Skip to main content

BERSEDIA TANGANI KRISIS MAKANAN

SUMEBER=UTUSAN MALAYSIA

SERDANG,18 FEBRUARI 2015-SEDAR atau tidak, turun naik harga makanan seiring perubahan iklim global. Jika kita masih ingat, Malaysia pernah ber­depan beberapa krisis bekalan beras sebelum ini.
Sebagai nett importer atau pe­­­ng­import bersih makanan, Malaysia, secara tidak langsung terkesan de­ngan perubahan cuaca dan bencana alam yang berlaku di beberapa buah negara pengeluar beras utama dunia.
Vietnam umpamanya, mengalami masalah serangan parasit sehingga menjejaskan pengeluaran beras dunia, begitu juga Bangladesh telah dilanda banjir teruk manakala China menghadapi masalah cuaca.
Pada masa itu, harga beras dunia mencapai paras tertinggi pernah direkodkan iaitu RM3,430 setan pada Mei 2008. Walaupun Malaysia melindungi harga padi dan beras kepada pengeluar dan pengguna, namun krisis itu meningkatkan harga beras tempatan terutama beras berkualiti tinggi.
Disebabkan berdepan masalah mendapatkan bekalan beras dalam jangka pendek, maka negara tidak terkecuali mengalami kenaikan purata harga beras tempatan sehingga 21 peratus (%) dan beras import 52%. Itu baharu beras, bagaimana pula dengan makanan lain?
Perubahan cuaca sekitar awal 1970-an dan 2008 juga menyaksikan pengeluaran bijirin terutama gandum terjejas di beberapa negara pengeluar seperti Amerika Syarikat, Rusia, Eropah Utara, Australia dan Afrika Barat.
Implikasi daripada penawaran be­­kalan makanan dunia yang terganggu itu menyebabkan harga makanan global meningkat secara mendadak dan rentetan krisis makanan dunia pada 2009 juga menyaksikan lebih sejuta manusia pernah berada dalam keadaan kelaparan di seluruh dunia.
Hakikatnya, krisis berkenaan te­lah menyedarkan Malaysia tentang kepentingan untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada import makanan dari luar negara yang terdedah dengan bencana alam dan perubahan cuaca tidak menentu pada masa depan.
Pakar bidang ekonomi pertanian dan sumber, Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin(gambar) membayangkan harga makanan dunia dijangka terus meningkat kerana penawaran akan terencat oleh kekangan input, iklim dan teknologi, kecuali jika negara mengambil langkah pembaharuan untuk meningkatkan produktiviti.
Begitupun, beliau yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, hakikat yang berlaku sekarang ialah sektor makanan Malaysia berdepan de­ngan persaingan sektor perladangan khususnya kelapa sawit yang lebih lumayan dan bukan pertanian yang lain.
“Sebahagian hakikat Malaysia terpaksa menjadi pengimport bersih makanan ialah kerana sektor makanan tidak dimajukan sebagaimana sektor kelapa sawit. Dari segi pembangunan dan penyelidikan (R&D), pelaburan dan insentif, sektor makanan masih dipinggirkan.
“Berbanding Malaysia, negara Thailand mampu menjadi antara pengeluar beras utama kerana sektor makanan mereka maju selain mendapat sokongan syarikat-syarikat besar sebagai pelabur utama,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Untuk rekod, tahap sara diri beras negara pada 2009 adalah sebanyak 72%, bermaksud Malaysia masih perlu mengimport hampir 30% daripada keperluan dalam negeri. Tahap sara diri tertinggi pernah dicapai adalah 92% iaitu sekitar lewat 1970-an.
Berdasarkan Sumber Malaysia (pelbagai tahun), tahap sara diri produk perikanan bagi tahun 2000 adalah 89% manakala pada tahun 2007 (97%); telur (139% / 114%); da­ging ayam (127.8% / 121%); sayur-sayuran (88.5% / 89%); buah-buahan (91.3% / 105%); daging lembu (22.7% / 25%); daging kambing (6.4% / 9%) dan tenusu (4% / 5%).
Mad Nasir berkata, trend menunjukkan peningkatan tahap sara diri komoditi makanan seiring peningkat­an populasi, justeru fokus perlu diberikan untuk membangunkan sektor makanan agar keperluan bekalan makanan negara tidak terjejas disebabkan faktor alam.
“Kita boleh nampak tahap sara diri sesetengah komoditi makanan sangat kurang dan ini boleh me­risikokan sekuriti makanan (simpanan makanan) pada masa depan lebih-lebih lagi menyaksikan Malaysia tidak terkecuali mengalami kesan-kesan perubahan iklim akibat pemanasan global.
“Antara simptom dikesan akibat perubahan iklim menerusi kesan suhu semakin panas di kawasan ta­nah tinggi seperti Cameron Highlands serta cuaca luar biasa menyebabkan kemarau dan jerebu yang menjejaskan penghasilan pertanian,” katanya.
Menurut Mad Nasir, jaminan sekuriti makanan yang merujuk kepada kewujudan bekalan makanan dan kemampuan untuk memperolehnya antara syarat penting untuk melayakkan Malaysia mencapai negara maju menjelang 2020.
Kelayakan itu merangkumi kesediaan kuantiti makanan mencukupi dan berkualiti dibekalkan melalui pengeluaran domestik atau import; aksesibiliti kepada sumber makanan mencukupi oleh individu; dan kestabilan mendapat makanan walaupun berlaku kejutan pasaran seperti krisis ekonomi dan lain-lain.
“Di tahap kebangsaan atau sesuatu negara, sekuriti makanan diterjemahkan sebagai keupayaan untuk memastikan penawaran makanan yang stabil dalam pasaran domestik.
“Di tahap perseorangan atau individu pula, hal itu bermakna bahawa setiap individu memiliki bekalan makanan yang bukan sahaja mencukupi tetapi juga memenuhi ke­perluan pemakanan sihat yang dianggap standard,” jelasnya.
Malaysia katanya, tidak boleh lagi berpuas hati dengan tahap sara diri sedia ada, sebaliknya perlu memberi fokus untuk merangka pelan transformasi R&D ke arah pencetusan inovasi hijau dalam sektor makanan khususnya industri padi dan beras.
Menurutnya, pada peringkat ini, dasar-dasar yang sedia ada harus dilaksanakan dengan lebih efektif di semua peringkat - bermula dengan agensi kerajaan, perniagaan swasta sehinggalah kepada isi rumah individu.
“Perkara utama untuk mengatasi kesan jangka panjang dalam perubahan iklim serta iklim masa depan yang tidak menentu adalah melalui pembangunan lestari yang menekankan aspek pemuliharaan dan penyelesaian yang berguna.
“Justeru, setiap daripada kita wajib menjalankan peranan masing-masing agar langkah-langkah proaktif boleh diambil untuk mengurangkan fenomena pemanasan global,” katanya.
Paling penting katanya, agenda tersebut perlu disokong dengan pakej pengembangan yang ekstensif dan intensif, pembangunan kemahiran dalam kalangan petani dan penyediaan infrastruktur yang lengkap selain kerjasama melibatkan pelbagai pihak khususnya syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Selain itu, saranan yang boleh dipertimbangkan ialah melaksanakan agenda pembangunan makanan strategik, mewujudkan jaringan ke­selamatan yang komprehensif serta penggalakan agenda penggunaan les­tari bahan makanan,” katanya.
Mad Nasir berkata, isu perubahan iklim tidak boleh lagi dilihat sebagai penemuan sains semata-mata kerana hal itu secara tidak langsung mempengaruhi kehidupan manusia dalam jangka masa panjang.
“Justeru, perkara ini perlu ditangani secara menyeluruh melibatkan masyarakat, sistem politik dan ekonomi sedia ada,” katanya sambil menekankan beberapa kajian telah membuktikan pelaburan dalam infrastruktur dan R&D mampu memberi pulangan tertinggi kepada pengeluaran makanan dan penurunan kemiskinan.

Comments

Popular posts from this blog

5 PUNCA BERLAKU GEJALA SOSIAL MASA KINI

KESAN-KESAN MASALAH GEJALA SOSIAL

MASALAH SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA