BELIA PERLU ELAK SIKAP TERLALU PILIH PEKERJA
13 OKTOBER 2015
BELIA PERLU KIKIS SIKAP TERLALU PILIH PEKERJAAN TANGANI
PENGANGGURAN
7/10/2015 KUALA
LUMPUR, 7 Okt (Bernama) –
Golongan belia, terutamanya lepasan universiti perlu mengikis sikap
terlalu memilih pekerjaan sekiranya mereka tidak mahu terus bergelar
penganggur. Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk
Shamsuddin Bardan berkata kadar pengangguran negara sebanyak 3.2 peratus adalah
tidak begitu membimbangkan, namun isunya kadar itu kebanyakannya merangkumi
golongan belia. "Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk
membantu mereka memperoleh pekerjaan, namun sikap itulah yang menyebabkan
generasi muda ini menganggur meskipun berkelayakan. "Contohnya, mereka
mahukan gaji lumayan tetapi kerja yang ringan, tidak sanggup untuk bekerja dari
bawah untuk menimba pengalaman dan hanya menumpukan perhatian kepada pekerjaan
dalam sektor kolar putih," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Shamsuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha kerajaan
yang mahu membantu seramai 400,000 belia yang layak bekerja namun masih
menganggur di negara ini.
Semalam, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata
kerajaan sedang berusaha untuk menurunkan kadar pengangguran kalangan belia di
negara ini dengan membantu mencari peluang pekerjaan kepada mereka mengikut
sektor bersesuaian. Shamsuddin dalam pada itu mencadangkan agar kerajaan
memberi insentif kepada sektor swasta untuk melatih graduan yang baru memasuki
alam pekerjaan tetapi menganggur lebih daripada setahun. "Latihan yang
diberikan kepada graduan bukan sahaja melatih mereka menyesuaikan diri dalam
alam pekerjaan tetapi juga sebagai persediaan kepada mereka dalam kemahiran
mengikut bidang pekerjaan masing-masing," katanya. Sementara itu, Presiden
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih
Muda berkata majikan seharusnya mengurangkan pengambilan pekerja asing bagi
membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. "Beri peluang kepada
golongan belia terutamanya lepasan ijazah atau diploma yang mempunyai kemahiran
teknikal untuk bekerja bagi mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan
mereka," katanya. Katanya, selain itu kerajaan juga perlu menggalakkan
golongan belia berdaftar dengan JobsMalaysia dan Jabatan Tenaga Kerja bagi
memudahkan mereka memperoleh peluang pekerjaan. "Dengan berdaftar dengan
kedua-dua badan ini, mereka bukan sahaja dapat memperoleh pekerjaan dengan
lebih mudah dengan bantuan kerajaan, malah turut mempunyai peluang menghadiri
kempen kerjaya dan menghadiri kursus persediaan sebelum melangkah ke alam
pekerjaan," katanya.
Presiden Kongres Kesatuan
Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan pula berpendapat kerajaan perlu
mengambil serius dengan mengenalpasti lebih ramai lagi penganggur belia dan
membantu mereka mendapatkan pekerjaan memandangkan kadar pengangguran dalam
golongan itu dianggar meningkat setiap tahun. "Setiap tahun pasti ada
belia yang menamatkan pengajian mereka di universiti ataupun di peringkat
sekolah, serta ada yang tercicir dalam persekolahan yang menyebabkan mereka
terpaksa bekerja pada usia seawal umur 15 tahun," katanya. Katanya bagi
golongan belia lepasan sekolah yang tidak mendapat tempat di universiti, mereka
digalakkan untuk mempelajari kemahiran vokasional dengan menyertai Program
Transformasi Vokasional dan Teknik (TVET). Program TVET katanya bukan sahaja
membekalkan pendidikan teknikal dan vokasional kepada mereka dengan kadar yang
murah malah dapat menjamin peluang pekerjaan apabila tamat kursus. -- BERNAMA
Comments
Post a Comment