perlakuan golongan muda mudi Melayu.
Orang ramai selalu beranggapan, bahan-bahan budaya popular
yang dibawa dari barat itu membawa kesan-kesan buruk kepada masyarakat
tempatan, terutama golongan muda. Misalnya, budaya barat itu selalu dikatakan
budaya kuning, dan dianggap tidak sesuai dengan kehidupan orang Melayu. Tetapi
aspek kebaikan, terutama nilai-nilai sosial yang patut menjadi teladan, seperti
pembinaan hubungan sosial, kekeluargaan, budaya ilmu, menjaga kebersihan dan
sebagainya kurang mendapat perhatian. Sedangkan budaya popular yang dibawa dari
barat itu terdapat banyak nilai-nilai sosial yang patut diikuti. Perkara yang
menjadi perhatian ialah berkaitan dengan nilai-nilai buruk yang dianggap boleh
membawa kesan-kesan buruk kepada generasi muda.
Penyebaran bahan-bahan budaya popular moden kini membawa
perubahan besar kepada kehidupan orang Melayu. Bahan-bahan budaya popular dapat
dianggap sebagai saluran penting kepada orang ramai untuk mengisi keperluan
yang lebih tinggi seperti hiburan, melayan perasaan, kepuasan individu, dan
mengisi masa lapang. Dengan itu dapat mengurangkan tekanan hidup kepada
anggota-anggota masyarakat. Orang ramai, sebagai pengguna bahan-bahan budaya
popular boleh membuat pilihan daripada berbagai jenis bahan budaya di pasaran
mengikut kemampuan dan keperluan masing-masing.
Penawaran bahan-bahan budaya itu dalam berbagai jenis dan
bentuk yang dilakukan secara komersial, mampu dibeli untuk penggunaan orang
ramai. Perbelanjaan terhadap bahan-bahan budaya popular merupakan sebahagian
daripada keperluan kepenggunaan orang ramai yang itu menjadi sebahagian
daripada keperluan harian setiap orang.
Bahan-bahan budaya popular itu dihasilkan oleh kegiatan
industri budaya. Perkembangan industri itu sebagaimana industri lain mempunyai
pengurusan yang berusaha memasarkan keluaran mereka kepada ramai. Sebagai
industri, maka usaha promosi, misalnya dengan iklan, pameran, demostrasi dan
sebagainya dilakukan bagi menarik pengguna atau audien. Kejayaan sesuatu
industri budaya itu sangat bergantung kepada sambutan yang diberikan oleh para
pengguna. Sedangkan pengguna itu mempunyai kemampuan untuk membuat pilihan
sendiri. Walau bagaimanapun, melalui promosi yang meluas kerapkali dapat
mempengaruhi nilai-nilai sosial.
Perkembangan industri budaya popular itu memberikan
sumbangan ekonomi yang penting kepada negara. Di samping itu industri itu juga
dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada mereka yang berkebolehan dan
berminat. Malahan, industri budaya ini turut memainkan peranan penting dalam
pembangunan negara, misalnya dalam membawa perubahan nilai-nilai sosial dan
world-view.
Pesatnya pembangunan yang dilalui penduduk luar bandar,
turut memberikan peluang meningkatnya penyebaran budaya popular sehingga ke
kawasan-kawasan pendalaman, dan melaluinya dapat menyalurkan proses urbanisasi
dan modenisasi dengan lebih berkesan. Misalnya, dengan pendedahan yang
disalurkan melalui TV dapat membuka minda dan mencabar pemikiran
anggota-anggota masyarakat untuk memperbaiki kehidupan mereka. Nilai-nilai yang
dipupuk itu dapat mendorongkan mereka untuk mengubah sikap, misalnya dengan
bekerja lebih kuat, yang dapat meningkatkan produktiviti.
Budaya popular sekian lama telah memainkan peranan dalam
mengurangkan kedudukan jurang sosial di kalangan anggota-anggota masyarakat. Ini
dapat dikaitkan dengan peranan media massa yang menawarkan bahan-bahan budaya
popular kepada semua peringkat anggota masyarakat tanpa mengira kedudukan
kelompok-kelompok sosial. Semua anggota masyarakat menghayati bahan budaya yang
sama atau standard yang disalurkan oleh media popular itu. Dengan itu dapat
membina dan memupuk nilai-nilai sosial yang lebih kurang sama.
Industri budaya popular di negara ini telah bermula sejak
pemerintahan kolonial, apabila berkembangnya ekonomi kapitalis dan teknologi
moden. Tetapi pemilikan modal dan teknologi moden itu, seperti filem dan piring
hitam dikuasai orang bukan Melayu. Orang Melayu yang terlibat hanya mampu
memberikan sumbangan tenaga dengan ganjaran upah atau gaji.44 Oleh itu,
industri budaya popular Melayu yang pesat berkembang di bandar-bandar besar di
negara ini adakala merupakan kegiatan komersial orang bukan Melayu. Pada
peringkat awal, orang Melayu boleh dikatakan terlibat dalam indsutri Bangsawan.
Apabila industri budaya memerlukan modal yang besar dan teknologi moden, maka
orang Melayu tidak mampu untuk turut serta dalam membina industri demikian.
Malahan pembangunan industri itu memerlukan kepakaran dan pendidikan, terutama
dalam usaha pengurusan industri itu. Pembinaan industri budaya sebagaimana juga
industri yang lain memerlukan susunan strategi pengurusan yang berkesan.
Walaupun kepentingan utamanya ialah untuk mendapatkan keuntungan, tetapi
pengusaha industri itu juga mempunyai peranan dan tanggungjawab sosial.
Dalam perjalanan sesebuah industri budaya itu, melibatkan
pengumpulan modal dan tenaga pekerja. Dalam sistem kapitalis, kegiatan yang
berkaitan itu berusaha memaksimum keuntungan. Atas kepentingan ini, pengusaha
industri itu berusaha menawarkan sesuatu bahan budaya yang dapat menarik perhatian
orang ramai. Bahan-bahan budaya yang baru atau dianggap moden itu kerapkali
dapat menarik perhatian orang ramai. Oleh itu, pengusaha sentiasa peka kepada
perubahan selera orang ramai. Penwaran bahan-bahan budaya di pasaran sentiasa
berubah menyesuaikan dengan kehendak dan kepentingan orang ramai dari masa ke
masa.
Adakala pengusaha industri budaya popular itu menggunakan
strategi mengeksploit keinginan semula jadi manusia bagi menarik minat ramai,
terutama golongan muda. Aspek-aspek yang boleh menimbulkan rangsangan keinginan
manusia itu seperti seks dan keganasan sebagaimana yang selalu dipaparkan dalam
filem selalu diberikan perhatian oleh pengusaha. Filem-filem yang dikeluarkan
di barat misalnya, selalu membawa adegan-adegan yang sensasi bagi menarik minat
khalayak. Namun, tumpuan yang diberikan itu kerapkali agak keterlaluan, dan
tidak sesuai dengan nilai-nilai sosial tempatan. Oleh itu, kerajaan telah
menetapkan syarat dan peraturan dalam mengawal bahan-bahan budaya yang boleh
menimbulkan percanggahan dengan nilai-nilai sosial tempatan. Misalnya, badan
penapis filem diberikan kuasa dalam menentukan kesesuaian bahan-bahan budaya
yang dibawa dari luar itu. Ini dilakukan bagi mengawal moral dan akhlak
penduduk tempatan, terutama orang Melayu yang beragama Islam. Kini, penyebaran
bahan-bahan budaya semakin meluas, melalui perkembangan teknologi moden yang
boleh membawa kesukaran dalam melakukan kawalan terhadap bahan-bahan budaya
itu.
Pembangunan teknologi moden yang sangat pesat kini memainkan
peranan penting dalam membawa proses globalisasi bahan-bahan budaya popular.
Dengan perkembangan media elektronik dan penyebaran yang dapat dilakukan
melalui satalite membolehkan bahan-bahan budaya dapat disebarkan dengan meluas.
Dalam perkembangan itu, menjadikan negara maju, terutama barat mempunyai
kedudukan yang semakin kukuh dalam ekonomi dan budaya. Kekuatan ekonomi barat
dalam menguasai ekonomi dunia, turut mempengaruhi pula penyebaran bahan-bahan
budayanya. Budaya popular barat yang dihasilkan oleh pembangunan industri
budaya itu dapat menyalurkan bahan-bahan budaya itu ke seluruh dunia.
Seterusnya, penyebaran yang meluas itu dapat memperkukuhkan kedudukan ekonomi
dan politiknya.
Kekuatan ekonomi dan pembangunan teknologi negara-negara
maju itu seterusnya dapat menguasai budaya di peringkat global dan dapat pula
mempengaruhi dan menyalurkan ideologi politiknya. Pencapaian itu menyatakan
kedudukan global itu hakikatnya membawa kesan yang amat baik kepada
negara-negara maju. Namun, asas pembinaannya itu telah bermula sejak pengaruh
politik kolonial yang menyebarkan konsep moden tehadap penduduk di
negara-negara dunia ketiga, yang masih di peringkat sedang membangun.
Pengaruh budaya barat yang telah bermula sejak zaman
pemerintahan kolonial di negara ini turut mempengaruhi perkembangan budaya
Melayu. Penyebaran bahan-bahan budaya popular barat memainkan peranan penting
dalam mempengaruhi pembinaan budaya popular Melayu. Teknologi moden yang dibawa
dari barat seperti piring hitam, filem, radio dan sebagainya turut diisi dengan
kandungan Melayu, tersebar luas, terutama di kalangan orang Melayu. Fenomenon
budaya popular itu sentiasa dianggap sebagai sesuatu yang baru, dan seterusnya
membawa bersamanya nilai-nilai kemodenan. Sesuatu yang popular dari barat mudah
ditiru dan diikuti bagi menyesuaikan dengan kehendak tempatan. Perkembangan
budaya popular Melayu itu turut dipengaruhi perkembangan budaya popular di
peringkat global khususnya barat. Kini dengan pesatnya penyebaran bahan-bahan
budaya dalam proses globalisasi itu, didapati perkembangan itu memainkan
peranan dalam mempengaruhi perkembangan industri budaya popular Melayu, yang
berusaha untuk mengisi keperluan tempatan.
Dengan kekuatan asas yang telah dibina dalam proses
modenisasi semenjak pengaruh budaya kolonial dahulu, dan keadaan yang sama
berlaku dalam proses globalisasi budaya kini, didapati bahan-bahan budaya yang
dibawa dari barat itu sentiasa dipandang tinggi dan dianggap moden. Namun,
berbagai usaha dilakukan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan bahan-bahan
budaya tempatan.
Bahan-bahan budaya popular global dalam berbagai lapangan
yang disebarkan oleh industri budaya barat itu kini didapati tersebar luas yang
memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk melakukan pilihan, pendedahan
yang sangat meluas itu tidak dapat dinafikan turut mempengaruhi cita rasa
budaya tempatan dan memupuk nilai-nilai sosial negara maju. Orang Melayu turut
mempunyai peluang untuk menghayati berbagai bentuk dan jenis penawaran budaya
popular yang dibawa dari negara-negara maju. Berasaskan pengalaman itu mereka
mengharapkan penawaran bahan-bahan budaya popular tempatan juga tidak jauh
berbeza dengan bahan-bahan budaya popular dari negara-negara maju itu. Suasana
demikian mempengaruhi perkembangan industri budaya popular Melayu. Bagi
kepentingan komersial, industri budaya tempatan selalu meniru atau mengikuti
perkembangan sebagaimana yang dinyatakan oleh negara-negara maju. Tetapi
industri budaya tempatan terpaksa menyesuaikan dengan nilai-nilai sosial
tempatan, misalnya tentang moral dan akhlak yang tetap berlandaskan kepada
nilai-nilai Islam. Adakala terdapat bahan-bahan budaya popular itu yang kurang
memberikan pertimbangan tentang nilai-nilai sosial itu yang boleh membawa
kepada kesan-kesan sosial yang kurang baik. Namun masyarakat Melayu selalu
memberikan tekanan terhadap bahan-bahan budaya Melayu yang didapati agak
keterlaluan dan tidak memberikan perhatian kepada nilai-nilai sosial tempatan
dan Islam.
Penyebaran bahan-bahan budaya popular dari negara-negara
maju dalam proses globalisasi itu memberikan kesan yang menyeluruh terhadap
budaya Melayu tradisi. Persaingan dengan perkembangan budaya popular di
peringkat global membawa kesan kepada tradisi budaya tempatan, iaitu apabila
bahan budaya popular itu digunakan sebagai nilai-nilai yang mengukur kemajuan
dan kemodenan kini. Segala warisan tradisi dianggap sebagai ketinggalan zaman
dan tidak dinamiks mengikut pembangunan semasa.
Penyebaran budaya popular dari negara-negara maju, terutama
barat itu menekankan nilai-nilai sosial yang adakala bercanggah dengan
nilai-nilai sosial tempatan, malahan tidak sesuai dengan nilai-nilai Islam.
Misalnya, kepentingan kepada nilai-nilai material dan mementingkan diri
keterlaluan boleh menjejaskan kurangnya pertimbangan sosial, terutama nilai-nilai
moral dan akhlak. Sedangkan bahan-bahan budaya popular itu sangat berkesan
dalam mempengaruhi generasi muda, yang lebih mementingkan hiburan. Mereka
kurang memberikan perhatian terhadap masalah-masalah sosial. Adakala kelainan
budaya yang disalurkan melalui budaya popular menjadi ikutan kepada generasi
muda di negara ini. Selain itu, eksploitasi unsur-unsur sensasi boleh membawa
kesan-kesan sosial yang kurang baik.
Penyebaran budaya popular sangat dinamiks, sentiasa berubah
menyesuaikan dengan permintaan orang ramai. Penyebaran bahan-bahan budaya itu
memberi peluang kepada orang ramai mempelajari dan memahami masyarakat dan
budaya lain di dunia ini, yang boleh mempengaruhi pemikiran mereka. Pendedahan
yang meluas dapat mempercepatkan proses modenisasi dan globalisasi, tetapi
perlu juga diawasi, di samping mendorongkan perubahan selaras dengan kesan yang
dibawa oleh proses globalisasi itu. Mereka perlu mempelajari dari masyarakat
dan budaya lain bagi membolehkan mereka mengalami perubahan nilai-nilai sosial.
Pesatnya perkembangan dan penyebaran bahan-bahan budaya
popular itu boleh mempengaruhi pembangunan ekonomi negara. Di samping itu
anggota-anggota masyarakat juga boleh melibatkan diri dalam pembangunan
industri itu mengikut kemampuan dan kepakaran masing-masing.
Impak Fenomenon Budaya Popular
Perkembangan industri budaya popular memberikan sumbangan
ekonomi yang tidak kurang pentingnya kepada negara. Sebahagian besar sumbangan
itu datangnya daripada kemasukan bahan-bahan budaya dari negara-negara maju.
Industri budaya popular tempatan menghadapi persaingan dengan penawaran
bahan-bahan budaya yang datangnya dari negara-negara maju itu. Kerajaan
berusaha membantu bagi menggalakkan perkembangan industri budaya Melayu.
Misalnya, keutamaan diberikan kepada pengusaha-pengusaha tempatan dalam
penyebaran bahan-bahan budaya popular.
Penawaran bahan-bahan budaya popular itu bukan sahaja
sebagai bahan yang memberikan hiburan, melayan emosi atau perasaan orang ramai
sebagai pengguna. Malahan, bahan-bahan budaya itu dapat memainkan berbagai
peranan dalam membawa keharmonian dan kesejahteraan sosial. Penyaluran
nilai-nilai sosial melalui bahan-bahan budaya popular adalah sangat berkesan,
terutama di kalangan orang-orang muda. Misalnya, filem, nyanyian, dan buku-buku
cerita popular adalah saluran pemupukan nilai-nilai sosial yang amat baik.
Bahan-bahan budaya popular itu juga turut memainkan peranan
dalam memperkukuhkan hubungan sosial, terutama melalui nilai-nilai sosial yang
disalurkan itu yang seragam. Malahan budaya popular itu boleh memainkan peranan
dalam pembinaan perpaduan antara kaum di negara ini. Di peringkat nasional,
budaya popular dapat mengurangkan ikatan individu kepada kelompok yang
berasaskan kedaerahan. Bahan-bahan budaya popular dikongsi dan dihayati
bersama, maka nilai-nilai sosial dan unsur pendidikan yang disalurkan melalui
bahan-bahan itu dapat memberikan rasa kekitaan yang kukuh.
Budaya popular sebagai “urban product” sentiasa menghasilkan
sesuatu yang baru. Nilai-nilai sosial yang didedahkan kepada orang ramai
melalui bahan-bahan budaya popular itu merupakan suatu pembaharuan dan
kemodenan. Orang ramai, terutama golongan muda sentiasa mencari sesuatu yang
baru. Oleh itu, bahan-bahan budaya popular itu turut memberikan sumbangan dalam
membawa para pengguna itu mengalami proses modenisasi dan urbanisasi.
Anggota-anggota masyarakat tidak mahu ketinggalan dalam mengikuti perkembangan
budaya semasa.
Penyaluran bahan-bahan budaya popular melalui media
elektronik, media cetak dan seumpamanya mendedahkan orang ramai kepada
bahan-bahan budaya popular di peringkat global. Ini memberikan peluang para
pengguna berfikiran lebih terbuka dan turut mengalami proses globalisasi.
Perkembangan pesat budaya popular dapat memberikan peluang
orang ramai membuat pilihan pengisian keperluan lebih tinggi, seperti
bahan-bahan budaya, mengikut citarasa masing-masing. Malahan sebagai bahan
pengguna, penawaran bahan-bahan budaya itu mampu didapati oleh orang ramai,
terutama di pasaran di seluruh negara.
Perkembangan bahan-bahan budaya popular itu adakala
dikaitkan dengan kesan buruknya kepada golongan muda. Bahan-bahan budaya yang
dibawa dari barat selalu dianggap bercanggah dengan nilai-nilai sosial tempatan
dan nilai-nilai Islam. Perlakuan kelainan budaya yang tersebar di kalangan
orang-orang muda juga dikaitkan dengan budaya popular dari barat. Oleh itu,
orang dewasa beranggapan bahan-bahan budaya itu amat perlu dikawal dan diawasi.
Tetapi dengan teknologi penyebaran maklumat yang semakin canggih kini, pengawalan
bahan-bahan budaya yang disalurkan melalui teknologi itu didapati semakin sukar
dilakukan. Oleh itu, usaha yang perlu dilakukan ialah memperkuatkan ketahanan
diri golongan muda itu, misalnya dengan memberikan pendidikan agama dan moral
yang sebaiknya. Sejauhmana kesan buruk yang dibawa oleh bahan-bahan budaya
popular dari negara-negara maju terhadap golongan muda di negara ini setakat
ini belum lagi dilakukan penyelidikan secara mendalam.
Perkembangan pesat penawaran bahan-bahan budaya popular
secara global, terutamanya yang datang dari barat mempengaruhi nilai-nilai
sosial orang Melayu. Misalnya, nilai-nilai material semakin meningkat. Gaya
hidup yang berasaskan “impian Amerika” semakin meluas.
Fenomenon budaya popular mempengaruhi dan membawa kesan kepada
kelemahan kedudukan budaya Melayu tradisional. Minat ramai, terutama golongan
muda terhadap warisan tradisi itu semakin berkurang. Kepinggiran warisan
tradisi adalah kesan daripada nilai-nilai kemodenan dan kemajuan yang diberikan
kepada bahan-bahan budaya popular.
Budaya Melayu itu dinamis. Perkembangan pesat budaya popular
Melayu dengan jelas menyatakan dinamiknya budaya Melayu. Perkembangannya itu
selaras dengan pembangunan yang dilalui orang Melayu. Kini orang Melayu
mengalami proses modenisasi dan urbanisasi yang pesat dan perubahan yang
dilalui itu dapat difahami daripada perkembangan bahan-bahan budaya popular
yang tersebar luas. Di samping itu masyarakat Melayu terdedah kepada perubahan
dan kemajuan yang berlaku di peringkat global apabila bahan-bahan budaya
popular dari negara-negara maju itu berkembang secara global.
Bahan-bahan budaya popular Melayu itu dengan jelas
menyatakan secara ekspresif dan simbolik perubahan yang dilalui orang Melayu.
Melaluinya mereka menyatakan pencapaian orang Melayu dalam mengalami perubahan
seperti pembangunan dan kemodenan.
Pesatnya perkembangan dan penyebaran bahan-bahan budaya
popular dari negara-negara maju di negara ini dalam proses globalisasi boleh
membawa kesan-kesan kurang baik dari segi nilai-nilai kebangsaan. Tetapi kesan
itu boleh pula memberikan kesedaran kepada masyarakat Melayu, untuk
meningkatkan dan memperkukuhkan semangat kebangsaan. Dalam konteks ini usaha
mengembalikan masyarakat kepada nilai-nilai sosial tradisi yang berteraskan
kepada Islam digalakkan oleh berbagai-bagai pihak di negara ini.
Rumusan
Fenomenon budaya popular kini menjadi sebahagian daripada
keperluan hidup moden. Perkembangannya tersebar luas merintasi kelas sosial.
Penawarannya yang merupakan kegiatan komersial memberikan pulangan ekonomi yang
baik kepada negara, dan memberikan peluang pekerjaan kepada ramai orang yang
terlibat dalam industri itu.
Budaya Melayu tradisional pernah berkembang secara popular
masa lalu dalam konteks budaya rakyat. Budaya popular tradisional itu berbeza
daripada budaya popular moden yang telah mengalami proses modenisasi dan
urbanisasi. Perkembangan ekonomi, teknologi dan pendidikan moden memainkan
peranan penting dalam melahirkan fenomenon budaya popular moden Melayu. Ini
boleh dikesan sejak perkembangan bandar-bandar moden semasa pemerintahan
kolonial. Budaya popular Melayu merupakan “urban product” yang membawa
ciri-ciri kemodenan dan pembandaran.
Perkembangan budaya popular moden membawa kesan-kesan
perubahan sosial dan budaya yang berlaku di kalangan orang-orang Melayu. Budaya
popular yang tersebar luas itu membawa kemerosotan kepada budaya tradisi,
sedangkan dalam konsep pembinaan budaya kebangsaan, unsur-unsur budaya
tradisional itu sangat penting sebagai lambang jatidiri negara. Kesannya itu
meletakkan budaya rakyat itu menghadapi masalah untuk dapat diterima ramai.
Walau bagaimanapun, Kementerian yang terlibat berusaha di samping memulihara
ialah menghidupkan berbagai jenis seni tradisional dengan cara melibatkan
industri budaya dalam kegiatan pelancongan.
Budaya Melayu tradisional menyatakan aspek ekspresif dan
simbolik kehidupan orang Melayu. Berbagai usaha dilakukan dalam menentukan
tradisi itu tidak lenyap begitu sahaja. Walau bagaimanapun dalam proses
globalisasi yang pesat kini, orang Melayu menyedari kesan-kesan yang kurang
baik dibawa oleh bahan-bahan budaya popular dari negara-negara maju itu. Ini
memberi kesedaran masyarakat Melayu untuk mengembali dan mempertahankan
identiti Melayu itu. Antaranya, ialah dengan berusaha meletakkan warisan
tradisi budaya Melayu di tempat sewajarnya. Namun, unsur-unsur budaya tradisi
itu boleh dipopularkan apabila unsur-unsur budaya itu dapat disesuaikan dengan
keperluan semasa.
Perkembangan budaya popular Melayu itu juga menyatakan
dengan jelas dinamiks budaya Melayu itu. Dan dalam pembinaan budaya kebangsaan,
peranan budaya moden dalam konteks budaya popular itu perlu juga diberikan
tumpuan. Tetapi tidak semua bahan budaya popular itu dapat dianggap penting
dalam pembinaan budaya kebangsaan. Pertimbangan mutu sangat penting dalam
meletakkannya sebagai budaya kebangsaan. Adakala orang berpendapat bahan-bahan
budaya popular bermutu rendah, hanya mementingkan pulangan ekonomi semata-mata.
Walau bagaimanapun kita tidak boleh ketepikan nilai mutu itu, memandangkan
penawaran bahan-bahan budaya itu ialah untuk kepuasan orang ramai. Oleh itu
perkara mutu itu juga sentiasa diberikan perhatian agar penawarannya itu
mendapat perhatian orang ramai.
Perkembangan budaya popular itu, terutama bahan-bahan budaya
popular dari negara-negara maju dalam konteks global memberikan persaingan
kepada perkembangan budaya popular Melayu. Pengusaha dan mereka yang terlibat
dalam industri budaya berusaha meningkatkan mutu pengeluaran dan ini merupakan
cabaran bagi perkembangan budaya popular Melayu agar dapat bersaing di pasaran.
Pembangunan dalam penawaran bahan-bahan budaya popular
Melayu boleh dianggap sangat penting untuk mengimbangi pesatnya kemasukan
bahan-bahan budaya dari negara-negara maju. Bahan-bahan budaya popular Melayu
masih berteraskan kepada nilai-nilai sosial yang diberikan oleh ajaran Islam.
Dengan ini dapat memberikan pilihan kepada orang Melayu yang kian terdedah
dengan bahan-bahan budaya dari luar.
Bahan-bahan budaya dari barat, di samping terdapat nilai-nilai
yang patut dicontohi, terdapat pula nilai-nilai yang dinyatakan dalam perlakuan
yang bercanggah dengan nilai-nilai sosial Melayu dan Islam. Perlakuan itu boleh
menimbulkan konflik nilai dan mempengaruhi golongan muda yang seterusnya boleh
membawa berbagai-bagai masalah sosial atau kelainan budaya.
Kini penyebaran bahan-bahan budaya dari negara-negara maju
semakin meluas dalam berbagai saluran yang tidak mungkin boleh diawasi lagi.
Oleh itu, ketahanan diri individu perlu diperkukuhkan. Generasi muda perlu
dipupuk dengan nilai-nilai moral dan akhlak yang tinggi berasaskan Islam bagi
membolehkan mereka berhadapan dengan penyebaran bahan-bahan budaya yang tidak
sesuai dengan budaya Melayu dan Islam.
Bahan-bahan budaya popular itu juga memainkan peranan penting
dalam membawa orang Melayu mengalami proses modenisasi dan urbanisasi. Selain
itu, melaluinya dapat dipupuk nilai-nilai sosial secara berkesan kepada orang
ramai. Budaya popular itu yang sentiasa berubah menyesuaikan dengan perubahan
cita rasa budaya ramai menyalurkan berbagai-bagai nilai sosial, adakala
nilai-nilai sosial itu bercanggah dengan tradisi budaya Melayu dan Islam.
Perkembangan budaya popular itu yang merupakan sebahagian kehidupan moden
terdapat kesan-kesan baik dan buruknya. Impaknya yang begitu meluas sentiasa
disedari anggota-anggota masyarakat. Anggota-anggota masyarakat Melayu perlu
dilengkapkan dengan ketahanan diri yang kuat, terutama asas Islam dan
pendidikan, agar orang Melayu mampu menerima cabaran dan dapat bersaing dalam
berbagai bidang dan lapangan berikutan pesatnya proses kemodenan, urbanisasi
dan globalisasi. Bahan-bahan budaya popular itu mendapat populariti berasaskan
peranannya membawa perubahan, pembaharuan dan menyatakan gaya hidup moden dan
bandaran.
Tidak dapat dinafikan lagi peranan fenomenon budaya popular
itu dalam kehidupan masyarakat Melayu moden kini yang perkembangannya semakin
meluas dan merupakan sebahagian daripada fenomenon budaya moden. Kita tidak
boleh lagi menganggap bahan-bahan budaya popular itu tidak penting atau boleh
membawa kesan-kesan yang kurang baik kepada masyarakat, terutama golongan muda.
Semua pihak perlu memahami kepentingan dan peranan budaya popular dari aspek
positifnya, iaitu budaya popular itu boleh memberikan sumbangan penting dalam
pembangunan masyarakat dan budaya. Untuk meletakkan budaya Melayu sebagai
budaya kebangsaan yang berteraskan Islam, maka budaya popular itu perlu
digunakan seluasnya agar dapat memberikan kesan yang baik, terutama kepada
generasi muda. Bahan-bahan budaya popular itu juga boleh digunakan dengan
berkesan sebagai saluran pemupukan nilai-nilai sosial yang berteraskan Islam,
khususnya ke arah pembangunan orang Melayu. Dalam perancangan pembangunan
sosial dan kebudayaan, peranan dan kepentingan fenomenon budaya popular perlu
diberikan pertimbangan serius sebagai fenomenon yang dapat membawa perubahan
masyarakat dan budaya, seterusnya meningkatkan peradaban Melayu.
Comments
Post a Comment