CARA MENAIKKAN KUALITI GRADUAN TEMPATAN
ARKIB : 08/10/2014
Langkah
tingkat kualiti graduan tempatan
Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
KEPUTUSAN kerajaan mewajibkan setiap pelajar di institusi
pengajian tinggi awam (IPTA) lulus kursus bahasa Inggeris sebelum menamatkan
pengajian di universiti masing-masing wajar dilihat dalam konteks positif demi
keperluan tenaga kerja profesional dalam memacu kecemerlangan dan kemajuan
negara kita. Langkah ini dilihat mampu melahirkan graduan tempatan yang
berkualiti tinggi terutamanya dari segi kemahiran dan kemampuan berkomunikasi
dengan baik dalam bahasa antarabangsa itu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang
juga Menteri Pendidikan ketika mengumumkan keputusan itu berkata, dasar baharu
yang akan dilaksanakan berkenaan telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak demi melahirkan graduan bertaraf antarabangsa dan mampu
berkomunikasi secara berkesan. Tambahnya, dasar berkenaan seharusnya tidak
menjadi beban kepada pelajar IPTA kerana sistem pendidikan di Malaysia telah
menerapkan pembelajaran bahasa Inggeris sejak sekolah rendah sehinggalah ke
tingkatan enam dan peringkat matrikulasi.
Isu pengangguran dan kegagalan graduan tempatan terutamanya
Melayu mendapat peluang pekerjaan yang baik di sektor swasta sering menjadi
topik perbualan hangat dalam. Pelbagai faktor digariskan sebagai punca perkara
ini terjadi antaranya kelemahan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Kita juga
sering mendengar maklum balas dan keluhan daripada pihak majikan terutamanya
sektor swasta betapa graduan tempatan terutamanya aduan graduan Melayu masih
lemah dalam kemahiran berbahasa Inggeris yang mengakibatkan mereka gagal
bersaing dalam perebutan jawatan kosong yang ditawarkan.
Ini ditambah pula dengan senario saban tahun bilangan graduan
yang dihasilkan oleh 20 IPTA tempatan semakin bertambah di samping graduan
dari IPT swasta. Akibatnya persaingan untuk sesuatu jawatan di sektor awam
mahupun swasta semakin rancak dan hebat. Jika keadaan ini berterusan maka
jumlah graduan menganggur juga dikhuatiri terus meningkat.
Kajian demi kajian oleh pelbagai agensi berkaitan kualiti
graduan IPTA membuktikan masih ramai yang lemah bahasa Inggeris walaupun mereka
mempelajarinya sejak di sekolah rendah lagi. Ia juga sering diangkat sebagai
antara punca kegagalan graduan memperoleh pekerjaan setelah tamat pengajian
masing-masing.
Menurut kajian Jobstreet.Com antara masalah utama graduan
ialah lemah dalam berbahasa Inggeris selain memiliki personaliti serta sikap
yang kurang baik, tidak ada kemahiran yang diperlukan oleh majikan serta tidak
mahir menyelesaikan sesuatu masalah. Jelas bahasa Inggeris menjadi penghalang
utama menambat hati majikan terutamanya ketika sesi penilaian dan temuduga.
Kita perlu terima hakikat bahawa graduan tempatan tidak boleh
lari daripada keperluan untuk menguasai bahasa ini demi masa depan mereka dan
negara.
Justeru pelajar IPTA perlu menyambut baik keputusan kerajaan
ini dan tidak melihatnya sebagai satu bebanan baharu kepada mereka. Penulis
yang berada dalam persekitaran kampus mengakui betapa pelajar terutamanya
Melayu masih terlalu lemah dalam aspek berbahasa Inggeris sekali gus
menyebabkan tahap keyakinan mereka merudum berbanding pelajar yang fasih dalam
bahasa itu. Maka pelajar Melayu wajar menyahut cabaran dan mengambil peluang
ini untuk menguasai bahasa antarabangsa ini secara serius supaya dapat terus
bersaing bukan hanya di peringkat nasional bahkan antarabangsa.
Keputusan kerajaan ini patut membuka mata dan minda mereka
agar segera mengubah sikap dan persepsi terhadap bahasa Inggeris. Buang
jauh-jauh sikap malu yang selama ini menjadi penghalang untuk berkomunikasi
dalam bahasa Inggeris baik di dewan kuliah mahupun dengan rakan-rakan.
Pada masa sama, masyarakat terutamanya ibu bapa perlu lebih
prihatin tentang nasib masa depan anak-anak mereka dengan menyokong keputusan
kerajaan ini sepenuhnya. Hal ini kerana dasar baharu ini bakal melahirkan
graduan berkualiti yang diperlukan oleh majikan dan negara kelak.
Kita juga yakin keputusan ini tidak akan mengganggu mahupun
mengancam usaha untuk terus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan. Malah ianya selari dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan
Memperkukuhkan Bahasa lnggeris (MBMMBI) yang diperkenalkan sebelum ini.
Maka segala rasa curiga perlu dielakkan sebaliknya berilah
sokongan padu kepada anak-anak kita untuk menguasai bahasa Inggeris secara
serius sebelum melangkah keluar dari alam kampus.
Pelajar IPTA perlu menggunakan sepenuhnya tempoh di kampus
untuk belajar dan menguasai bahasa Inggeris. Pihak IPTA pula perlu merangka
silibus yang sesuai dan menarik supaya dapat membekalkan graduan tempatan
dengan kemahiran komunikasi bahasa Inggeris yang berkualiti tinggi.
Walau apapun inisiatif kerajaan atau usaha pihak IPTA,
kejayaan mahupun kegagalan dasar baharu ini masih bergantung kepada sikap para
pelajar itu sendiri.
Sampai bila kita mahu mengamalkan budaya spoon feeding yang
jelas mengikis ciri-ciri jati diri dan keyakinan pelajar?
Pelajar perlu menggunakan peluang yang disediakan ini sebaik
mungkin supaya tidak menyesal di kemudian hari terutamanya setelah bergelar
graduan kelak.
Sedarlah bahawa pasaran kerja pada masa depan cukup mencabar
dan menuntut graduan memiliki kemahiran insaniah yang hebat.
Semoga inisiatif baru kerajaan ini dapat membantu memperkasa
kualiti graduan yang dikeluarkan oleh IPTA tempatan.
PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti
Putra Malaysia
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20141008/re_06/Langkah-tingkat-kualiti-graduan-tempatan#ixzz4qCD4vQvo © Utusan Melayu (M) Bhd
Comments
Post a Comment