PUNCA STRESS DAN CARA MENGATASINYA

ARKIB-31 MAC 2015(SELASA)

Stress merupakan perkataan pinjaman yang berasal daripada perkataan bahasa Inggeris, “stress” yang membawa maksud tekanan, titik berat, dan ketegangan. Kamus Oxford pula mendefinisikan stress sebagai satu tekanan atau desakan, usaha, tuntutan ke atas keupayaan fizikal atau mental. Ini bermaksud stress adalah suatu keadaan dimana kekuatan fizikal, mental dan emosi seseorang individu teruji melampaui keupayaan tubuh dan mindanya yang tidak mampu menahan dan menanggungnya lagi. Menurut Statt (1981), stress ialah ketegangan fizikal dan psikologi yang berpanjangan untuk suatu masa yang boleh menggugat keupayaan seseorang untuk mengendali suatu situasi. Hans Selye (1963), telah memberikan maksud yang berbeza mengenai stress dengan membuktikan di dalam kajiannya terhadap binatang. Beliau menunjukkan bahawa stress boleh menyebabkan penyakit, seterusnya penyakit yang dihidapi akibat daripada stress yang berlebihan boleh membawa maut. Daripada kajian beliau juga mendapati stress juga boleh berlaku ke atas manusia. Secara keseluruhannya stress adalah ketidakupayaan memenuhi tuntutan persekitaran, gangguan fungsi kehidupan, perubahan dinamik yang menyebabkan individu berdepan dengan masalah, kekangan dan desakan hidup, peristiwa atau keadaan persekitaran yang mendatangkan akibat yang negatif, tekanan yang mengakibatkan kebimbingan, keletihan dan ketegangan kepada individu serta tindak balas luaran yang mengganggu mental dan fizikal atau tindak balas kimia dalam tubuh.
            Stress, seperti yang diterangkan sebelum ini boleh berlaku kepada semua guru, sama ada guru sekolah rendah, menengah atau peringkat pengajian tinggi. Punca stress di kalangan guru boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu punca profesional dan punca peribadi. Pelbagai definisi telah cuba diberikan oleh beberapa orang untuk menghuraikan makna stress. Schafer (1992) mendefinisikan tekanan sebagai kebangkitan minda dan badan seseorang dalam bertindak balas kepada permintaan terhadap dirinya. Fontana (1989) pula memberi definisi tekanan sebagai permintaan yang dibuat ke atas keupayaan penyesuaian minda dan badan seterusnya menjelaskan sekiranya keupayaan seseorang itu dapat menangani permintaan itu maka tekanan itu akan mendatangkan kesan yang positif. Selain itu, stress adalah istilah yang merangkumi tekanan, bebanan, konflik, keletihan, ketegangan, panik, perasaan gemuruh, kemurungan dan hilang daya.
            Persekitaran kerja yang kurang kondusif boleh menjadi punca berlakunya stress di kalangan guru.  Misalnya ruang kerja yang sempit dan kelas yang tidak selesa boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada guru. Ditambah dengan kemudahan sekolah yang tidak mencukupi untuk keperluan sendiri dan murid serta pelbagai isu pendidikan dalam negara. Perubahan peningkatan populasi dalam masyarakat, peningkatan taraf hidup dan jenayah yang memberikan impak negatif dalam tingkah laku murid menyebabkan seseorang guru itu harus melakukan perubahan dalam kehidupan profesional dan peribadinya. Perubahan boleh menyebabkan terganggunya sistem keseimbangan dalam diri seseorang individu itu. Contohnya, banyak perubahan telah berlaku dalam mobiliti masyarakat Amerika Syarikat pada hari ini. Antaranya, penambahan golongan etnik dalam pendidikan. Murid dari golongan etnik ini kurang fasih atau tidak tahu langsung berbahasa Inggeris. Oleh itu, hal ini memberikan tekanan kepada guru Bahasa Inggeris untuk memenuhi kurikulum pendidikan.         Punca peribadi diantaranya ialah keadaan kesihatan guru yang terjejas akibat kemalangan atau berlaku kematian dalam kalangan keluarga. Oleh sebab banyak perubahan dalam masyarakat pada hari ini, misalnya peningkatan kadar jenayah, guru memerlukan sokongan dan hubungan yang baik dengan ahli keluarga dan rakan-rakan. Apabila berlaku perselisihan faham maka ini boleh menyebabkan stress terhadap guru tersebut. Gaji yang rendah berbanding dengan profesion yang lain membataskan aktiviti riadah dan taraf hidup seseorang guru. Gaji yang rendah juga menyebabkan sukar untuk guru menikmati dan memberikan taraf hidup yang baik bagi keluarga mereka. Di samping itu, memiliki rumah sendiri juga sukar terutamanya bagi guru yang baru mengajar.
 Aktiviti riadah pula ialah dari segi gaji yang rendah membataskan pilihan guru melakukan aktiviti riadah bersama keluarga.
Gold dan Roth (1993) menyatakan bahawa salah satu punca stress bagi guru adalah perubahan dalam dasar pendidikan yang membebankan mereka (Zakiah Arshad, 2003). Sebagai pengurus pembelajaran, guru perlu merancang pengetahuan, kemahiran dan nilai yang hendak diajar setiap hari (Esah Sulaiman, 2003). Guru juga telah dibebankan dengan pelbagai tugasan pentadbiran yang telah menjadi rutin pekerjaan mereka, umpamanya mengisi borang, mengutip yuran, mengemaskinikan kedatangan pelajar, menyediakan laporan prestasi, menyediakan soalan ujian dan peperiksaan, memberi bimbingan dan sebagainya bagi memajukan muridnya. Kyriacou (1987) juga menekankan bahawa stress yang berpanjangan boleh melemahkan mental dan fizikal serta berupaya melemahkan secara signifikan kerjaya guru dan prestasi muridnya kerana stress menjejaskan kualiti pengajaran dan komitmen para guru. Ini disebabkan oleh tugasan yang diberi kian bertambah dan memberi kesan negatif ke atas guru yang mana didapati hanya satu pertiga daripada guru yang berpuas hati dengan kerja mereka. Apabila guru tidak berasa kepuasan dalam pekerjaan, ini akan mempengaruhi sistem pendidikan yang mana guru-guru tidak bermotivasi, tidak komited dengan kerja dan tidak profesional serta sekaligus memberi impak yang negatif dalam bidang pendidikan.
Selain itu, faktor salah laku dan karenah murid juga turut menyumbang terhadap stress guru. Tingkah laku murid di dalam kelas seperti kurang menghormati guru, kurang penumpuan di dalam kelas, masalah disiplin, kurang bermotivasi dan tidak menyiapkan kerja sekolah didapati telah menyebabkan guru berasa tertekan setiap kali memasuki kelas (Fun, 2008; Kim, 2006; Tang dan Yeung, 1999; Montgomery dan Rupp, 2005). Akibat karenah murid, guru sering keletihan dan tidak bersemangat untuk mengajar. Kesukaran yang dihadapi oleh guru dalam berhadapan dengan pelbagai karenah murid telah menyebabkan sebahagian guru mengalami tekanan perasaan (Wai dan Kwok, 1995).
Faktor kekangan masa dan sumber merupakan faktor seterusnya yang menjadi penyebab berlakunya tekanan kerja kepada guru. Kekangan sumber merujuk kepada kekurangan peralatan dan kemudahan pengajaran dan pembelajaran, keadaan bilik guru, kekurangan kelas, tuntutan sukatan pelajaran dan lain-lain. Kekangan masa pula ialah kekurangan masa guru-guru untuk mengajar, menghabiskan sukatan pelajaran yang diajar dan masa rehat yang singkat. Pelbagai kursus juga perlu dihadiri oleh guru, kadang kala memakan masa yang lama sehingga terpaksa meninggalkan kelas yang diajar.Tambahan pula, guru tersebut tidak dapat menghabiskan sukatan pelajaran bagi mata pelajaran yang diajarnya. Setelah tamat kursus, guru perlu menghabiskan dan menyiapkan tugasan yang tertangguh sebelum ini. Ini tentunya akan menambahkan tekanan kerja kepada guru tersebut. Di samping itu, kajian-kajian luar dan dalam negara mendapati kekangan masa turut menyebabkan guru stress (Boyer, 2009; Chaplain, 1995; Ages, 2011; Tang & Yeung 1999; Kim, 2006; Fun, 2008). Kajian stress oleh Huisman (2009), melaporkan bahawa kesemua responden percaya bahawa stress yang dialami telah memberi impak negatif terhadap murid dan menyebabkan pengajaran menjadi kurang efektif. Dapatan beliau turut mendapati tugas perkeranian seperti mengambil kedatangan dan merekodkan gred murid telah menyukarkan guru mengimbangkan dengan tugas mengajar. Seringkali guru mengalami stress berpunca dari tugasan luar dari pengajaran (Sheppard, 2008), penyediaan kertas kerja, menghadiri pelbagai mesyuarat (Center dan Steventon, 2001; JoIda dan Brandon, 2003) dan tugas berkaitan pengurusan bilik darjah (Center dan Steventon, 2001). Namun, tidak dapat dinafikan tugas utama guru yang perlu dilaksanakan sebagai memenuhi tanggungjawab utama adalah menyediakan rancangan mengajar, mengajar, menyediakan aktiviti berkaitan pengajaran dan pembelajaran dan menanda buku (Rieg, Paquatte dan Chen, 2007).
Seterusnya, salah satu cara pengurusan stress ialah melalui program pengurusan stress yang bersesuaian dan kos-efektif. Murphy (1984), menjelaskan program pengurusan stress ialah kerja berkesan dalam membantu pekerja mengurangkan stress kerja. Beliau menjelaskan kebaikan program pengurusan stress ialah ia boleh dilaksanakan dan dinilai dengan segera tanpa gangguan utama kerja-kerja syarikat atau jadual produksi. Di samping itu, ia juga boleh diselitkan ke dalam program-program latihan yang sedia ada dan boleh digunakan selari dengan perubahan di tempat kerja atau pengubahsuaian kerja. Selain daripada itu, pendidikan stress dan latihan pengurusan stress boleh berfungsi dalam membantu individu untuk mengenalpasti simptom stress dan kesan yang dikaitkan dalam tahap stress. Pendidikan stress dan pengurusan stress sangat berkesan dalam membantu individu berurusan dengan punca-punca stress yang berkaitan dengan persekitaran kerja yang tidak boleh diubah atau yang tiada kaitan dengan kerja. Menurut Hatta Sidi & Mohamed Hatta Shaharom (2002), garis panduan untuk menguruskan stress adalah seperti menjaga diri sendiri dan mempertingkatkan ketahanan fizikal, menenangkan jiwa dan jasad, berdialog dengan diri sendiri, bertolak ansur dengan menerima ketidakpastian, mengurangkan sesuatu yang tidak pasti, menjangkakan perubahan dan membina keupayaan, ketawa dan jenaka, realistik terhadap kehendak dan kemahuan, mengurangkan permintaan yang keterlaluan, berfikir secara positif, meminimumkan perubahan, mengurus masa, memahami nilai diri dan personaliti sendiri, menyelesaikan konflik, mengawal keadaan atau situasi, menyelesaikan perkara yang belum selesai dan meningkatkan jaringan sokongan sosial.
Kementerian Kesihatan Malaysia pula telah menyarankan Kaedah 10B untuk individu yang sedang mengalami stress iaitu bertenang, bernafas dengan dalam, berkata relaks/ tidak mengapa, beribadat, bercakap dengan seseorang, berurut, berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam dan berfikir positif (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2005). Selain itu, cara mengatasi stress adalah dengan mengaturkan masa dengan teliti (Tuskan, 2002) dalam buku karangannya Kaedah Mengatasi Gangguan Stres dan Emosi. Menurut Islam mengatakan bahawa masa yang ada dalam kehidupan individu perlu diatur mengikut kepentingan matlamat yang hendak dicapai dan dilakukan secara berfasa. Kehidupan seharian sebagai seorang guru dan mungkin suri rumah tangga pastinya menuntut perhatian yang perlu dibahagikan secara sistematik. Dalam merancang pelaksanaan tugasan, guru perlulah bijak membahagikan masa 24 jam yang ada mengikut kepentingan masing-masing. Contohnya antara soalan peperiksaan yang perlu disiapkan dalam tempoh seminggu dengan memasukkan markah murid di dalam sistem yang hanya tinggal 1 hari sebelum ditutup aplikasinya., guru perlulah mengutamakan memasukkan markah murid di dalam sistem. Matlamat setiap tugasan perlu diukur kepentingannya agar masa yang diagihkan menjadi lebih sistematik. Jadual yang sistematik juga perlu dirangka sebagai rujukan untuk guru menyiapkan tugasan satu persatu agar tidak ada yang tertinggal dan boleh menyebabkan guru stress.
Bagi mengatasi masalah tersebut juga, Goleman (1999) telah menyarankan empat faktor terhadap masalah stress. Faktor- faktor tersebut ialah kesedaran kendiri (self-awareness), pengawalan kendiri (self-regulation), motivasi kendiri (self-motivation) dan kemahiran sosial (social skills). Faktor pertama iaitu kesedaran kendiri bermaksud kebolehan seseorang guru untuk mengetahui perasaan mereka dalam satu-satu situasi dan keupayaan mereka untuk memilih keutamaan panduan dalam membuat keputusan. Seseorang guru yang mempunyai kesedaran kendiri juga mempunyai penilaian yang realistik tentang keupayaan diri dan mereka mempunyai keyakinan diri yang utuh. Pengawalan kendiri (self-regulation) dimaksudkan sebagai kebolehan mengurus emosi agar ianya memudahkan dan bukannya mengganggu dalam menyelesaikan sesuatu tugasan. Guru yang boleh mengawal diri mereka sentiasa berhemah dan boleh menangguhkan sementara perasaan negatif mereka. Guru sedemikian juga cepat pulih daripada tekanan emosi. Guru yang mempunyai motivasi kendiri (self-motivation) berupaya menggunakan kehendak diri dalam menggerak dan memandu arah mereka untuk mencapai sesuatu tujuan. Motivasi kendiri boleh membantu seseorang dalam mengambil inisiatif dan bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri. Individu dengan motivasi kendiri yang tinggi sentiasa tabah apabila menghadapi masalah atau dalam keadaan kekecewaan yang tinggi. Sifat ini juga boleh menjadi faktor pencetus dan penyubur kemesraan dan keserasian dengan individu dari pelbagai latar belakang. Individu yang mempunyai sifat ini boleh menyelami keperitan, kesusahan, kekecewaan atau keraguan seseorang terhadap sesuatu perkara. Rogers (dalam Corey, Corey & Callahan 1998) menyatakan bahawa seseorang yang boleh menunjukkan sifat tersebut akan lebih mudah berinteraksi dengan orang lain terutama dalam proses membantu seseorang. Guru perlu memiliki sikap ini supaya dengan mudah memahami dan mendekati murid. Murid akan berasa selesa bersama guru dengan adanya kemahiran tersebut.
Faktor terakhir yang dicadangkan oleh Goleman (1999) ialah kemahiran bersosial (social skills). Beliau menyatakan bahawa faktor kemahiran bersosial ini membolehkan seseorang mengurus pelbagai emosi secara efektif dalam perhubungan. Mereka juga mampu mentafsir dengan tepat situasi sosial dan jaringannya selain daripada mahir memujuk dan memimpin. Seseorang guru yang mempunyai kemahiran bersosial yang berkesan juga mampu menjadi pakar runding yang baik disamping berkebolehan menyelesaikan konflik bagi mewujudkan kerjasama dan semangat berpasukan dalam bilik darjah. Selain itu hubungan interpersonal yang baik juga perlu bagi guru antaranya berkongsi masalah dengan rakan sekerja, rakan sekerja sentiasa memberi kerjasama dan sentiasa mendapat galakan daripada pentadbir atau guru besar. Guru juga telah dibebankan dengan pelbagai tugasan pentadbiran yang telah menjadi rutin pekerjaan mereka, umpamanya mengisi borang, mengutip yuran, mengemas kini kedatangan murid, menyediakan laporan prestasi, menyediakan soalan ujian dan peperiksaan, memberi bimbingan dan pelbagai lagi bagi memajukan muridnya.
Kyriacou (1987) juga menekankan bahawa stress yang berpanjangan boleh melemahkan mental dan fizikal serta berupaya melemahkan secara signifikan kerjaya guru dan prestasi muridnya kerana stress menjejaskan kualiti pengajaran dan komitmen para guru. Keberkesanan sesuatu pendidikan adalah bergantung kepada pengerak utama sistem ini iaitu guru-guru. Prestasi guru dan komitmen adalah penting bagi seseorang guru untuk membantu anak bangsa dalam memperolehi kejayaan.



Cara mengendalikan stress di kalangan guru ialah mengenalpasti reaksi emosional apabila keperluan emosi dapat dikenal pasti maka seseorang guru boleh menangani stress dengan cara yang lebih positif. Contoh situasi, seorang guru perempuan tidak bersefahaman dengan guru besar di sekolahnya. Guru tersebut telah menangani stress dengan cara yang negatif, iaitu menengking guru besar itu. Setelah guru tersebut mengetahui keperluan emosi dalam dirinya, guru tersebut sedar bahawa tindakannya adalah kerana suatu masa dahulu ayahnya telah menggunakan pendekatan yang sama oleh guru besar itu. Guru tersebut sedar bahawa dia inginkan guru besar itu menghargai beliau. Guru tersebut telah berhadapan dengan guru besar dan memberitahu perasaannya itu. Akhirnya, hubungan mereka berjaya dipulihkan. Manakala yang kedua pula ialah komitmen sosial, apabila berhadapan dengan stress, guru memerlukan sokongan daripada orang-orang di sekelilingnya. Oleh itu, komitmen sosial amatlah penting. Kehidupan fizikal pula ialah di mana stress menjejaskan kesihatan dari segi imunisasi tubuh. Oleh itu, seseorang guru harus tahu teknik yang berkesan untuk menangani stress terutamanya menjelang peperiksaan murid dan pertukaran pentadbiran di sekolah. Pengetahuan dalam senaman rutin dan pelan makanan seimbang boleh membantu guru menangani stress. Guru hendaklah bergaul dengan golongan yang memiliki tahap intelek yang serupa dengan mereka kerana aspek intelek boleh membantu guru menangani stress (Gold Yvonne dan A. Roth Robert, 1993).
Islam merupakan agama yang sempurna. Cara yang terbaik dalam menangani stress ialah dengan mendekatkan diri kepada Allah. Hashim Anang (2009) menyatakan pendidikan dan pengamalan Islam yang sepenuhnya akan membantu mengatasi masalah stress dikalangan guru.Seorang guru yang beragama Islam seharusnya memainkan peranannya sebagai agen dakwah dengan melakukan segala perintah di dalam agama Islam terlebih dahulu. Di dalam ajaran Islam misalnya, amalan solat yang khusyuk lima waktu sehari semalam sebenarnya merupakan kaedah terbaik untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan sekaligus menangani segala masalah.  Allah SWT berfirman dalam surah al-Mukminun, 23: 1&2 yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman, Iaitu mereka Yang khusyuk Dalam solatnya".
Perkataan “aflaha” atau berjaya di sini bukan sekadar berjaya di dunia malah berjaya juga di akhirat. Mereka yang beroleh khusyuk dalam solat, akan juga beroleh khusyuk dan ketenangan dalam kehidupan dan minda mereka. Malah seruan azan juga turut mengaitkan solat dengan kejayaan. Marilah bersolat dan marilah menuju kejayaan. Abu Darda di dalam kitab al-Asas fi Tafsir menyatakan bahawa khusyuk itu ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah dari syaitan. Faedah khusyuk ini akan membina jati diri seseorang muslim yang taat dan soleh serta tenang malahan aman jiwanya dan yang ikhlas dalam tindak-tanduk amalannya. Ketenangan jiwa merupakan penawar utama bagi masalah stress.
Berzikir juga merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa dan menghilangkan stress. Dalam hal ini, Allah SWT memberi jaminan bahawa mereka yang senantiasa mengingati-Nya akan beroleh ketenangan hati. Allah SWT berfirman dalam surah al-Rad, 13: 28 yang bermaksud, "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah Dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia". Allah SWT juga berfirman dalam surah al-Baqarah, 2:152 yang bermaksud; "Maka berzikirlah (ingatlah) kepada-Ku, nescaya Aku akan mengingati kamu sekelian". Amalan membaca, mendengar dan menghayati al-Quran juga mampu menjadi penenang kepada jiwa. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda". (Hadis riwayat Bukhari). Rasulullah SAW juga pernah bersabda: "Didiklah anak-anak kamu atas tiga sifat iaitu: Cintakan nabi mereka, cintakan keluarga nabi dan membaca al-Quran". Jelas di sini berdasarkan pencerahan beberapa amalan di atas, Islam mempunyai kaedah tersendiri dalam menjaga kesihatan jiwa dan menangani stress. Mereka yang mengalami stress khususnya di kalangan guru seharusnya berusaha mencapai solat yang khusyuk, sentiasa berzikir dan menghayati isi kandungan al-Quran. Amalan-amalan ini terbukti mampu menjadikan diri kita sihat zahir dan batin.
Profesion perguruan adalah profesion yang tidak mempunyai pembahagian masa yang jelas antara masa bekerja dan masa tidak bekerja. Keadaan sedemikian sememangnya mewujudkan stress kepada guru-guru. Profesion keguruan dan tugas guru merupakan bidang yang kompleks dan mencabar. Guru bukan sahaja perlu mengajar, malah perlu melakukan kerja-kerja pengkeranian dan pentadbiran, menjalankan aktiviti kokurikulum dan juga melibatkan diri secara aktif dalam Persatuan Ibu-Bapa dan Guru. Disamping kerja-kerja yang dinyatakan, guru juga perlu memastikan tanggungjawab utama iaitu berinteraksi dengan murid-murid secara fizikal dan emosi semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dalam keadaan yang kondusif. Boleh dikatakan stres dapat dikawal dengan baik oleh guru sekiranya mereka mementingkan kepada cara-cara untuk menguruskan stres tersebut. Pengurusan stres amat kritikal atau diperlukan oleh guru bagi memastikan  mereka sentiasa bersedia untuk menghadapi segala cabaran dalam profesion keguruan dan dunia pendidikan yang mendatang. Hal ini seterusnya akan membantu pemecutan kemajuan bidang pendidikan negara.

Comments

Popular posts from this blog

5 PUNCA BERLAKU GEJALA SOSIAL MASA KINI

KESAN-KESAN MASALAH GEJALA SOSIAL

MASALAH SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA