MASALAH SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA

ARKIB-1 DISEMBER 2015
OLEH=AARONN AVIT
KARANGAN PERTAMA
Masalah sosial dalam kalangan remaja merupakan fenomena yang semakin membimbangkan kita pada hari ini. Masalah seperti penagihan dadah, salah laku pelajar, pergaulan bebas dan sebagainya semakin berleluasa dan kian meningkat. terdapat banyak faktor yang menyebabkan berlakunya masalah sosial dalam kalangan remaja ini.
Salah satu daripanya ialah krisis keluarga yang menyebabkan kwalan sosial ke atas anak-anak diabaikan. Ibu bapa yang sering bertengkar sudah pasti tidak dapat mengasuh dan mendidik anak-anak mereka dengan baik dan sempurna. Keadaan ini bertambah buruk apabila ada dalam kalangan ibu bapa yang sibuk dengan tugas mereka di pejabat sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mengawasi tingkah laku anak-anak mereka. Akibatnya, terdapat anak-anak yang melarikan diri daripada rumah, bergaul dengan rakan-rakan yang tidak sepatutnya  dan dari situlah bermulanya segala masalah sosial yang disebut di atas.
Di samping ibu bapa, masalah ini juga berpunca daripada pengaruh media massa. Dalam zaman teknologi yang berkembang pesat ini, para remaja mudah terdedah kepada pelbagai pengaruh yang negatif melalui internet dan banyak saluran yang laim sehingga minda mereka mudah diracuni oleh unsur-unsur yang kurang sihat. Di sampin itu, tuntutan modenisasi yang turut memberikan tekanan kepada remaja yang inginkan kebebasan untuk lepas daripada kongkongan ibu bapa dan menuntut hak individu juga memyebabkan remaja menolak autoriti ibu bapa yang mengawal tingkah laku mereka.
Masalah sosial ini juga berkait rapat dengan kemerosotan disiplin di sekolah. Disebabkan ada segelintir pihak sekolah yang tidak mengenakan hukuman yang tegas terhadap pelajar-pelajar yang melanggar disiplin, maka mereka ini akan berani untuk melakukan perbuatan yang sama. Tabiat buruk ini akan dibawa oleh mereka apabila meninggalkan bangku persekolahan kelak. Hal ini sudah tentu akan memberikan persepsi yang negatif oleh masyarakat terhadap mereka dan juga menyukarkan proses kemasukan ke pendidikan tinggi serta alam pekerjaan memandangkan testimoni pelajar oleh pihak sekolah bersifat negatif.
Untuk mengurangkan masalah sosial ini, ibu bapa haruslah mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni serta ajaran-ajaran  agama yang sempurna kepada anak-anak supaya mereka menjadi remaja yang bermoral dan berakhlak mulia. Ibu bapa perlu memahami masalah anak-anak mereka dan menjadikan anak mereka sebagai kawan dan bukannya lawan. Selain itu, ahli keluarga yang lain seperti abang dan kakak juga berperanan dalam memastikan adik-beradik dipantau dengan sempurna.
Di peringkat sekolah pula, para guru amat berperanan dalam mengawal pelajar mereka daripada melakukan gejala sosial. Sikap lepas tangan sesetengah guru seharusnya tidak dicontohi kerana pelajar merupakan tanggungjawab mereka ketika berada di sekolah. Para guru juga harus peka dan sentiasa terbuka kepada mendengar masalah pelajar serta menasihati mereka secara baik. Di samping itu, disiplin di sekolah juga perlu dipertingkatkan. Hubungan erat antara ibu bapa dan guru perlu dipertingkatan supaya ibu bapa sentiasa mendapat maklum balas daripada guru yang mengajar anak-anak mereka. Pihak sekolah juga seharusnya memperhebatkan Unit Kaunseling untuk membantu pelajar-pelajar yang bermasalah supaya mereka tidak berasa terpinggir.
Kesimpulannya, untuk membendung masalah sosial ini daripada terus menular, pihak-pihak yang terlibat harus berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing. Jika semua pihak dapat mengemblengkan usaha dalam mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja ini, sudah pasti masalah ini dapat diselesaikan sehingga ke pakar umbi.



karangan ke 2


Masalah gejala sosial di dalam kalangan remaja pada hari ini akan memberikan kesan dan impak yang begitu besar dalam diri individu, masyarakat dan Negara.  Remaja pada hari ini merupakan aset utama dan sangat penting dalam pembangunan negara pada masa akan datang. Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti akan berlaku seandainya remaja dan masyarakat pada hari ini tidak tahu bagaimana untuk menanganani permasalahan yang kian meruncing ini, ini menjadikan pembentukkan jati diri dan kemuliaan akhlak rapuh dari mata masyarakat kita sendiri.Akhlak merupakan peribadi dan cermin diri bagi seseorang individu. Sekiranya seseorang individu itu mempunyai akhlak yang buruk, maka peribadi seseorang individu itu juga akan menjadi buruk. Remaja yang mempunyai akhlak yang buruk boleh memberi kesan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara.
Kesan Ke atas Individu
Seseorang insan yang dilahirkan didunia yang fana ini ibarat sesuci kain putih yang tiada kotoranya, ianya terpulang pada seseorang individu itu bagaimana dia hendak mencorakkan kehidupannya. Individu yang mencorakkan dirinya dengan akhlak yang baik akan dipandang mulia dan tinggi, berbanding individu yang mencorakkan dirinya dengan perkara-perkara negatif akan dipandang serong dan dicemuh oleh masyarakat sekeliling. Bagi seseorang yang bergelar muslim terutamanya remaja, akhlak yang baik seharusnya dihiasi dengan perkara-perkara keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Sebaliknya, kebanyankkan remaja muslim pada hari ini tidak mengikut ajaran islam yang sebenarnya, sebaliknya memalukan agama, bangsa dan Negara. Tidak dapat dinafikan juga kesan gejala sosial ini akan memberikan kesan yang mendalam pada diri seseorang remaja itu.
Kesan Ke atas Keluarga
Keluarga memainkan peranan yang sangat penting kerana dari institusi kekeluargaanlah kebahagian dan keharmonian sesuatu masyarakat itu terbentuk. Keruntuhan sesebuah institusi kekeluargaan akan menyebabkan hilangnya kebahagian dan keharmonian yang dialami sesuatu masyarakat. Akhlak seseorang individu remaja yang baik dan mulia datangnya daripada sesebuah institusi kekeluargaan yang harmoni dan bahagia. Oleh sebab itu, keruntuhan akhlak dalam institusi kekeluargaan akan memberikan kesan yang besar ke atas kebahagian dan keharmonian sesuatu institusi kekeluargaan itu. Akibat daripada wujudnya ketidak harmonian dalam kekeluargaan, sesebuah kekeluargaan pastinya akan berlakunya penceraian. Ini akan menjadikan masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara, seterusnya hilang tempat bergantung dan bermanja. Kesannya berlakunya masalah-masalah sosial yang lain seperti budaya lepak, ketagihan dadah, pelacuran, perjudian, hubungan sesama jenis dan masalah-masalah yang lain.
Kesan Ke atas Masyarakat
Jatuh bangunnya sesuatu negara, agama dan bangsa pada masa kini ialah dengan melihat akhlak dan moral sesuatu masyarakat. Tidak dinafikan akhlak remaja pada hari ini sangat membimbangkan masyarakat. Sekiranya hal ini tidak dibendung oleh pihak–pihak yang tertentu, terutamanya oleh pihak kerajaan, maka tidak hairanlah suatu hari nanti, akan datang masyarakat kita akan hancur dan keruntuhan akhlak remaja–remaja Melayu terutamanya akan rosak dan binasa. Namun begitu terdapat kesan yang paling ketara yang akan dilihat kiranya akhlak remaja pada hari ini tidak dibendung dengan segera. Masyarakat di negara ini akan menjadi porak-peranda, berpecah-belah dan tidak bersatu-padu. Akibatnya perasaan buruk dan prasangka akan wujud dalam masyarakat. Sifat saling curiga-mencurigai akan bertahta di hati masyarakat. Hal ini menberi kesan apabila berlaku pergaduhan dalam masyarakat. Isu-isu perkauman akan wujud seandainya pergaduhan ini melibatkan antara dua kaum. Sekaligus kadar jenayah dalam kalangan masyarakat juga akan meningkat yang mana hal ini disebabkan oleh kadar keruntuhan akhlak di kalangan remaja semakin meningkat.

Kesan Ke atas Negara
Implikasi utama terhadap negara jika gejala sosial tidak ditengani segera akan menyebabkan negara akan kehilangan pelapis generasi kepimpinan pada masa hadapan. Hal ini akan menjadikan kerancakan pembangunan negara akan terbantut dan keadaan sosioekonomi negara menjadi lembap kerana wujudnya gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang tinggi di kalangan masyarakat. Perkara ini menjadikan kadar jenayah dalam negara juga akan meningkat sejajar dengan peningkatan gejala sosial ia sekaligus meningkatkan kos perbelajaan kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah. Seterusnya anasir-anasir luar akan meresap masuk kedalam negara sekiranya generasi muda pada hari ini tidak tahu menjaga akhlak mereka. Dan, kesan paling utama ialah remaja pada hari ini terutamanya akhlak remaja Islam hancur dan rosak, maka pandangan bangsa lain terhadap agama yang kita anuti pada hari ini tentulah serong dan buruk.


karangan ke 3

Zaman remaja merupakan zaman yang sangat menyeronokkan bagi setiap individu. Pada zaman remaja, seseorang individu sudah semestinya ingin mencuba pelbagai benda dalam kehidupan mereka. Kehidupan zaman remaja seolah-olah memberikan kebebasan yang sepenuhnya untuk melakukan pelbagai perkara. Oleh sebab itu, tidak mustahil seseorang remaja boleh terjebak ke dalam gejala sosial. Jika kita teliti dengan mendalam terdapat banyak punca kenapa golongan remaja mudah terjebak dalam kancah gejala sosial.

 # Kelemahan Didikan Agama dan Moral Diri Remaja
Faktor diri remaja sendiri merupakan sebab berlakunya gejala sosial. Kebanyakan remaja yang terlibat dalam gejala sosial tidak mempunyai didikan agama dan moral yang mendalam.Mereka tidak takut pada dosa atau pembalasan Tuhan di atas perbuatan mereka. Remaja terbabit juga biasanya tidak sembahyang dan mengingkari perintah agama yang lain. Mereka berpendapat bahawa, kehidupan masa remaja perlu diisi dengan hiburan dan keseronokan semata-mata.


# Sikap Tidak Mengambil Berat Oleh Ibu Bapa

Sikap ibu bapa juga boleh menyebabkan remaja terjerumus dengan gejala sosial. Terdapat ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kebajikan dan kasih sayang terhadap anak-anak. Anak-anak amat memerlukan kasih sayang daripada ibu bapa. Ada segelintir ibu bapa  begitu sibuk dengan kerjaya bagi menambahkan pendapatan sehingga anak-anak terabai dan tidak mendapat kasihsayang yang secukupnya. Sikap ibu bapa ini menyebabkan anak­-anak tidak mendapat perhatian yang sewajarnya lalu mereka melakukan perkara-perkara tidak berfaedah  untuk mehilangkan kebosanan. Selain itu, tidak kurang juga ada yang melakukan gejala sosial ini semata-mata untuk mendapat perhatian daripada ibu bapa mereka.


# Terikut-Ikut Dengan Sikap Negatif Rakan Sebaya
Pengaruh rakan sebaya juga boleh mendorong remaja terlibat dalam gejala sosial. Disebabkan faktor pergolakan keluarga di rumah, remaja cenderung untuk berjumpa rakan sebaya bagi mencari ketenangan dan kegembiraan. Sebahagian daripada rakan sebaya ini pula adalah mereka yang mempunyai perangai negatif. Oleh itu, remajabegitu mudah terikut-ikut dengan sikap rakan sebaya mereka. Apabila bersama rakan sebaya, remaja cenderung untuk melakukan perkara tidak berfaedah seperti merokok, melepak di pusat membeli-belah dan mendapatkan hiburan di pusat-pusat hiburan.


# Sikap Individualistik Masyarakat
Sikap masyarakat yang tidak mengambil berat tentang permasalahan remaja juga menjadi faktor penyebab. Masyarakat hari ini cenderung untuk bersikap individualistik atau tidak mahumenjaga hal orang lain. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada remaja yang menagih dadah berdekatan dengan tempat tinggal mereka tetapi langsung tidak dipedulikan oleh masyarakat kerana mereka berpendapat bahawa, pihak berkuasa sahaja yang perlu menanganinya. Sikap masyarakat yang tidak ingin mengambil tahu tentang hal orang lain pasti akan menggalakkan lagi gejala sosial di kalangan remaja. 


# Pengaruh Negatif Media Massa
Pengaruh media massa terhadap para remaja sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Remaja cenderung untuk melakukan perkara yang pernah didengar atau dilihat di media massa kerana remaja mempunyai naluri ingin mencuba. Sebenarnya sikap ingin mencuba ini adalah sikap yang baik tetapi bukan semua perkara boleh dicuba sewenang-wenangnya. Remaja perlulah menilai kebaikan dan keburukan sesuatu perkara yang diperolehi melalui media massa.

Comments

Popular posts from this blog

5 PUNCA BERLAKU GEJALA SOSIAL MASA KINI

KESAN-KESAN MASALAH GEJALA SOSIAL

DEFINISI TEKANAN (PENGURUSAN TEKANAN)